Ia
digelar “perkahwinan paling hebat tahun ini” kerana kemewahannya,
tetapi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar) mempertahankan dan
berkata majlis perkahwinan serta resepsi makan malam mewah anak
perempuannya diadakan di Kuala Lumpur sebagai perbelanjaan berhemah
ketika Putrajaya mengambil langkah penjimatan.
Anak perempuan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu, Nina
Sabrina berkahwin dengan selebriti yang juga pereka fesyen Indonesia,
Jovian Mandagie menerusi majlis perkahwinan mewah termasuk majlis akad
nikah di bangunan bekas Istana Negara serta kenduri dua hari di sebuah
hotel lima bintang di Kuala Lumpur, yang dihadiri oleh golongan raja,
selebriti, ahli politik dan pembesar negara.
“Untuk mengurangkan kos, saya meminta menantu saya untuk
mengadakannya di KL. Jika ia dibuat di Jakarta, keluarga dan
saudara-mara saya perlu terbang ke sana dan akibatnya, saya perlu
menanggung kos yang lebih untuk tiket penerbangan dan penginapan.
“Jadi itulah sebabnya majlis diadakan selama dua hari – satu untuk
keluarga saya, dan satu lagi untuk besan saya. Tetapi tanpa mengetahui
faktanya, saya diserang,” kata Ismail kepada The Malaysian Insider,
sambil menambah bahawa majlis resepsi di kampungnya di Temerloh, Pahang
dilakukan secara gotong- royong iaitu semua orang menyumbang tenaga
untuk membantu.
Bagaimanapun, menteri itu enggan mendedahkan kos perkahwinan itu.
“Tiada siapa di Malaysia mengisytiharkan perbelanjaan perkahwinan anak mereka, adakah saya perlu?” katanya.
Majlis perkahwinan anaknya turut menampilkan barisan penyanyi
terkenal Malaysia termasuk Datuk Jamal Abdilah dan diva Indonesia, Ruth
Sahanaya bagi menghiburkan tetamu dengan lagu mereka.
Dipersoalkan kerana menggunakan bekas istana negara untuk majlis akad
nikah, di mana sewa adalah RM25,000 untuk lapan jam, Ismail Sabri
berkata, menantunya menerima “pakej yang baik” sebagai balasan untuk
publisiti.
“Ia adalah majlis perkahwinan pertama diadakan di sana. Beliau adalah
seorang pereka terkenal dan perkahwinan ini menjana banyak liputan,
termasuk program Mahligai Cinta di TV3. Jadi ini adalah iklan yang baik
untuk Istana Negara bagi pakej perkahwinan yang mereka akan tawarkan,”
katanya.
Awal minggu ini, rakan sekerja Ismail, Menteri Dalam Negeri, Datuk
Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dikritik kerana menganjurkan parti “hari
jadi” mewah di sebuah hotel lima bintang di Kuala Lumpur yang tetamunya
mendakwa ia menjadi majlis sambutan Tahun Baru.
Beberapa penulis blog pro- Umno juga mempersoalkan atas keperluan apa
Jabatan Perdana Menteri mempunyai dua jet VIP selepas ia mendedahkan
bahawa Putrajaya menghabiskan RM180 juta untuk mengekal dan
mengendalikan jet kerajaan untuk perjalanan rasmi pada 2012.
Perkahwinan, ditambah pula dengan parti mewah Ahmad Zahid dan juga
pembelian kereta Mercedes mewah oleh kerajaan negeri Pulau Pinang untuk
Ketua Menteri, Lim Guan Eng datang ketika kebanyakan rakyat Malaysia
merungut tentang kenaikan harga tarif elektrik, makanan, bahan api dan
kos persekolahan.
Harga bahan api, gula, ais dan tarif elektrik naik selepas Putrajaya
mengurangkan subsidi manakala tambang pengangkutan awam akan meningkat
tahun ini. Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) juga akan diperkenalkan
pada 2015.
Perbelanjaan kerajaan melonjak dengan bajet tahun ini sehingga
RM264.2 bilion berbanding RM251.6 bilion tahun lepas di tengah-tengah
kebimbangan bahawa Putrajaya tidak mengurangkan perbelanjaannya
walaupun meminta orang ramai untuk berbuat demikian.
Rakyat juga mencemuh pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Razak pada 30 Disember bahawa Putrajaya akan melaksanakan 11 langkah
penjimatan untuk mengurangkan perbelanjaan pada 2014.
Pakar ekonomi Najib, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri
Abdul Wahid Omar menasihatkan pengguna agar berbelanja dengan bijak dan
mencari alternatif bagi menampung kos sara hidup.
Bekas pegawai bank itu berkata, rakyat Malaysia perlu berjimat cermat dan hidup mengikut kemampuan mereka.
“Saya pergi ke pasar setiap minggu. Saya tahu bahawa harga keperluan
asas adalah tinggi, tetapi pengguna mempunyai pilihan dalam
membelanjakan wang mereka,” katanya, menurut sumber The Malaysian
Insider.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.