Dewan riuh-rendah isu perbicaraan kes Zahid
Tindakan seorang Ahli Parlimen DAP yang meminta penjelasan daripada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung satu perbicaraan melibatkan Menteri Dalam Negeri itu menyebabkan Dewan Rakyat riuh-rendah kira-kira setengah jam.
Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) meminta Zahid memberi penjelasan mengapa tiada tindakan diambil oleh pihak polis terhadap menteri tersebut mengenai satu laporan berhubung dakwaan tuduhan menyerang dan cubaan membunuh pada 2006.
"Bukan sahaja isu jenayah, tetapi lebih penting apabila tiada tindakan yang diambil polis seperti kes yang telah dilaporkan. Kes jenayah serius, kes cubaan membunuh.
“Rakyat buat laporan tapi tak ada tindakan, malah tindakan diambil sebaliknya. Tak ambil tindakan tapi naikkan pangkat kepada kerusi yang paling berkuasa dari polis.
"Satu laporan polis dibuat terhadap kamu!," kata Gobind.
Tindakan itu mengundang teguran dari Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang meminta Gobind bertanya dengan cara yang lebih "lembut".
Suasana riuh rendah itu berterusan apabila beberapa MP bangun untuk menyertai perbahasan, termasuk Datuk Seri Noh Omar (BN-Tanjung Karang), Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) dan Mohamad Hanipa Maidin (PAS-Serdang).
Ucapan para MP berkenaan bagaimanapun kemudiannya dihalang oleh Pandikar yang meminta wakil rakyat berkenaan duduk untuk memberi ruang kepada Zahid untuk menjawab.
Zahid dalam jawapannya selepas itu mempersoalkan tindakan Gobind dalam membangkitkan isu berkenaan kerana MP tersebut merupakan peguambela dalam kes berkenaan.
"Kerana kamu adalah peguam bela dan ada kepentingan terhadap orang itu, melakukan tuduhan. Sedangkan siasatan telah dilakukan ketika itu dan ini bukan kes jenayah tetapi sivil. Kamu ada kepentingan.
"Jika saya dengar awak, awak kena dengar saya. Kes ini kes sivil. Kita jumpa di mahkamah," kata Zahid.
Mahkamah Persekutuan pada 27 Jun lalu menolak permohonan Zahid untuk mengenepikan saman yang dikemukakan ke atasnya oleh seorang ahli perniagaan, Amir Bazli Abdullah.
Amir Bazli, 39, pada Ogos 2007 memfailkan saman ke atas Zahid dan mendakwa menteri itu menumbuk muka beliau dalam satu kejadian pada Januari 2006.
Pada Julai 2007, Ahmad Zahid memfailkan permohonan untuk membatalkan saman malu itu dengan alasan ia mengaibkan dan remeh-temeh. -mk
Ulasan GB
Kita pun rasa hairan dan pelik, kes menumbuk orang sehingga patah hidung (kecederaan kekal) dan rosak kekal di bahagian sebelah kiri mata hanya dikategorikan sebagai kes sivil dan bukan kes jenayah.
terlalu ketara polis yang berat sebelah dan jika menurut keterangan Gobind Singh Deo, laporan polis telah dibuat tetapi tiada siasatan dilakukan.
Sepatutnya satu lagi lpolis dibuat, kali ini, keatas polis yang tidak melakukan siasatan walaupun laporan telah dibuat.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.