Followers

Tuesday, December 11, 2012

RM2 bilion bajet Terengganu: Ke mana?


Apakah reaksi seluruh rakyat Terengganu apabila sekali lagi Menteri Besar Datuk Sri Ahmad Said membentangkan bajet bagi tahun 2013 yang mencecah hampir RM2 bilion?

Bajet yang bertemakan ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan: Bajet Kesejahteran Rakyat’ itu berjumlah RM1.995 bilion itu diluluskan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

Jumlah ini sekali lagi meletakkan kepimpinan Ahmad Said mencatatkan rekod bajet yang tertinggi di seluruh Semananjung Malaysia.

Ini juga merupakan penerusan perbelanjaan ‘amat luar biasa’ dan menghairankan sepanjang pentadbiran Ahmad Said memimpin negeri ‘Darul Iman’ ini.

Seperti yang telah saya tegaskan, siapa boleh menjangkakan bahawa ‘negeri kaya rakyat miskin’ ini boleh meluluskan bajet tahunan kerajaan negeri untuk empat tahun terakhir dengan jumlah yang amat besar dan menakjubkan. Cuba kita renungkan angka-angka berikut;

Tahun 2009 - mencecah hampir RM2 billion dengan meluluskan peruntukan tambahan RM280 juta.
Tahun 2010 - mencecah hampir RM1.9 billion dengan bajet tambahan lebih RM200 juta menjadikan ia mencecah lebih RM2.1 billion.

Tahun 2011 – mencecah lebih RM2 bilion dengan bajet tambahan lebih RM250 juta.

Tahun 2012 – mencecah lebih RM2.25 bilion dengan bajet tambahan lebih RM260 juta.

Malah sepanjang empat tahun pentadbiran Ahmad Said, kerajaan negeri telah berbelanjakan lebih RM10 billion. Jumlah perbelanjaan ini adalah amat besar dengan mengambil kira nisbah penduduk negeri Terengganu yang hanya berjumlah 1 juta orang berbanding dengan kebanyakan negeri-negeri lain yang jauh lebih maju.

Persoalannya, perbelanjaan mega ini untuk apa dan untuk siapa? Adakah ini untuk rakyat miskin yang rata-rata tidak memiliki apa-apa hatta sekangkang tanah dan rumah untuk mereka berteduh?
Adakah ini juga untuk rakyat yang rata-rata terpaksa terus bergantung kepada ’subsidi’ dan ’dana khas’ untuk menampung keperluan kehidupan harian keluarga mereka?

Seperti yang di maklum, negeri Terengganu bergantung kepada hampir 90 peratus dari hasil negerinya dalam industri minyak dan gas.

Negeri ini menerima wang royalti minyak secara langsung bernilai lebih RM25 bilion selama hampir 30 tahun. Dengan kenaikan harga minyak kini, royalti tahunannya mrncecah lebih RM1.5 bilion setiap tahun.

Secara lojiknya, negeri Terengganu yang berbelanja bajet yang amat besar ini dengan hasil minyak dan sumber gas yang di perolehi, sepatutnya sudah dapat memastikan kemakmuran dan kekayaan terhasil dikecapi oleh setiap lapisan rakyat.

Begitu juga dengan kedudukan kemiskinan yang ada di negeri tersebut yang sepatutnya sudah lama dapat diatasi dengan perbelanjaan tahunan yang amat besar ini.

Malangnya ini semua gagal dan terbantut akibat pengurusan kerajaan negeri yang tempang serta tidak mendahului kepentingan rakyat ramai.

Namun realitinya, negeri Terengganu terus berhadapan dengan kadar kemiskinan yang tinggi dengan rakyatnya yang miskin kebanyakannya bergantung kepada ‘subsidi’ dan ‘wang ehsan’, walaupun pendapatan per kapita Terengganu adalah yang kedua tertinggi di seluruh negara.

Bilangan rakyatnya yang berpendapatan rendah seperti pengayuh beca, petani dan nelayan yang hidup bergantung kepada ’budaya subsidi’ dan ’wang ehsan’ mencapai angka puluhan ribu.

Lebih malang lagi, rata-rata rakyat Terengganu yang miskin dan kehidupan mereka diikat dengan pergantungan ’budaya subsidi’ diatas nama bantuan kemiskinan, bantuan hari raya, bantuan baju sekolah dan basikal, bantuan atap biru dan bumbung.

Wang ihsan yang kononnya untuk membantu golongan miskin di Terengganu di jaja secara meluas sehinggakan rakyat miskin di Terengganu di perangkap dan terpenjara dengan mentaliti ‘budaya subsidi’ Umno/BN.

Dalam perbelanjaan tahunan, Negeri Terengganu terus mengatasi mengatasi negeri-negeri yang jauh lebih maju seperti Selangor, Pulau Pinang, dan Johor. Renungkan sahaja fakta-fakta berikut;

Untuk bajet tahunan negeri Selangor, purata mereka menyediakan bajet tahunan di sekitar RM1.4 billion. Selangor yang berpenduduk lebih 3 juta orang ini jauh lebih maju dan membangun pesat dari Terengganu.

Malah ia merupakan negeri ’nadi industri’ dan telah meluluskan bajet 2013 hanya RM1.63 billion walaupun negeri ini telah menyumbang Keluaran Kasar Dalam Negeri (GDP) negara jauh lebih besar berbanding dengan Terengganu.

Manakala untuk negeri Kelantan, bajet tahunannya bagi setiap tahun adalah hanya sekitar RM500 juta, sedangkan jumlah penduduknya adalah 1.6 juta orang.

Negeri Kelantan yang hanya mampu berbelanja sekecil ini serta berhadapan dengan pelbagai ‘sekatan ekonomi’ dari kerajaan Umno/BN jauh lebih maju dari negeri Terengganu.

Inilah realiti ’Bajet Kesejahteraan Rakyat’ bagi negeri ’Penyu bertelur’ ini. Mereka terus ’sejahtera’ berhadapan dengan kemiskinan sedangkan pimpinan kerajaan negeri setiap tahun ’berbelanja besar semewah-mewahnya’.

Mahu kemanakah bajet sejahtera rakyat yang bernilai RM2 bilion ini akan di bawa kepada rakyat Terengganu yang rata-rata hanya hidup ’kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’? 

Yang nyata, kroni-kroni politik akan terus mengaut segala keuntungan hasil dari perit jerih seluruh rakyat Terengganu.


-harakahdaily


Malaysia Chronicle

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.