Followers

Saturday, November 15, 2014

Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak menyalahi undang-undang, kata Putrajaya

 
Sebuah protes anjuran Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak (Sapa) di Lutong, Sarawak, September lalu.

Sebuah protes anjuran Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak (Sapa) di Lutong, Sarawak, September lalu.

Putrajaya hari ini mengisytiharkan Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak (Sarawak Association For Peoples' Aspiration atau Sapa) yang pernah menyatakan Perjanjian Malaysia 1963 tidak sah, sebagai pertubuhan menyalahi undang-undang mengikut Akta Pertubuhan 1966.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Mohamad Khalid Shariff berkata, Sapa menjalankan kegiatan yang memudaratkan keselamatan dan ketenteraman awam di negara ini.

"Saya menyeru kepada masyarakat memberi kerjasama dalam membantu usaha kerajaan membanteras aktiviti-aktiviti Sapa yang dianggap bercanggah dengan undang-undang sedia ada demi kepentingan keselamatan Malaysia dan ketenteraman awam di dalam negara ini," katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Presiden Sapa Lina Soo pernah dilaporkan berkata, perjanjian penyatuan Malaya, Sarawak dan Sabah melanggar tatacara undang-undang antarabangsa kerana hanya negara merdeka boleh menyertai perjanjian antarabangsa.

Seperti dalam kes Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang yang menerima nasib sama melalui pengumuman kementerian pada 4 November, Khalid berkata pengisytiharan itu dibuat menteri mengikut Seksyen 5 (1) Akta Pertubuhan.

Seksyen itu memperuntukkan kuasa bagi menteri dalam negeri menggunakan budi-bicaranya mengisytiharkan mana-mana pertubuhan yang pada pendapatnya digunakan bagi maksud yang memudaratkan atau bertentangan kepentingan keselamatan negara, ketenteraman awam atau akhlak sebagai tidak sah di sisi undang-undang.

Dari segi implikasinya, berikutan pengisytiharan itu, penggunaan nama, simbol, lambang atau logo Sapa tidak lagi dibenarkan dan segala akaun, aset dan harta Sapa akan diserahkan dan digulungkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia.

Dengan itu juga, tiada seorang pun boleh memegang jawatan, menjalankan kerja sebagai seorang anggota, membenarkan sesuatu mesyuarat dalam bangunan, menyiar dan bertindak bagi pihak atau wakil Sapa.

"Mereka yang bertanggungjawab menjalankan apa-apa aktiviti Sapa akan disiasat dan didakwa di mahkamah kerana melakukan kesalahan mengikut Akta 335, sebagai contoh, Seksyen 6 (2) dan 6 (3), Seksyen 42 dan Seksyen 48 Akta Pertubuhan serta Seksyen 142 Kanun Keseksaan," kata Khalid.

Sapa terlibat dengan kempen yang bertujuan mengumpul tandatangan sebagai petisyen kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), yang jika berjaya, akan membawa kepada cadangan Sabah dan Sarawak dibenarkan membuat keputusan sendiri terhadap masa depannya dengan Malaysia.

Pada Jun lalu, Soo berkata di Kuala Lumpur, Perjanjian Malaysia tidak ditandatangani antara 5 negara merdeka, tetapi antara 2 negara bebas – United Kingdom dan Persekutuan Tanah Melayu, satu negara separuh koloni Singapura, dan dua koloni Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak.

Dia mendakwa, 5 individu yang menandatangani bagi pihak Sarawak – P.E.H Pike, T Jugah, Abang Haji Mustapha, Ling Beng Siew dan Abang Haji Openg – tidak mempunyai mandat rakyat Sarawak, kerana masih lagi menjadi koloni tanpa wakil kerajaan.

Katanya, ia melanggar Konvensyen Vienna berkenaan Law of Treaties Customary International Law, 1980 (VCLT 1980) dan Artikel 5, United Nations Decolonisation Declaration 1960 (UNDD 1960).

Pada September, pemimpin politik Sabah Datuk Jeffrey Kitingan berkata, semakin ramai rakyat Malaysia Timur menandatangani petisyen kepada PBB itu yang menuntut Sabah dan Sarawak dipisahkan daripada Malaysia.

Setakat hari itu, katanya 20,000 tandatangan berjaya dikumpul dan petisyen itu masih diteruskan walaupun polis melancarkan siasatan terhadap kumpulan lain yang mengumpul petisyen secara atas talian bagi menentukan sama ada Sabah dan Sarawak perlu meninggalkan Malaysia. – 15 November, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.