Kenaikan harga minyak dan GST yang bakal melonjakkan inflasi di tahun 2015 adalah satu gaung bagi rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah dan sederhana, kata Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau menyifatkan gaung tersebut sebagai "satu penjara" yang dicipta BN bagi golongan berkenaan.
"... di mana pemberian BR1M secara ansuran dijadikan satu senjata untuk membudayakan mereka untuk terus bergantung hidup pada kerajaan," katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, pengurangan subsidi dan peningkatan pemberian BR1M menyebabkan kenaikan kadar inflasi melebihi kadar pendapatan, maka golongan tersebut akan terus terperangkap di dalam "penjara yang dicipta BN".
"Apakah ini satu strategi BN untuk kekal berkuasa dengan membudayakan majoriti rakyat Malaysia untuk terus bergantung hidup dengan insentif yang diberikan kerajaan?" soal Tuan Ibrahim.
Ini, katanya, tidak mustahil berdasarkan apa yang disebut perdana menteri di perhimpunan agung MCA kelmarin di mana beliau mengingatkan masyarakat Cina tidak patut menuntut sesuatu daripada kerajaan jika mereka menyokong pembangkang.
"Berdasarkan logik ini, apakah BR1M sebenarnya adalah satu strategi politik yang dijelmakan sebagai bantuan daripada kerajaan untuk mendapatkan undi rakyat bagi BN?" soal Tuan Ibrahim lagi.
Kenaikan harga minyak, tegasnya, akan menyebabkan kenaikan harga barangan.
"Oleh kerana harga barangan melambung, rakyat perlu membayar lebih untuk GST, kerana 6 peratus akan dikenakan pada barang dan perkhidmatan yang sudah dinaikkan harga dan bukan harga sekarang.
"Pada akhirnya, segala apa yang diberi kepada rakyat sebenarnya akan dipungut kembali oleh kerajaan.
"Yang berbeza ialah rakyat telah ditolak ke dalam gaung dan terpaksa bergantung hidup dengan pemberian kerajaan," tambahnya.
Menurutnya, Najib juga perlu ingat bahawa semua yang membayar cukai kepada kerajaan - sama ada secara langsung melalui cukai pendapatan atau tidak langsung seperti cukai eksais kereta - berhak membuat tuntutan kepada kerajaan.
Sebagai pembayar cukai, katanya, rakyat berhak memilih siapa sahaja untuk menguruskan negara dalam setiap pilihan raya.
"Dan sebagai sebuah kerajaan yang dipilih, ia bertanggungjawab menjaga kebajikan setiap rakyatnya tanpa mengira pendirian politik mereka.
"Itulah asas kepada sistem demokratik yang adil dan saksama dan berfungsi," tambahnya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.