Followers

Tuesday, November 25, 2014

Hantu Momok: Kalau Umno jatuh, Melayu dibangsatkan, kata Najib

Datuk Seri Najib Razak mengingatkan perwakilan Umno hari ini tiada jalan lain membela kaum Melayu melainkan parti Melayu itu dipulihkan.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Ahmad Puad Zarkashi, presiden Umno itu menyifatkan jentera Umno hari ini masih pasif walaupun Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lebih setahun sudah berlalu.

"Isu politik yang beliau bangkitkan ialah jentera Umno masih dingin, lembab dan tidak bergerak. "Ini adalah satu teguran yang amat berani daripada presiden parti di hadapan pimpinan Umno iaitu beliau tidak berpuas hati sudah setahun berlalu.

"Seperti mana beliau sebut, Umno kecundang, bangsa Melayu akan dibangsatkan. Itu ayat dia.

Apatah lagi dia kata agama tidak akan terpelihara jika Umno kecundang," kata Ahmad Puad kepada pemberita di luar Dewan Merdeka.

Najib hari ini mengadakan perjumpaan tertutup selama lebih dua jam bersama perwakilan Umno seluruh negara di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Antara amanat yang disampaikan adalah Umno perlu merubah corak pertambahan ahlinya dengan memperkenalkan sistem pendaftaran undi secara automatik.

Puad berkata, amaran Najib dalam mengenengahkan kecundangan Umno sehingga menjadikan kaum Melayu sebagai bangsat perlu dijadikan faktor ketakutan Umno pada masa ini.

Katanya, peringatan Najib itu sudah sampai ke kemuncaknya apabila menggunakan analogi yang begitu mendalam bagi memotivasikan ahli Umno.

"Dia kata faktor ketakutan ini amat penting bagi Umno. Maksudnya, Umno perlu ada faktor ketakutan, iaitu jika Umno kecundang, bangsa Melayu akan dibangsatkan. “Pada saya, presiden parti tadi seolah-olah sudah ke siling peringatannya.

Maksudnya, dia dah puas cakap agaknya. Maka ayat yang digunakan tadi cukup keras. Saya tidak pernah dengar presiden parti berkata sedemikian,” katanya.

Bekas ahli Parlimen Batu Pahat itu juga melihat seruan Najib agar pendaftaran ahli Umno dilakukan secara atas talian sebagai peringatan tiada sekatan dilakukan ke atas mana-mana ahli baru.

“Bila presiden parti mengumumkan penerimaan ahli secara atas talian serta merta akan dilaksanakan, saya rasa dia mengambil pendirian yang tegas.

"Jangan sama sekali menyekat golongan bijak pandai, profesional dari menyertai Umno kerana borang mereka kadang-kadang hilang," katanya.

“Perubahan ini seharusnya menjadi wajib, bukan kepada presiden parti saja tetapi pada yang lain terutama ketua bahagian.

"Mereka bertanggungjawab kerana kekuatan Umno berada di cawangan, cawangan dalam bahagian. Ketua bahagian mempunyai tanggungjawab melakukannya semua,” katanya.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata Umno perlu melakukan transformasi agar perjuangan parti itu dapat diterima setiap lapisan masyarakat dan menimbulkan kesedaran ia juga berjuang untuk bangsa, agama dan raja.

“Masa depan parti kita bukan saja untuk ahli Umno, tetapi kita sedar dan insaf jika kita tak lakukan untuk parti, bangsa, agama dan raja akan jadi mangsa. “Itu merupakan agenda yang perlu diperhebatkan lagi.

Lebih-lebih lagi dalam dunia yang penuh dengan cabaran," katanya. Hishammuddin berkata, dalam keadaan begini, penting bagi Umno mengorak langkah memikirkan kedudukan orang Melayu dalam segala segi.

"Orang tak boleh marah kerana ini perjuangan parti,” katanya. Katanya, amanat Najib hari ini menjadi penyuntik semangat kepada perwakilan apabila kembali ke bahagian masing-masing dengan satu azam melihat masa depan parti.



Posted & copy by RAKYAT MARHAEN.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.