Followers

Saturday, November 15, 2014

Azmin sedia bajet lebih besar bagi pembangunan tahun depan OLEH SHERIDAN MAHAVERA

 
Menteri Besar Mohamed Azmin Ali akan menggunakan rizab RM3.3 bilion negeri Selangor bagi tujuan pembangunan dalam bajetnya tahun depan.

Menteri Besar Mohamed Azmin Ali akan menggunakan rizab RM3.3 bilion negeri Selangor bagi tujuan pembangunan dalam bajetnya tahun depan.

Kerajaan negeri Selangor yang baru dijangka memperuntukkan lebih banyak wang bagi pembangunan dalam bajetnya tahun depan, dengan sebahagian besar daripadanya untuk membina jalan baru dan parit serta membaik pulih kemudahan sedia ada.

Sumber berkata, sebahagian besar juga akan digunakan bagi menambahbaik kutipan sampah dengan membayar lebih bagi mendapatkan kontraktor yang berwibawa, tidak seperti amalan sebelum ini yang mengambil kontraktor paling murah.

Peningkatan jumlah bajet bagi pembangunan ialah antara yang sering dinyatakan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali sebagai fokusnya, iaitu membelanjakan lebih banyak kekayaan Selangor demi kebaikan penduduknya, bukan bagi mencatat rizab yang tampak menarik.

Azmin berulang kali menyebut dalam ucapannya sejak memegang jawatan tersebut pada 23 September, sia-sia sahaja Selangor mempunyai rizab yang besar tetapi "jalannya berlubang."

Selangor mempunyai rizab berjumlah RM3.3 bilion yang dikumpul sepanjang tempoh pentadbiran sebelumnya di bawah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, saingan Azmin.

Azmin berkata kira-kira dua minggu lalu, beliau merancang memperuntukkan 49% daripada bajet negeri 2015 bagi pembangunan, naik 46% berbanding tahun sebelumnya.

Sebagai perbandingan, Bajet 2015 Barisan Nasional memperuntukkan 18% bagi perbelanjaan pembangunan dan 82% bagi kos operasi.

Seorang pegawai kerajaan Selangor enggan mengulas jumlah keseluruhan bajet 2015 negeri itu kerana ia masih sedang diusahakan.

Ia dijangka dibentangkan pada hari pertama sidang Dewan Undangan Negeri terakhir bagi tahun ini yang dijadualkan dari 24 November hingga 5 Disember.

Azmin sebelum ini pernah membayangkan pentadbirannya juga akan menggunakan rizab Selangor bagi projek infrastruktur awam seperti tebatan banjir di beberapa kawasan padat penduduk negeri itu.

Sumber yang mengetahui rancangan bajet Selangor berkata, pentadbiran negeri bersedia mengeluarkan wang lebih bagi projek infrastruktur dalam memastikan orang ramai mendapat jalan dan parit yang berkualiti.

Menurut seorang pemimpin Pakatan Rakyat (PR) Selangor, amalan sebelum ini yang memilih tawaran paling rendah bidaannya bagi sebarang tender projek awam menyelamatkan wang kerajaan, tetapi menyebabkan akhirnya projek tertangguh.

Satu lagi aduan ialah bagaimana wang yang diperuntukkan kepada Jabatan Saliran dan Pengairan tidak dapat dibelanjakan kerana pertelingkahan berkaitan harga atau tawaran.

"Juga, kebiasannya, ia merupakan tawaran yang paling rendah, kadang-kadang di bawah harga standard yang ditetapkan agensi. Ia mengakibatkan kerja dengan kualiti rendah seperti jalan raya yang tidak kekal lama.

"Jadi, kali ini kami akan memberitahu agensi dan majlis tempatan yang mereka harus menerima bidaan yang memenuhi piawaian yang diterima," kata pemimpin itu yang tidak mahu dikenali.

Difahamkan yang tumpuan pentadbiran baru terhadap infrastruktur juga merupakan tindak balas kepada permintaan penggubal undang-undang negeri itu sendiri pada masa lalu.

Mengulas janji Azmin memperuntukkan 49% daripada bajet bagi pembangunan, setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Lau Weng San berkata, sebarang jumlah melebihi 30% ialah sesuatu yang bagus.

"Inilah masanya menggunakan wang itu untuk kebaikan rakyat," kata Lau, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Tunku, kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata, BBC negeri mengemukakan senarai aspirasi bajet mereka kepada pentadbiran Azmin bulan lepas. Mendahului senarai itu ialah peruntukan untuk jalan raya, longkang, lampu jalan dan program bantuan golongan miskin.

Pada 2013, Khalid membentangkan bajet seimbang berjumlah RM1.85 bilion, yang terbesar dalam sejarah negeri itu.

Dalam bajet Selangor 2014, pentadbiran Khalid memperuntukkan RM430 juta daripada rizab negeri bagi membina jambatan ketiga di Klang, dan juga bagi program rumah mampu milik dan skim pembiayaan usahawan.

Khalid terkenal dengan imejnya yang mengawal ketat kewangan negeri dan berjimat dalam berbelanja, sehingga menimbulkan kemarahan ramai wakil rakyat PR yang tidak puas hati dengan amalan mengupah kontraktor dengan tawaran paling murah.

Dalam temu bual pada 29 September, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata, sifat berjimat cermat Khalid menyebabkan kontraktor yang dilantik di kalangan mereka yang memberikan mutu perkhidmatan yang kurang memuaskan.

Lau berharap kerajaan negeri akan merombak sistem pemilihan kontraktor mengutip sampah kerana ia menyebabkan banyak aduan.

Amalan majlis tempatan mengupah kontraktor yang menawarkan kadar paling murah menimbulkan banyak aduan sampah tidak dipungut di kawasan padat penduduk di Selangor.

"Wang dijimatkan tetapi pekerja tidak cekap. Anda bayar wang dan dapat hasil kerja yang teruk," kata Lau. – 15 November, 2014.

http://www.themalaysianinsider.com/

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.