Followers

Wednesday, April 16, 2014

Pelajar saman universiti milik Syed Mokhtar kerana gagal beri notis penutupan operasi


Enam pelajar Universiti Antarabangsa Albukhary (AiU) hari ini memfailkan saman terhadap universiti itu kerana dakwaan gagal memberi notis penutupan AiU mengikut tempoh yang ditetapkan oleh Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta.

Plaintif terdiri daripada Mohd Raimy Fahmy Mohd Radzi, 22; Muhamad Hanif Ahmad Fauzi, 21; Hanif Hafifi Mahali, 21; Mohamad Hanif Kamaruddin, 21; Muhammad Syafiq Abd Shamad, 21, dan Farhan Sani Safiyuddin, 20.

Saman itu yang difailkan di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Alor Setar oleh peguam plaintif, Fatimah Idris, menamakan AiU sebagai defendan pertama manakala Ketua Pendaftar Institusi Pendidikan Tinggi Swasta serta Kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua dan ketiga.

Fatimah memberitahu pemberita semua plaintif menuntut supaya defendan mematuhi Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta yang memperuntukkan defendan perlu mengeluarkan notis penutupan universiti dalam tempoh setahun sebelum ia ditutup.

"Dalam tempoh itu, ia dapat memberi ruang kepada pelajar-pelajar untuk merancang apa yang perlu dilakukan. Tapi dalam kes ini tiada sebarang notis bertulis dikeluarkan, sebaliknya mereka hanya tahu secara lisan bahawa AiU akan ditutup Jun ini pada Februari lalu," katanya.

Sebelum ini The Malaysian Insider melaporkan universiti milik penuh hartawan Malaysia, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary di Kedah ditutup ekoran rasa tidak puas hati pelajarnya dan isu pihak pengurusan – dengan pelajarnya akan mula dipindahkan ke universiti lain minggu depan.

Pegawai AiU di Alor Setar, Kedah memberitahu The Malaysian Insider, 600 pelajar sesi pertama akan mula dipindahkan ke universiti lain mulai minggu ini.

"Di peringkat awal, kami dinasihatkan untuk penstrukturan semula namun kini dinasihatkan kementerian (pendidikan) untuk tutup.

"Mungkin penutupan sementara atau selamanya. Jika kami diarahkan rombakan semula, itu yang akan kami lakukan. Tapi kami masih menunggu arahan selanjutnya daripada kementerian," katanya.

AiU – universiti yang dilengkapi penginapan dan kemudahan komprehensif di atas tanah berkeluasan 18 hektar terletak di Alor Setar – dibina pada 2010 sebagai waqaf yang dibiayai Yayasan Albukhary milik Syed Mokhtar .

Universiti antarabangsa itu mempunyai pelajar dari lebih 50 negara dengan 75% daripadanya adalah penuntut asing. Setiap pelajarnya menerima biasiswa daripada yayasan itu.

Universiti berkenaan menawarkan bidang pengajian ijazah jurusan Perbankan dan Pembiayaan, Pentadbiran Perniagaan, Teknologi Maklumat dan Sains Komputer. Semua programnya diluluskan kementerian melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Kakitangan dan pelajar di universiti itu menghadapi ketidaktentuan beberapa bulan lepas berikutan spekulasi operasinya akan dihentikan disebabkan masalah kewangan dan akan dijual. –TMI

Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.