Tahniah Azmin, 'tautkan yang belah, sambung yang putus dan tampal yang koyak'
Sah, Ahli Dewan Undangan negeri
Bukit Antarabangsa, yang juga Timbalan Presiden PKR Kebangsaan telah diperkenan
Tuanku Sultan Selangor untuk menjadi Menteri Besar Selangor menggantikan Khalid
Ibrahim yang dimangsakan oleh Anwar Ibrahim itu. Sekalung tahniah kepada
saudara Azmin yang saudara akan memulakan tugasan sebagai Ketua Kerajaan Negeri
Selangor berkuatkuasa besok, 23hb September.
Akhirnya terjawab sudah siapa
yang telah ditentukan takdir untuk memikul tanggungjawab dan menyambung kerja
baik yang telah diselenggarakan oleh TS Khalid Ibrahim sejak enam tahun yang
lalu.
Dengan perlantikan Azmin Ali itu,
maka jelas ia telah menggagalkan ‘Kajang Move’ yang diatur dan disusun oleh
Anwar Ibrahim yang dinasihatkan oleh Penasihat Strategi PKR yang ‘famous’ itu.
Bagi Azmin perlantikan beliau itu
tidak boleh diterima sebagai kemenangan peribadi tetapi di sebaliknya terimalah
perlantikan itu sebagai satu tanggungjawab berat untuk meneruskan ketelusan
pentadbiran negeri Selangor yang begitu baik di bawah TS Khalid Ibrahim dahulu.
Azmin, seorang yang berkelayakan
dan mempunyai pengalaman yang luas dalam Dewan Legislatif Negeri Selangor dan
begitu mahir dalam mengurus parti yang beliau sama-sama menubuhkannya pada
tahun 1998 dahulu.
Walaupun beliau bukan pilihan PKR
tetapi ahli-ahli biasa parti itu di Selangor kebanyakan menyokong perlantikan
beliau dan dalam keadaan sekarang saya dapati ramai di antara penyokong Khalid
Ibrahim pun bersetuju bagi Azmin menggantikan Khalid Ibrahim.
Saya berharap Azmin akan menjadi
pemimpin negeri yang ‘magnanimous’ seperti yang saya sebutkan pagi tadi dalam
posting yang sebelum ini. Jadilah seorang Menteri Besar yang tidak terlalu
masuk campur dalam urusan pegawai kerajaan dan pelaksana yang melaksanakan
tugas menyempurnakan dasar yang telah ditetapkan.
Jika terlalu banyak masuk campur
dalam urusan pelaksana maka memerangani isu rasuah akan tidak tercapai. Parti
hanya boleh membuat dan menggubal dasar, tetapi apabila dasar telah digubal,
tugas seorang ahli politik termasuk Menteri Besar hanyalah untuk memastikan
dasar yang digubal itu terlaksana dengan sempurna.
Saya secara peribadi bergembira
dengan perlantikan Azmin ini kerana sememangnya beliau mempunyai sebab dan
moral untuk menjadi Menteri Besar sejak dari tahun 2008 lagi. Tetapi apa yang
telah dipahat oleh Khalid Ibrahim selama enam tahun sebelum ini menjadikan
tekanan terhadap Azmin untuk menyamai ketelusan Khalid jika tidak melebihinya
merupakan satu sasaran yang sangat tinggi bagi Azmin Ali.
Tetapi saya yakin Azmin mampu melakukannya,
kerana Azmin sudah belajar banyak bukan dari kesilapan beliau sendiri tetapi
banyak belajar dari kesilapan orang lain khususnya mentor beliau sendiri Anwar
Ibrahim.
Kepada Wan Azizah, kita berharap
beliau tidak berkecil hati atas perlantikan Azmin, Timbalan beliau dalam PKR.
Anggaplah perlantikan Azmin ini seperti perlantikan untuk parti yang tidak ada
mana-mana pihak yang menentangnya.
Tentunya pemilihan Azmin ini
sudah ditentukan di azali lagi kerana berbagai-bagai pihak yang selama enam tahun
ini mahukan jawatan itu, tetapi dalam keadaan sekarang beliau menjadi pilihan dan
diharap beliau akan mampu bekerjasama dengan pihak Istana dan Legislatif, serta eksekutif dengan baik,.
Ketiga-tiga teras sebuah negeri
yang berdaulat seperti Selangor wajar ‘sehayun dan selenggang’ agar negeri
tidak kacau bilau oleh kerana politik sempit yang dibudayakan oleh politik baru
sekarang ini.
Setakat ini sahaja komen saya dan
akhirnya saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada saudara Azmin Ali,
yang telah tepat dan kena masanya untuk dilantik sebagai Menteri Besar bagi
menggantikan TS Khalid Ibrahim yang teraniaya itu.
Saya yakin Azmin akan berjaya ‘mentautkan
yang belah, menyambung yang putus dan menampal yang koyak’.
Sekali lagi TAHNIAH setinggi-tingginya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.