Followers

Tuesday, January 21, 2014

POLEMIK PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH......

UJIAN PENTING KENEGARAAN
Polemik penggunaan kalimah Allah oleh bukan Muslim nampaknya belum selesai. Sebenarnya, ia telah bermula sejak awal dekad 1980-an lagi. Sebab itu, di sesetengah negeri kita dapati ada larangan dari segi undang-undang untuk sejumlah perkataan digunakan.
Secara peribadi, saya berpendapat orang bukan Muslim patut dibenarkan mengguna kalimah Allah  dalam kitab mereka, sekiranya memang itu yang dipercayai mereka. Namun tulisan ini tidak bermaksud membincangkan hal tersebut. Saya sedang mengemaskini tulisan lebih panjang mengenai hal itu untuk diterbitkan nanti.
AGAMA DAN KEKUASAAN

Isu ini menarik. Ia merupakan satu lagi ujian penting kenegaraan bagi masyarakat kita terutama Muslim. Jika dulu kita dihadapkan dengan persoalan sama ada agama (dalam kes Malaysia, Islam) dan politik perlu dipisahkan atau tidak – sehingga timbul isu kafir mengkafir, isu ini membawa persoalan lebih rumit – sama ada Muslim patut campur tangan dalam isu kepercayaan bukan Muslim atau tidak.


Sudah tentu bagi saya tidak. Jika Muslim boleh berbuat demikian, apatah lagi dalam perkara yang sangat fundamental dalam hal beragama  iaitu mengenai Tuhan, mengapa tidak campur tangan dilanjutkan terus dalam semua perkara?
Sementara saya sedar akan kebimbangan Muslim mengenai persoalan ini dan ia ditunjukkan dalam kajian oleh Merdeka Center dulu dan UMCEDEL baru-baru ini. Pendapat majoriti tidak harus menghentikan isu ini daripada terus disantuni.
Memang isu ini mempunyai kesan politik yang besar dan saya tidak terkejut jika ia merupakan isu tunggal yang menyebabkan Pakatan Rakyat (PR) tewas dalam pilihan raya umum lalu. Namun, mengelak daripada membincangkan isu ini secara tertib hanya menyerlahkan lagi jiwa kerdil kita yang tidak sedia menawarkan kepimpinan dalam polemik yang menjadi sumber kebencian, perpecahan dan tuduh menuduh dalam masyarakat.
SEKULARISASI?

Ramai yang menyangka pemisahan agama dan politik adalah sesuatu yang biasa di Barat dan di kalangan penganut Kristian. Ini sebenarnya satu pandangan cetek. Berdasarkan rekod sejarah, agama dan politik yang tidak terpisah itu juga ada dalam pengalaman Barat dan Kristian. Hal pemisahan agama dan politik hanya muncul kemudian.


Di sesetengah tempat di Amerika misalnya, pernah hanya penganut Kristian sahaja dibenarkan memegang jawatan dalam perkhidmatan awam dan diberikan peruntukan tertentu, sumpah perlu dibuat berasaskan keyakinan kepada Triniti dan sebagainya termasuk keistimewaan kepada mazhab tertentu dalam agama Kristian itu sendiri.
Layanan tidak sama di sisi perlembagaan dan undang-undang inilah yang menyebabkan ada penindasan, kezaliman dan perpecahan berlaku dalam masyarakat. Disebabkan itu, agama tidak lagi murni sebaliknya dilihat sebagai alat paksaan dan tekanan.
ILTIZAM POLITIK

Sudah tentu, dalam realiti politik di mana penganut agama tertentu membentuk majoriti, ahli politik tidak lazim mengambil risiko membuat keputusan dasar yang dilihat boleh menyebabkan mereka kehilangan sokongan penganut agama ini. Bahkan, dengan itulah lazimnya penindasan, kezaliman dan perpecahan bermula.


Namun, tidak bagi Thomas Jefferson, Presiden Ketiga Amerika Syarikat yang juga pengarang Deklarasi Kemerdekaan negara itu serta James Madison, Presiden Keempat Amerika Syarikat yang juga dikenali sebagai Bapa Perlembagaan negara itu. Meskipun menganut Kristian, mereka tidak teragak-agak untuk mempertimbangkan keadilan bagi semua pihak.
Mereka menolak campur tangan penguasa – yang hanya manusia lain, tidak terlepas daripada salah dan silap – untuk menentukan apa yang boleh dan tidak boleh diyakini seseorang dalam hal berkeyakinan. Perubahan keyakinan hanya boleh dilakukan dengan hujah dan keyakinan lain.
Selain itu, mereka juga menolak penggunaan dana awam oleh pihak penguasa untuk agama tertentu atau semua agama, atau tokoh agama tertentu atau semua tokoh agama. Tidak ada sesiapa pun patut dipaksa, disekat, dicabul atau dibebankan untuk menanggung keperluan agama melalui perintah penguasa. Semua orang perlu bebas untuk menganut mana-mana agama yang mereka yakini dan menyumbang mengikut keyakinan mereka sendiri.
Menggantung kemurnian agama kepada undang-undang, termasuk keperluan menyokongnya dengan dana awam, menggambarkan seolah-olah manusia perlu bertanggungjawab kepada manusia lain dalam urusan agamanya, dan kemurnian agamanya tidak akan dipercayai tanpa sokongan kekuasaan. Lebih buruk lagi, dalam kes campur tangan kekuasaan dalam hal ehwal agama (termasuk agama lain) memberi gambaran seolah-olah mahkamah adalah tempat yang layak menentukan benar atau batilnya sesuatu agama.
Sesungguhnya, agama tidak bermula kerana adanya dasar awam mengenainya. Ia telah sedia berkembang sejak sekian lama, sebelum adanya institusi awam sebagaimana masa kini. Agama yang pada mulanya dilihat sebagai sumber untuk mengukuhkan nilai-nilai murni dalam kekuasaan, kelihatan lebih banyak perlu bergantung kepada kekuasaan itu sendiri, bukan sebaliknya.
Dalam banyak keadaan, kedua-duanya – agama dan kekuasaan – dilihat bersatu dan saling mempergunakan untuk mengekang kebebasan sivil.
TERUSKAN WACANA

Mengambil kira luas dan dalamnya “faktor agama” dalam wacana awam di Malaysia, tentulah persoalan ini tidak mudah. Namun, saya melihat polemik penggunaan kalimah Allah ini boleh dijadikan landasan untuk masyarakat mula membincangkan apakah bentuk ideal hubungan agama dan politik (baca: kekuasaan) bagi negara kita.

UTUSAN KINI.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.