Forum pertama anjuran Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) malam tadi yang mensasarkan untuk menghalang sebarang kerjasama di antara PAS dan Umno menyaksikan hadirin meluahkan kemarahan terhadap parti Islam itu dan presidennya berhubung peranan mereka dalam krisis menteri besar Selangor.
Persoalan sama ada Datuk Seri Abdul Hadi
Awang perlu dikenakan tindakan kerana menentang keputusan parti dalam
isu menteri besar Selangor termasuk masa depan PAS dalam Pakatan Rakyat
(PR) diajukan kepada ahli panel seperti Presiden PasMa Datuk Phahrolrazi
Zawawi, Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa
dan Pakar Perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari.
“Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipecat
PKR kerana enggan menurut keputusan parti, apakah tindakan yang akan
dikenakan terhadap Hadi kerana menentang keputusan parti dalam isu MB
Selangor?” soal seorang hadirin disambut dengan tepukan gemuruh di Dewan
Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor di Kuala Lumpur malam
tadi.Terdapat juga hadirin yang merungut bagaimana rosaknya imej PAS
dalam menguruskan krisis ini sehingga seorang daripada hadirin
mempersoalkan Mujahid mengapa beliau dan pemimpin seperti Dr Dzulkefly
Ahmad dan Khalid Samad perlu memberikan penjelasan kepada orang ramai
berhubung masalah dilakukan pemimpin lain.
Mujahid yang berhati-hati memberikan
penjelasan kepada kira-kira 500 hadirin berkata PAS tidak akan
bekerjasama dengan Umno dan Hadi tidak dianggap maksum oleh parti Islam
itu.
“Saya ingin beritahu di depan semua
orang, PAS tidak mempunyai niat untuk bersekutu dengan Umno,” katanya
disambut dengan tepukan hadirin pelbagai kaum di forum bertajuk PAS
Campur Umno: Ke Mana Hala Tuju itu.
Mujahid berkata, tiada perjuangan dalam
parti atau gerakan Islam yang mensucikan pemimpin tertentu dan mereka
juga boleh ditegur kerana tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.
AJK PAS Pusat itu berkata, ketaatan
kepada pemimpin bukan bersifat mutlak kerana kepatuhan sepenuhnya hanya
diberikan kepada perintah Allah dan Nabi Muhammad.
“Kami orang PAS dididik dengan satu
hadis Nabi Muhammad, ‘ketaatan manusia sesama manusia adalah ketaatan
yang tidak mutlak manakala ketaatan kepada Allah dan rasul itu adalah
mutlak’,” katanya.- TMI
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.