Mulai 1 Oktober ini, kadar tol untuk semua kenderaan (kecuali
motosikal) yang meninggalkan Singapura melalui Tambak Johor akan
dinaikkan.
Menurut kenyataan itu, kadar baharu tol akan turut dikenakan ke atas semua kenderaan (kecuali motosikal) yang memasuki Singapura menerusi Tambak Johor.
Bagaimanapun, LTA menyebut tiada perubahan dalam kadar yang dikenakan di tol Link Kedua.
Kadar tol sedia ada bagi kereta yang meninggalkan Singapura akan meningkat kepada S$3.80 (dari S$1.20) manakala van dan lori serta bas kecil S$5.80 (dari S$1.90).
Kadar tol bagi teksi serta bas pula akan meningkat kepada S$1.90 dan S$3.10 berbanding S$0.60 dan S$1 sebelum ini.
LTA akan mengenakan bayaran sebanyak $2.70 untuk kereta, $4 (van/lori serta bas kecil), $5.30 (kenderaan berat), $1.40 (teksi) dan $2.20 (bas) yang memasuki Singapura.
Bagi kereta dengan nombor pendaftaran asing, LTA berkata kadar bayaran akan direkod dalam sistem tol dan dipamer kepada pemandu ketika memasuki Singapura.
Pembayaran akan ditolak hanya selepas meninggalkan Singapura (sama ada melalui Tambak Johor atau Link Kedua) bersama-sama kadar tol keluar, bayaran Permit Masuk Kenderaan (VEP) dan caj Jalan Berbayar Elektronik (ERP) (jika ada).
Perkara sama juga akan dilakukan di tol Link Kedua.
Kenyataan itu menyebut Singapura akan menurut jejak langkah Malaysia dalam mengurang atau memansuhkan tol pada masa akan datang. – Bernama, 12 September, 2014.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.