Rumah sudah siap, pahat masih berbunyi. Kenapa pahat masih berbunyi?
Sebab ada tukang pahat yang sibuk menarik perhatian.
Entah benda apa
yang dipahatnya, bising sekali. Padahal tukang cat, tukang bancuh simen,
tukang pasang wayar, semuanya sudah pulang ke rumah melayan anak isteri
masing-masing.
Demikian adanya "krisis" pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang
minggu lalu sudah membuat ramai orang menarik nafas lega. Lega kerana
benda yang dipanggil krisis ini nampaknya sudah bikin lelah ramai pihak,
hatta apa sahaja penyelesaian boleh diterima. Yang beriya tak mahu
Azmin Ali jadi menteri besar pun akhirnya mengalah.
Mengalah kerana seperti juga rakyat yang lainnya, sudah tersangat letih
dan malas fikir banyak. Selagi tidak selesai isu Selangor, selagi itu
lah kerja lain tak boleh dibuat. Maka apa sahaja jalan selesai akan
dipersetujui. Tak perlu cakap banyak lagi.
Namun malangnya ada tukang pahat ini, yang masih berbunyi-bunyi.
Barangkali dia mahu orang tahu dia pun bekerja juga. Atau dia mahu
tunjuk rajinnya, yang masih mahu memahat apa-apa yang boleh, supaya
diiktiraf peranannya itu dalam proses membina rumah.
Krisis MB Selangor memang berpunca dari salah sukat teman-teman PKR.
Nawaitu asalnya jelas mahu melengser Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dan
digantikan dengan orang lain. Cuma sewaktu "Langkah Kajang" itu
direncana, tidak ada kata putus tentang siapa yang akan menggantikan
Khalid. Jadi ada sedikit serabut di situ.
DAP sebagai rakan yang setia dan barangkali memahami kelaku PKR yang
suka buat benda pelik-pelik, sekadar menurut sahaja. Lagipun sudah
memang konsensus bersama kerusi MB Selangor itu milik PKR, jadi dia
punya pasallah apa dia nak buat.
DAP akur dengan setiap satu kerenah PKR. Sebaik sahaja diumum Langkah
Kajang, ia bergegas membuka pusat operasi, dan menyatakan kesediaan
membantu. Tak cakap banyak. Setelah tempoh hari diputuskan Azmin yang
jadi MB dan bukan Datuk Seri Dr. Wan Azizah, DAP juga setia menyatakan
persetujuan. Tak banyak bunyi.
Bagi DAP, Khalid mesti dilengser.
Yang
tidak mahu Khalid dilengser ini PAS. Parti Islam tersebut ternyata
menghasilkan lebih banyak kerenah berbanding PKR, dan menambah rumit
kepada kerja yang sedia jenuh. PAS dengan cemerlang dan jayanya
berfungsi seperti tikus membaiki labu, sambil mempertontonkan kepada
umum betapa tunggang terbaliknya parti politik tersebut ketika
muktamarnya berlangsung. Inilah dia pahat yang masih bising itu.
Kekalutan PAS ini bermula saat bocor perbualan Whatsapp pimpinan
pusatnya, yang kemudian menimbulkan syak ramai pihak termasuk orang
kebanyakan tentang keikhlasan PAS dalam bertahalluf bersama DAP dan PKR.
Itu kemudiannya disambut dengan langkah dangkal menyerang kepimpinan
Ketua Menteri Pulau Pinang dalam soal terowong bawah laut, yang akhirnya
membuatkan Lim Guan Eng terpaksa memfailkan saman terhadap Ahli
Parlimen PAS Temerloh, Ustaz Nasrudin Hasan.
Tidak selesai itu, beberapa kali pula pimpinan utama PAS melakukan aksi
u-turn dalam soal pencalonan MB, setelah mesyuarat memutuskan
sebaliknya. Mulanya setuju Dr. Wan Azizah, kemudian tidak jadi. Kemudian
katanya calonkan Azmin juga, namun akhirnya hantar nama Adun sendiri.
Tak habis lagi di situ, bergaduh pula di muktamar sampai Pengerusi Tetap
terpaksa dikejarkan ke hospital kerana sakit dada dan sesak nafas
melayan kerenah perwakilan. Perwakilan pula ada yang tabur fitnah
samakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan Barisan Nasional, walhal
perwakilan itu Ahli Majlis MPPP.
Kemudian meracau lah kata kena buli dan sebagainya. Eh, anak jantan
kalau lari balik ke rumah mengadu kena buli, pastilah ditampar di
belakang kepala. Apa punya lembik.
Persoalannya sekarang, setelah PAS kelihatan begitu kucar kacir (padahal
PKR si pencetus masalah sudah berdamai dan maju ke depan) apa
sebenarnya yang PAS sedang kerjakan?
Di saat orang sedang penat berkempen lawan Akta Hasutan, lawan politik
ras, mendesak soal-soal ekonomi dan sebagainya, PAS seakan khayal dengan
sesuatu yang tidak dapat kita pastikan.
Adakah masih wujud kelompok yang masih berahi mahu menikah dengan Umno
sehingga angau kala pulang ke rumah Pakatan Rakyat?
Kerana bibit-bibit
serangan geng Kerajaan Perpaduan itu dapat kita saksikan dengan
rancaknya serangan-serangan teman-teman dari PAS terhadap Kerajaan
Negeri Pulau Pinang.
Malah sebenarnya kita dapat lihat betapa ada
kumpulan di dalam PAS yang seakan begitu teringin mahu dihalau keluar
dari rumah PR, demi berahinya terhadap Umno.
Seandainya sikap ini tidak dibetulkan, dan tanzim PAS tidak benar-benar
muhabasah akan keadaan yang membelenggu parti ini, nescaya tidak
mustahil ramalan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang Kelantan tidak lagi
akan menjadi jajahan PAS.
Semalam ada teman-teman di laman sosial berkongsi gambar pimpinan PR di
Kedah sama-sama bersarapan, dengan kapsyen bertulis "Kesepakatan kami
sayang PR". PR di Kedah nampaknya sudah insaf dan sedar tugas melawan
Umno hanya boleh dilakukan sekiranya ia dilakukan secara berjemaah.
Seandainya PAS gagal untuk menyedari hakikat keperluan bekerja secara
berjemaah serta untuk kembali kepada konsensus dan dasar bersama PR,
pastinya rakyatlah yang akan menanggung sengsara harus bertuankan Umno
untuk beberapa generasi lagi. Dan PAS akan terpaksa membina semula tapak
sokongannya yang roboh.
Jadi apa kerja PAS sekarang? Meraung lari pulang mengadu kena buli, atau
mengesat air mata dan membalut luka untuk terus berjuang bersama PR
demi kemaslahatan ummah? PAS fikirkan. Takkan saya pula kena tolong
jawab? – 30 September, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/apa-kerja-pas-hari-ini-izmil-amri#sthash.LpY99hon.dpuf
KedahLanie