Ucapan
Datuk Seri Abdul Hadi Awang di muktamar PAS semalam 'seolah-olah selama
ini beliau memendam rasa di dalam dan akhirnya ia pecah keluar
tiba-tiba', kata seorang pemimpin PAS. – Gambar The Malaysian Insider
oleh Nazir Sufari, 21 September, 2014.
Pemerhati dan
pihak media pada hari terakhir Muktamar Tahunan PAS ke-60 semalam
dikejutkan dengan kemarahan yang ditunjukkan Presiden PAS, Datuk Seri
Abdul Hadi Awang dalam ucapan penggulungannya.
Kemarahan itu, seperti juga isi kandungan ucapannya, bukan petanda baik untuk PAS dan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.
Tiga hari lepas, ucapan dasar Hadi penuh dengan keterbukaan dan belas ehsan terhadap semua, baik penyokong mahu pun pengkritik.
Sebaliknya,
kenyataannya pada hari terakhir muktamar yang penuh dengan rungutan dan
kemarahan itu ialah tentang bagaimana beliau akan memastikan PAS ikut
rentaknya sendiri apabila berhadapan isu dasar dan tadbir urus, walaupun
ia sebahagian daripada sebuah gabungan.
Beliau tidak
cuba membentuk kesepakatan antara dua puak bersaing dalam PAS, iaitu
golongan konservatif dan golongan progresif. Sebaliknya, Hadi
mempertahankan puritanisme yang mempengaruhi cara puak konservatif dalam
partinya beroperasi.
"Jangan jadikan
PAS ni hotel, tempat bersinggah. Jangan jadikan PAS ni jambatan pendek
melintas sungai kemudian masuk hutan. Kita bertahaluf dengan PKR, DAP
melalui titik persamaan.
"Ahli PAS mesti
faham ada perbezaan. PKR berdasarkan sekular pragmatik, DAP sekular
sosialis. Kita bukan satu parti," katanya dalam ucapan penggulungannya.
Walaupun beliau
tidak menyatakannya secara khusus, Hadi sudah cukup membayangkan yang
PAS akan menerima jawatan menteri besar Selangor sekiranya dipilih
Sultan.
"PAS tidak
merebut, pelahap jawatan menteri besar. Walaupun tiada persefahaman
siapa menteri besar, walaupun tiada perjanjian bertulis, tetapi ingat,
di sana ada hukum syarak, jangan hukum akal sahaja.
"Bila ada raja yang jaga agama. PAS tidak boleh berdiam diri."
Hadi merujuk
keputusan yang dibuatnya menghantar tiga nama ahli Dewan Undangan Negeri
(Adun) Selangor ke istana, salah seorangnya Adun PAS.
Keputusan itu disokong Majlis Syura Ulama yang besar kuasanya, tetapi tidak dipersetujui Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat.
AJK PAS Pusat
memihak kepada rakan dalam Pakatan, iaitu PKR, dan mahu nama presiden
parti itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dihantar kepada Sultan
bersama dengan timbalannya Mohamed Azmin Ali.
Hadi pernah menyebut sebelum ini yang PAS akan akur dengan apa saja keputusan Sultan Selangor.
"Ucapannya agak
beremosi. Seolah-olah selama ini beliau memendam rasa di dalam dan
akhirnya ia pecah keluar tiba-tiba," kata seorang AJK PAS Pusat selepas
muktamar berakhir.
Menurut
pemimpin PAS yang tidak mahu dinamakan itu, tidak seperti ucapan dasar
Hadi, ucapan penggulungannya seperti melepaskan kemarahan kepada
pengkritiknya dalam AJK Pusat.
"Beliau tidak langsung mengiktiraf sesiapa pun di antara kami, kecuali mungkin seorang," katanya.
Hadi secara jelas menyatakan dia berhak membuat keputusan sebelah pihak yang difikirkannya sendiri walaupun bertentangan dengan kemahuan AJK Pusat.
Beliau juga menekankan parti itu mesti dipandu ajaran Al-Quran dan Sunnah mengikut tafsiran Majlis Syura.
Ini
bertentangan dengan pendirian AJK Pusat yang mengatakan hujah agama
mesti diseimbangkan dengan fikiran yang logik dan rasional.
Bagaimanapun, sesetengah pemimpin PAS seperti Nasrudin Hassan dari golongan "ulama" mengalu-alukan ucapan Hadi.
"Tujuannya ialah untuk memperkuatkan kita dari dalam, supaya kita ada pendirian sendiri apabila berurusan dengan Pakatan.
"Ini akan bantu kita mempertahankan diri dari tuduhan yang PAS hanya menjadi pak turut kepada rakan parti dalam Pakatan."
Seorang lagi
pemimpin kanan PAS berkata, nada ucapan presiden membawa maksud
pertelingkahan akibat krisis menteri besar Selangor tidak selesai dalam
masa terdekat.
"Ia boleh
berlanjutan hingga tahun depan dan mempengaruhi pemilihan parti kita,"
kata pemimpin itu yang juga tidak mahu dikenali.
Tetapi, pada
jangka sederhananya, sekiranya Hadi berpegang teguh kepada keputusannya
menerima menteri besar dari PAS, ia bakal memecahkan Pakatan.
"Jika menteri
besar dari PAS, sudah tentu beliau akan menghadapi undi tidak percaya
dari PKR dan DAP," kata seorang pemimpin DAP yang enggan mendedahkan
identitinya.
Hal ini
keranaia bertentangan dengan kesefahaman yang dicapai Majlis Presiden
Pakatan dalam memutuskan kerusi menteri besar Selangor adalah milik PKR.
Sekiranya
menteri besar dari PAS itu menerima usul undi tidak percaya dalam sidang
DUN pada November, ia mungkin menyebabkan pilihan raya negeri.
Dan PAS dijangka menerima kesan paling besar, sesuatu yang disedari kepimpinan parti.
Dalam
ucapannya, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata daripada 15
kerusi DUN Selangor dimiliki PAS, 9 daripadanya dimenangi dengan
majoriti kecil.
Husam memberi amaran pilihan raya negeri pada ketika ini bakal memusnahkan parti.
Lapan daripada
kerusi PAS itu mempunyai populasi bukan Islam yang sangat besar. Tanpa
sokongan DAP dan PKR, PAS bakal berhadapan dengan kehilangan undi yang
besar.
"PAS mungkin
tidak sedar bahawa rakyat yang meletakkan Pakatan di mana ia berada
sekarang. Mereka percayakan PAS kerana sangka PAS dapat memberikan
sesuatu yang lebih baik.
"Namun jika ia (pilihan raya negeri) berlaku, kepercayaan itu akan hilang," kata pemimpin DAP itu. – 21 September, 2014.
Posted by mountdweller
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.