Antara peruntuh nilai-nilai baik dalam
kehidupan manusia hari ini adalah apabila dimudahkan yang haram dan
disukarkan yang halal.
Sedangkan Islam menyuruh kita membentuk suasana
atau iklim kehidupan yang menyukarkan yang haram dan memudah yang
halal. Itulah tanggungjawab pemerintah dan umat iaitu menegah yang
makruf dan mencegah yang munkar.
Menegak yang makruf itu adalah dengan
cara menyuruh, memudah dan membantu ke arah tersebut. Sementara
mencegah yang munkar adalah dengan cara menghalang, melarang dan
menyukarkan jalan untuk sampai kepadanya.
Namun, jika masyarakat hari
ini menyusahkan yang halal dan menyenangkan yang haram, tanda kita
begitu menjauhi ruh syariat islam yang hakiki yang diturunkan oleh
Allah s.w.t.
Antara perkara yang selalu disusahkan
adalah urusan perkahwinan. Kesusahan membina rumahtangga itu
kadang-kala bermula dari keluarga sehingga ‘ketidak fahaman’ tok kadi
dan seterus pengurusan pejabat agama dan mahkamah syariah.
Kerenah-keranah yang berbagai telah memangsakan hasrat pasangan untuk
mendapat ‘nikmat seks’ secara halal. Lebih menyedihkan apabila
kerenah-keranah itu wujud disebabkan kepentingan-kepentingan luar yang
bukan kepentingan pasangan secara langsung.
MANGSA NAFSU SOMBONG
Umpamanya, urusan kenduri kahwin atau
walimah telah dijadikan jambatan kesombongan ibubapa atau keluarga
sehingga ditangguh perkahwinan bagi memboleh kenduri besar-besaran
dibuat demi menjaga taraf ‘jenama keluarga’. Sehingga ada pasangan yang
terpaksa menunggu bertahun kerananya. Apatah lagi jika keluarga
membebankan semua belanja kepada bakal pengantin. Maka bakal pengantin
terpaksa mengikat ‘nafsu seks’ hanya kerana hendak menjaga nafsu
menunjuk-nunjuk keluarga. Walaupun kenduri kahwin itu disuruh, namun
memadailah dengan kadar yang termampu. Tidak semestinya ‘ditumbangkan’
seekor lembu, atau dipanggil orang sekampung atau sebandar, atau
dijemput semua rakan taulan. Seseorang mengadakannya dengan kadar
kemampuannya, seperti sabda Nabi s.a.w:
“Buatlah walimah walaupun sekadar seekor kambing” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam ertikata lain, jika hanya mampu
kenduri laksa, atau bihun atau mee pun tidak mengapa, asalkan diadakan
walimah. Apa yang penting perkahwinan yang halal telah dilunaskan.
Janganlah macam orang dulu apabila anaknya sebut ingin berkahwin,
bapanya akan bertanya; ‘kau dah ada lembu ke nak buat kenduri?”. Maka
bertangguhlah hasrat si anak. Padahal bukan anaknya ingin berkahwin
dengan lembu, dia ingin berkahwin dengan kekasihnya.
Sepatutnya si bapa bertanya: “kau dah ada
pasangan ke?”. Itulah soalan yang betul. Lembu tidak termasuk dalam
rukun nikah. Apa yang lebih buruk apabila ada pihak yang menjadikan
medan walimah sebagai pentas menunjuk-nunjuk kekayaan harta lalu hanya
dijemput orang yang ‘berjenama’ dan ditinggalkan saudara-mara,
kawan-rakan, jiran-tetangga yang tidak setaraf. Nabi s.a.w. bersabda:
“Seburuk makanan adalah makanan walimah yang dijemput orang kaya dan ditinggalkan orang miskin..” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Maka, menderitakan bakal suami-isteri disebabkan keangkuhan keluarga.
KERENAH KURSUS KAHWIN
Saya bukan anti kursus kahwin. Amat baik
kursus tersebut jika diuruskan dengan mantap dan betul. Dalam kursus
tersebut boleh disampaikan maklumat hukum-hakam nikah yang disyariatkan
Allah sehingga jenerasi muda dapat melihat betapa cantik dan indahnya
Islam.
Syariat Islam yang mudah dan penuh hikmat dapat diserap dalam
pemikiran bakal pasangan, kursusnya mereka yang masih muda. Agar
mereka dapat menyelami kehebatan ajaran Islam ini. Maka kursus itu
menjadi saluran dakwah penuh professional, mantap, berkesan dalam jiwa
dan penghayatan.
Malangnya, ada kursus kahwin hari ini seakan projek
lumayan untuk mengaut yuran peserta. Bukan sedikit saya terima laporan
seluruh negara penceramah kursus kahwin yang berunsur lucah, lawak
bodoh serta menggambarkan Islam begitu menakutkan dan susah untuk
difahami dan dihayati.
Hukum-hakam diterangkan secara berbelit-belit
dan menyerabutkan peserta. Maka, kita lihat walaupun yuran kursus
nampaknya makin tinggi dan peserta semuanya diwajibkan berkursus,
masalah keretakan rumah tangga bagi generasi baru makin meningkat.
TOK KADI TAK FAHAM HUKUM
Saya juga amat tidak selesa melihat tok
kadi yang selalu mendera pengantin agar mengulang-ulang lafaz terima
(ijab) ketika akad nikah kononnya belum sah.
Akad itu digambarkan
begitu sulit dan susah sehingga seseorang menjadi terketar-ketar untuk
menyebutnya. Diatur ayat lafaz akad itu dengan begitu skima sehingga
pengantin kesejukan untuk menghafalnya.
Padahal akad nikah hanyalah
bagi menggambar persetujuan kedua belah pihak menjadi suami isteri yang
sah. Apa-apa sahaja lafaz yang membawa maksud kepada tujuan tersebut
maka ia sah. Jika bapa bakal isteri menyebut ‘saya nikahkan saudara
dengan anak saya Fatimah”, lalu bakal suami menjawab: “saya terima,
atau saya bersetuju” atau mungkin ditambah “saya terima nikahnya” atau
“saya bersetuju bernikah dengannya” seperti yang diminta oleh
sesetengah sarjana dalam Mazhab al-Syafi’i, maka sahlah ijab dan qabul
tersebut.
Tidak disyaratkan mesti satu nafas atau dua nafas atau
berjabat tangan atau menyusun ayat dalam bahasa sanskrit lama atau ayat
tok kadi yang digunakan sebelum merdeka.
Sehinggakan sarjana fekah semasa Dr Abd al-Karim Zaidan dalam karya al-Mufassal fi Ahkam al-Marah wa al-Bait al-Muslim menyebut:
“Jika seseorang lelaki berkata kepada lelaki yang lain: “Nikahkan saya dengan anak perempuan awak”, lalu si bapa itu menjawab: “Aku nikahkan engkau”. Atau si bapa berkata kepada bakal suami: “bernikahlah dengan anak perempuanku”. Lalu bakal suami menjawab: “aku nikahinya”. Kedua contoh di atas adalah sah nikah berdasarkan apa yang disebutkan dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim: Sesungguhnya seorang arab badawi telah meminang wanita yang telah mempelawa dirinya untuk Nabi s.a.w (ingin berkahwin dengan Nabi s.a.w), arab badawi itu berkata:”Nikahilah dia denganku”. Jawab Nabi s.a.w.: “Aku nikahkan engkau dengannya bermaharkan al-Quran yang ada bersamamu”. (al-Mufassal, 6/87, Beirut: Muassasah al-Risalah).
Bahkan dalam Sahih al-Bukhari ada bab yang al-Imam al-Bukhari letakkan ia berbunyi:
(Bab Apabila Lelaki Yang Meminang Berkata Kepada Wali Perempuan: “Kahwinilah aku dengan wanita berkenaan”, lalu dia menjawab: “Aku nikahkan engkau dengannya bermaharkan sekian dan sekian, maka sah nikahnya walaupun tidak ditanya si suami apakah engkau setuju, atau terima”).
Juga al-Imam al-Bukhari (meninggal 256H) menyebut:
(Apabila bakal suami berkata kepada wali (bakal isteri) kahwinkanlah aku dengannya, lalu wali berkenaan diam seketika, atau bertanya: “apa yang awak ada (mahar)?”, atau kedua mereka diam lalu wali itu berkata: “aku nikahkan engkau dengannya”, maka itu adalah harus (sah). Ada hadis mengenainya yang diriwayatkan oleh Sahl daripada Nabi s.a.w).
Inilah kesimpulan yang dibuat oleh al-Imam
al-Bukhari berdasarkan hadis-hadis dalam bab nikah yang diteliti
olehnya. Tiada cerita satu nafas atau sekali lafaz dalam akad seperti
yang ditokok tambah oleh jurunikah. Apa yang penting proses ijab dan
qabul amatlah mudah. Syaratnya, ia lafaz yang difahami oleh kedua belah
pihak serta dua saksi, ia menjelaskan kehendak dan persetujuan untuk
berkahwin atau menjadi suami dan isteri. Apabila proses itu berlaku
maka ia sah.
KHURAFAT AKAD SATU NAFAS
Tidak pernah ada dalil yang menyatakan
mestilah satu nafas, atau tidak terputus nafas seperti diada-adakan
oleh sesetengah pihak. Paling tinggi yang boleh kita kata adalah tidak
boleh ada ruang yang menyebabkan salah satu pihak mengelirukan atau
dikelirukan dalam menyatakan persetujuan nikah. Justeru itu Syeikhul
Islam Ibn Taimiyyah r.h (meninggal 728H) menyebut: “Nikah itu
terlaksana (sah) dengan apa sahaja yang dihitung oleh orang ramai
sebagai nikah; dalam apa bahasa, atau lafaz atau perbuatan”. (petikan
Sayyid Sabiq, Fiqh al-Sunnah, 2/355).
Apa yang ingin saya jelaskan betapa proses ijab qabul itu begitu mudah dan senang. Memadai jika bakal suami menjawab: “aku terima nikahnya”.
Tidak timbul terpaksa berulang kali seperti yang dibuat oleh
sesetengah pihak membuli pengantin.
Jika jawapan yang diperlukan begitu
ringkas dan jelas, dan pengantin pun telah melakukannya, mengapa pula
ada tok kadi yang sengaja bertanya hadirin: perlu ulang ke? Lalu
mereka pun dengan sukanya menyebut beramai-ramai ‘sekali lagi!, sekali lagi! Ini adalah permainan buli yang cuba dicampur aduk dengan hukum syarak.
KERENAH ‘MAHKAMAH’
Setelah berkahwin, rumahtangga yang dibina
seperti yang diajar oleh Islam hendaklah menjadi syurga, bukan neraka.
Jika perkahwinan tidak dapat membawa kebahgiaan, insan tidak disuruh
memperjudikan hidup keseluruhan kerana isteri atau suaminya.
Walaupun
talak itu bukan perbuatan yang baik, namun ia dibenarkan jika
terpaksa. Insan mempunyai matlamat hidup, bukan sekadar untuk
bertungkus lumus kerana masalah seorang lelaki atau wanita. Maka Islam
mengajar cara-cara yang berbagai demi menyelamatkan rumah tangga dari
talak. Jika gagal, Islam juga mengajar talak untuk mengelakkan
kezaliman berlaku antara salah satu pihak; suami atau isteri. Firman
Allah:
(maksudnya) “Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh idahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik, dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula) dengan tujuan memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menzalimi dirinya sendiri. dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat (hukum) Allah itu sebagai ejek-ejekan (dan permainan), dan kenanglah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu, (dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu iaitu Kitab (Al-Quran) dan hikmat (sunnah), untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya. dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah: sesungguhnya Allah Maha mengetahui segala-galanya” (Surah al-Baqarah, ayat 231).
Jika penerusan perkahwinan hanya memberi
mudarat kepada pasangan, maka talak itu disuruh oleh al-Quran.
Malanglah kaum wanita yang sepatutnya telah dikeluarkan oleh al-Quran
dari kezaliman atau kemudaratan si suami, tiba-tiba terjatuh dalam
kezaliman batin akibat proses birokrasi sesetengah mahkamah atas nama
syariah.
Maka, wanita hari ini ada yang terseksa batinnya kerana
menunggu proses mahkamah yang kadang-kala memakan masa bertahun-tahun.
Bagaimana mungkin isteri yang sudah tujuh lapan tahun suaminya tidak
mengambil tahu soal nafkah zahir dan batin tetap disahkan oleh mahkamah
bahawa dia masih suami sekalipun isteri berulang meminta dipisahkan.
Kata Dr Karim ‘Abd al-Karim Zaidan menyebut:
“Jika suami gagal menunaikan nafkah untuk isteri, kadi memisah antara mereka jika isteri memilih untuk berpisah…Hal ini diriwayatkan dari sejumlah para sahabat dan tabi’in” (al-Mufassal, 7/217).
Beliau juga memetik apa yang disebut oleh al-Dardir dalam al-Syarh al-Kabir:
“Bagi isteri boleh menuntut dipisahkan dari suami disebabkan mudarat yang dilakukannya; iaitu apa yang tidak diizinkan oleh syarak untuk dia buat seperti meninggalkan isteri atau memukulnya tanpa sebab yang dibenarkan syarak.
Atau memaki dia atau bapanya seperti menyebut: Wahai anak anjing, atau wahai anak kafir! Atau wahai anak orang yang dilaknat”.
Dr Zaidan seterusnya memetik apa yang disebut oleh al-Imam Ibn Taimiyyah:
“Maka dianggap memberi mudarat kepada isteri yang boleh dipisah (dipasakh) apabila suami meninggalkan persetubuhan dalam apa keadaan sekalipun. Samada suami sengaja atau tidak sengaja”. (ibid 8/439).
Semua perbahasan yang begitu banyak boleh
didapati dalam khazanah Islam itu menggambarkan rumahtangga untuk
kebahgiaan hidup insan bukan untuk kedukaan mereka.
Jika rumahtangga
itu mengundang kedukaan, insan diberi peluang keluar oleh syarak untuk
keluar dari daerah itu dengan segera. Malanglah, jika pintu keluar itu
dihalang oleh kerenah biorokrasi mahkamah.
Hakim barang kali ringan
lidahnya menyebut: “kita tangguhkan perbicaraan kerana suami tidak hadir” sedangkan kesan jiwa begitu besar dan berat ditanggung oleh isteri.
Sebenarnya dalam Islam, jalan kepada halal
dan kebahagian dibuka dengan begitu luas dan mudah. Dukacita, jika
atas nama agama kita menyusahkan jalan yang halal dan dalam masa yang
sama ada pula pihak-pihak lain yang memudahkan jalan yang haram.
Perlaksanaan agama hendaklah bukan sahaja mendakwa adil, tetapi
hendaklah juga kelihatan adil.
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com/index.php?option=com_k2&view=item&id=101182:apabila-zina-lebih-mudah-daripada-kahwin&Itemid=2#ixzz2jwbJp0vR
Follow us: @MsiaChronicle on Twitter
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.