Saya pun pernah ditahan mengikut ISA tetapi tidak pula berminat berjuang di Syria, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Walaupun pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada satu masa dulu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau tidak berminat untuk turut sama berjuang di Syria.
Menteri Dalam Negeri itu berkata, Islam tidak mengajar penganutnya terlibat dalam gerakan ekstremis, sebaliknya mencintai kedamaian dan kesederhanaan.
"Saya tiada maklumat kenapa mereka terlibat dengan aktiviti ini. Saya pun pernah ditahan ISA pada 1998. Tetapi saya tidak berminat ke Syria.
"Pada pendapat saya, jangan fikir penyertaan sebagai individu ialah sebagai ahli jihad. Yang penting, apa yang berlaku ialah masalah dalam negara berkenaan," katanya.
Ahli Parlimen Bagan Datoh itu berkata, walaupun rakyat Malaysia bersimpati dengan apa yang berlaku di negara luar, bantuan yang seharusnya diberikan adalah bantuan kemanusiaan dan bukannya perjuangan mengangkat senjata.
"Kita boleh beri bantuan kemanusiaan, bukan pasukan menyokong atau menentang. Jika sesuatu berlaku, ia akan beri imej buruk kepada negara.
"Kita tidak mahu negara luar melihat Malaysia sebagai sarang melatih pengganas," katanya.
Beliau berkata, sekiranya berlaku insiden yang tidak diingini, mereka akhirnya akan kembali kepada kerajaan.
"Kalau ada yang terbunuh, tercedera, akhirnya mereka akan merujuk kerajaan untuk uruskan segala-galanya," katanya merujuk kepada laporan media bekas tahanan ISA dipercayai berjuang di Syria.
Zahid turut menekankan kepentingan semangat kesederhanaan.
"Saya harap kesederhanaan atau wasatiyah menjadi pegangan kita, jangan ekstrem ke kanan atau ke kiri.
"Kalau mereka benar-benar patuh hukum Islam, mereka tidak harus lakukan perkara ekstrem. Jihad tiak semestinya berperang, yang penting jihad dengan diri sendiri," katanya.
Katanya, keutamaan harus diberikan untuk menjaga imej agama Islam itu sendiri.
"Saya tidak mahu menyanggah mana-mana pihak, yang penting imej agama perlu dipertahankan," katanya.
Pihak berkuasa mengenal pasti sekurang-kurangnya 5 bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kini berjuang untuk militan Negara Islam di Iraq dan Syria (Isis) di Syria, walaupun bilangan rakyat Malaysia yang terkorban di wilayah itu meningkat kepada 3, menurut laporan The Star.
Mereka ialah Zainuri Kamaruddin, Rafi Udin, Zid Saharani Mohamad Esa, bekas ahli Jemaah Islamiyah Samad Shukri dan bekas ketua penerangan Pemuda PAS Kedah Mohd Lotfi Ariffin.
Rafi, 48, dan Zainuri, 47, mengalami kecederaan semasa bertempur dengan tentera presiden Syria Bashar Al-Assad bulan lepas.
Zainuri sebelum ini ditangkap dan didakwa mengikut Akta Senjata Api 1960 selepas didapati terlibat membuat senjata api untuk aktiviti militan.
Rafi pernah ditahan di bawah ISA kerana penglibatannya di dalam aktiviti yang didapati membahayakan keselamatan negara.
Selepas ditahan kira-kira 5 tahun, dia dibebaskan pada Oktober 2006 apabila Kementerian Dalam Negeri berpuas hati yang dia sudah pulih. – 11 September, 2014.
http://www.themalaysianinsider.com
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.