Mungkin
saya terlalu memikirkannya, hingga terasa konflik dalaman PAS ekoran
kontroversi jawatan Menteri Besar Selangor begitu kritikal dan merasakan
ia boleh membawa perpecahan serius dalam parti, namun keresahan itu
rupanya turut dikongsi oleh lebih ramai khalayak dan aktivis.
Pastinya
saya tidak keseorangan dikepung kebimbangan. Berjumpa rakan-rakan, hal
sama yang disoal, malah ada kawan lama yang jarang bertanya khabar,
tiba-tiba saja menghantar SMS: "Hang sebelah mana Lutfi, Anwar atau Haji
Hadi?" Lama juga saya garu kepala yang tidak gatal ...
Tidak
kurang pembaca yang menegur Harakah kerana memilih tajuk muka depan, PAS
Hadapi Ujian Getir. Kata mereka, saya tidak bijaksana kerana
seolah-olah mendedahkan masalah dalaman parti kepada masyarakat umum.
"Mungkin
kerana salah urus, hal ini sudah menjadi serius dan tidak mustahil
menjadi lebih parah. Jadi, semua pihak dalam parti mesti tulus mencari
jalan keluar," saya membalas. "Orang ramai sedang memerhati kita, dan
kebanyakan mereka agak pelik dengan isu ini," tambah saya.
Ya,
ketika negara dikejutkan dengan pelbagai insiden dan tragedi -- misalnya
amukan tanpa henti penangkapan di bawah Akta Hasutan 1948 (yang
sudahpun diumumkan pemansuhannya oleh Perdana Menteri dua tahun lalu),
juga kebocoran tiga kertas peperiksaan UPSR yang memaksa ia ditangguh
dan diadakan semula -- tinjauan rambang di media sosial masih
menunjukkan "pertelagahan sesama sendiri" penyokong Pakatan Rakyat belum
berakhir.
Akta
Hasutan bukan lagi memburu tokoh-tokoh politik oposisi, malah mencengkam
aktivis mahasiswa, para pensyarah, peguam, pendakwah dan juga khatib
Jumaat. Nama-nama terbaru yang masuk dalam senarai adalah Ustaz Wan Ji
Wan Husin, Hassan Karim (Naib Pengerusi KeADILan Johor), Edmund Bon
(Majlis Peguam) dan Ustaz Abu Bakar Kaikalani Abu Hassan.
Peguam
terkemuka Hanipa Maidin memberi respons: "Saya tidak fikir penggubal
undang-undang ini (Akta Hasutan) boleh terfikir tangan undang-undang ini
terlalu panjang sehingga seorang khatib yang berkhutbah Jumaat juga
akan disiasat di bawah akta ini. Sejak bila pula bidangkuasa polis
dilebarkan hingga ke urusan dalam masjid?"
Perbahasan
tentang isu-isu kenaikan harga barang, kerugian MAS, impak GST,
demonstrasi peneroka Felda, juga kenyataan menteri bahawa pendapatan isi
rumah di negara kita melepasi RM5,900 sebulan (ketika 70 peratus orang
Melayu menerima BR1M, yakni berpendapatan di bawah RM3,000), seperti
tidak dipedulikan.
Ya,
472,853 pelajar Tahun Enam, yang sepatutnya sudah lega dengan selesainya
UPSR dan menikmati percutian bersama keluarga terpaksa menunggu tiga
minggu lagi, selain menanggung tekanan mental. Sebenarnya ini bukan kali
pertama kertas peperiksaan UPSR bocor, tetapi sebelum ini ia tidak
sampai dipaparkan secara meluas melalui online, malah dengan bukti
kukuh. Irinonya, Muhyiddin Yassin terselamat ...
Tepat
sekali ungkapan rakan saya, kolumnis Zulkifli Yahaya, bahawa Malaysia
seolah-olah hilang pembangkang untuk tempoh yang agak lama, sehinggakan
kerajaan BN pimpinan Najib Razak kelihatan sangat selesa, disebabkan
masa dibazirkan dengan begitu banyak untuk isu MB Selangor.
Bukan
itu sahaja, tiba-tiba sesama aktivis jamaah yang juga sahabat
seperjuangan, begitu mudah sekali prasangka menguasai. Segalanya --
termasuk komen dalam FB, SMS, Whatsapp, hatta tanda "like" ataupun
"share" -- ditafsirkan daripada sudut yang boleh mencetuskan
"perbalahan".
Sehingga
saya termenung sendiri: "Petaka dan kegilaan apakah ini? Di mana
hilangnya adab dan akhlak?" Perbahasan dan diskusi sepatutnya berjalan
secara matang dan terbuka. Perbedaan pendapat dan percanggahan idea
adalah lumrah, namun hadapilah dengan kepala dingin. Sesungguhnya
masyarakat sedang menilai dan menghakimi kedewasaan kita melalui krisis
ini.
Pada
petang Khamis, 11 September lalu, semasa menziarahi bekas Naib Presiden
PAS, Dr Daeng Sanusi Mariok, di kediamannya, Sungai Merab, Bangi, beliau
kelihatan teragak-agak untuk berbicara "masalah dalaman yang serius
itu", bimbang kesan lebih buruk timbul.
"Saya
teringat pepatah Arab, kalau bercakap itu ibarat suasa atau perak, maka
berdiam diri itu umpama emas. Kita juga disaran agama agar tidak
bercakap sesuatu yang tidak ada kena mengena dengan kita," Pak Daeng
menuturkan dengan berhati-hati sekali, sambil mengakui apa yang berlaku
dalam parti tidak boleh dipandang ringan.
"Kita
sudah merasai bagaimana pedihnya berdepan kekalahan di Kelantan pada
1978, hanya tinggal dua kerusi. Ada yang malu nak berjumpa dengan orang
dan ada yang tidak bersedia mengaku sebagai ahli PAS pun. Ambillah itu
sebagai pengajaran," tambahnya.
Mengimbau
kembali era 70-an, Pak Daeng mahu hubungan erat sesama pimpinan di kala
itu, meskipun mereka berbeda pandangan, dapat dikembalikan. Beliau
dipilih pertama kali sebagai Naib Presiden di bawah kepemimpinan Dato'
Asri Muda pada 1975. "Jangan hanya bertemu di waktu mesyuarat, harus ada
pertemuan santai yang sebenarnya lebih mengeratkan kita, masa kami dulu
ada juga main terup keling dan domino," tambahnya sambil ketawa
panjang.
"Pimpinan
PAS dulu, apabila keluar daripada mesyuarat dan sesuatu perkara itu
sudah menjadi keputusan walaupun dia tidak bersetuju, dia masih akur,
pikul sama. Tidaklah keluar dari mesyuarat jaja, "Oh, itu saya tak
setuju. Itu tak betul". Tidak ada. Orang PAS dulu tidak begitu.
Malangnya sekarang semacam ada riak-riak sedikit sebanyak yang tidak
beramal, tidak menghormati pendirian bersama sesama jemaah. Suka
bercakap, suka membuat kenyataan. Aduh," ujar Pak Daeng.
Pandangan
dan nasihat Pak Daeng, yang juga bekas Pengarah Urusan Harakah, akan
dimuatkan dalam Harakah keluaran khas sempena muktamar, edisi Jumaat
depan.
Selepas
lebih dua jam, kami terpaksa menamatkan sesi sembang-sembang bersama
bekas Ahli Parlimen Rantau Panjang (1990-99) itu, untuk bergerak ke
rumah Dr Redzuan Othman, profesor sejarah Universiti Malaya, di Sungai
Ramal, Kajang. Saya kerap menemuinya apabila timbul isu-isu besar dalam
dunia politik dan alam akademik negara ini.
Ternyata
dia juga cukup prihatin dan bimbang dengan masa depan Pakatan. Beliau
yang mempunyai hubungan rapat dengan Anwar Ibrahim dan pimpinan
tertinggi PAS, termasuk Tuan Guru Abdul Hadi Awang, mahu segala yang
keruh dapat dijernihkan, agar kekusutan dapat dilerai dan salahfaham
mampu dibetulkan.
Dr
Redzuan menjelaskan, sejarah politik Malaysia menyaksikan BN akan menang
dengan kedudukan selesa apabila parti pembangkang tidak bersatu.
"Barisan
Alternatif pada PRU 2004 pecah bila PAS dan DAP buat cara masing-masing
selain faktor persempadanan 2003 dan imej bersih Pak Lah sebagai
Perdana Menteri. Dalam PRU13 pula, calon BN menang mudah di kawasan
pertembungan tiga penjuru. Itu yang berlaku seperti di Kota Damansara
dan Semenyih tahun lepas. Bayangkan kalau ada pilihan raya di Selangor
ketika Pakatan dalam keadaan sekarang, saya jangka BN boleh dengan mudah
dapat dua pertiga majoriti," ujarnya, sambil mengharapkan penyelesaian
terbaik dapat dicapai.
"Saya
yakin masih ada ruang dan keadaan sekarang tidaklah sampai tahap menang
jadi arang, kalah jadi abu," katanya sambil ketawa kecil. Baginya, tiga
pimpinan utama Pakatan, Anwar, Ustaz Hadi dan Lim Kit Siang, masih
diperlukan barisan oposisi.
"Pandangan
yang minta supaya Tuan Guru Hadi, Anwar dan Kit Siang letak jawatan
untuk beri laluan kepada pimpinan lebih muda akan hanya mempercepat
kemusnahan Pakatan Rakyat," kata Dr Redzuan.
Mendengar
cerita Dr Redzuan, saya dapat menangkap mesej bahawa persefahaman di
kalangan ketua-ketua parti dalam Pakatan perlu dipertingkatkan. Kadang
kala ada jurang komunukasi yang nyata. Ada kalanya sensitiviti PAS
berbeda dengan sensitiviti KeADILan dan DAP. Tindakan dan aksi harus
disepakati, atau sekurang-kurangnya dapat dimengerti.
Tiada
sesiapa harus berlagak bagai "big brother" yang mungkin menyakitkan
perasaan teman-teman lain. Dan seperti ingatan Pak Daeng untuk pimpinan
PAS, "pegang betul-betul keputusan yang dirumuskan bersama, walaupun
secara peribadi ada yang tidak bersetuju, dan lebih penting jaga akhlak
berjemaah".
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.