Followers

Saturday, December 21, 2013

S'gor perlu kaji kenaikan cukai PBT sehingga 400% - Nik Nazmi Oleh Nik Nazmi Nik Ahmad


KERAJAAN Negeri Selangor mestilah mengkaji semula kenaikan lesen perniagaan di beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor yang mendadak sehingga 400 peratus terutamanya bagi yang melibatkan perniagaan-perniagaan kecil dan sederhana serta cadangan kenaikan cukai pintu.

Kenaikan ini membabitkan antara lain Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan dibuat menerusi undang-undang kecil di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Sememangnya Kerajaan Negeri sudah memberikan penurunan cukai pintu sebanyak 25 peratus bagi pangsapuri kos rendah sebelum ini. Keputusan kenaikan lesen perniagaan di MPSJ pula sudah diluluskan sejak zaman Umno-BN lagi dan bersifat progresif dengan premis berkeluasan besar dikenakan kadar cukai yang lebih tinggi, namun kadar peningkatannya masih mendadak bagi perniagaan kecil dan sederhana.

Kerajaan Negeri seharusnya mengambil kira kenaikan kos yang dihadapi oleh peniaga kecil dan sederhana dan golongan pekerja, petani dan kelas menengah terutamanya kini apabila kita berhadapan pengenalan cukai GST, kenaikan harga tol dan tarif elektrik serta penurunan pelbagai subsidi barangan keperluan oleh Kerajaan Persekutuan.

Kenaikan kos ini pasti akan dirasai di dalam harga barangan yang akan dibayar semua pengguna nanti dan memberi impak kepada semua rakyat Malaysia.

Justeru saya menggesa Kerajaan Negeri mengkaji semula pelaksanaan dasar ini dan memastikan sebarang perubahan dasar mengambilkira kepentingan rakyat yang ramai.

Nik Nazmi Nik Ahmad

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor
Adun Seri Setia


Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com/

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.