Followers

Tuesday, September 23, 2014

Umno: Pelantikan Azmin belum tentu selesai kemelut Pakatan


Post Pic
SHAH ALAM: Ketua Pembangkang Datuk Mohd Shamsuddin Lias percaya kemelut jawatan Menteri Besar Selangor ini tidak akan berakhir meskipun Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dilantik sebagai menyandang jawatan itu, menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
 
Ujarnya PKR dan DAP masih belum menyatakan pendirian mereka ekoran kedua-dua parti itu hanya mahukan presiden PKR Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal MB.
 
"Sebenarnya benda ni belum berakhir lagi, saya tak tahu pendirian PKR, DAP. Samada Anwar (terima) atau adakah dia masih mahu isteri dia menjadi MB. Kalau dia mahu maka perkara ni akan berlarutan," katanya kepada Antarapos.
 
Walau bagaimanapun beliau yang merupakan ADUN Barisan Nasional (BN) berkata, parti itu menerima sesiapa sahaja calon yang dilantik Baginda. 
 
"Kita ADUN BN tidak persoalkan siapa MB Selangor yang dilantik Sultan. Sesiapa yang dilantik Tuanku, kami akur" katanya.
 
Tambah Shamsuddin lagi, pelantikan itu sekaligus menggagalkan agenda peribadi Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ini yang bertekad mahu isterinya Wan Azizah menjadi MB. 
 
"Inilah akibatnya parti di bawah pimpinan seorang yang rakus politik. Mereka buat drama, lakonan dan akhirnya kekalutan itu berakhir tanpa tercapai cita-cita hasrat Anwar itu," katanya.
 
Barisan Nasional yang ditunjangi Umno mempunyai 12 wakil dalam DUN Selangor yang sebelum ini memberi sokongan kepada Khalid untuk mengekalkan jawatan itu selepas beliau dipecat daripada PKR bulan lalu. 
 
Bagaimanapun  Khalid terpaksa berundur daripada jawatan MB selepas Wan Azizah mengemukakan sokongan dalam bentuk akuan bersumpah daripada 30 ADUN mahukan beliau menyandang jawatan itu. 
 
Bagaimanapun pencalonan tunggal Wan Azizah oleh PKR dan DAP ditolak Sultan Selangor yang kemudian memilih timbalan presiden PKR Azmin Ali sebagai pengganti Khalid. 
 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.