AL QURAN : Surah Hud Ayat 113 - BERMAKSUD : "Dan janganlah kamu cenderung kepada orang yang berlaku zalim yang akan menyebabkan kamu dibakar api neraka, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun selain daripada ALLAH SWT. Kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan"
Followers
Saturday, March 17, 2012
Apabila Puan Hakim hulurkan sekotak tisu untuk Hishamuddin Rais...oleh: Nashita Md Noor
Mengikuti
perbicaraan kes saman lima orang bekas Tahanan ISA melawan Ketua Polis
Negara Norian Mai, Menteri Hal Ehwal dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia
mengimbau kenangan 11 tahun yang lalu. Bezanya ketika itu ialah kami
turun naik ke Mahkamah berhari-hari tanpa jemu bagi membela nasib mereka
yang telah ditahan tanpa dibicarakan. Mereka di dalam tahanan polis
selama 60 hari dan kemudiannya dihantar ke Kamunting selama dua tahun.
Tahanan
di bawah akta zalim ISA menghapuskan semua hak yang ada pada seseorang
manusia bebas. Kami di luar berjuang tanpa jemu untuk membebaskan
mereka dengan menggunakan segala ruang yang ada.
"REFORMASI!
REFORMASI! UNDUR MAHATHIR UNDUR!" menjadi kalimah keramat ketika itu.
Rakyat berani bangun melawan, mendedahkan kezaliman. Mereka ditangkap
sebelum tarikh keramat 14 April yang dikenali sebagai "BLACK 14" bagi
mengenang tarikh di mana Mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara enam
tahun ke atas Anwar Ibrahim. Satu perhimpunan besar-besaran telah
dirancang untuk diadakan di perkarangan pejabat SUHAKAM di Kuala Lumpur.
Sehari
selepas tangkapan media menyiarkan di muka hadapan tajuk mereka
ditangkap di bawah ISA dengan niat untuk menggulingkan kerajaan dengan
menggunakan kekerasan dengan memiliki senjata, bom, molotov cocktail.
Juga menggunakan khidmat guru-guru silat. Gambar kesemua mereka yang
ditangkap juga turut dipaparkan di muka hadapan sebagai
individu-individu yang mahu menggulingkan kerajaan dengan kekerasan.
"Memiliki
senjata, bom, pelancar roket dengan tujuan menggulingkan kerajaan dan
mengancam keselamatan negara." Kenyataan Ketua Polis Negara, Norian Mai
ketika itu. Dengan tuduhan itu mereka semua telah ditangkap dan
dipisahkan secara zalim dari ahli keluarga.
Selama dua bulan
mereka ditahan di Pusat Tahanan Reman Polis mereka telah disiksa dan
dizalimi. Disogok dengan soalan-soalan yang tiada kena mengena langsung
dengan tangkapan dan tuduhan ke atas mereka. Kami mendengar pengalaman
perit mereka melalui keluarga ketika ditahan dan kemudiannya melalui
penceritaan sendiri ketika dibebaskan.
Siapa
yang berniat jahat dalam penangkapan mereka dan apakah tuduhan dan
fitnah yang dikenakan ke atas mereka terjawab kini dalam kes saman yang
sedang berlangsung bermula pada 27 Februari 2012 hingga 15 Mac 2012.
Tarikh yang ditetapkan oleh Puan Hakim Lau Bee Lan, yang diharap
mendengarkan kes ini dengan adil dan saksama.
Bekas tahanan ISA
yang terlibat dalam tindakan saman di Mahkamah ini ialah Saari Sungib,
Tian Chua (gambar kanan), Hishamuddin Rais, Dr Badrulamin Bahron dan Pak
Din, Badaruddin Ismail.
Sebagai seorang yang mengikuti
perjalanan tangkapan ini sejak hari pertama tangkapan pada tarikh 10
April 2001 sehingga saat mereka dibebaskan pada 2 Jun 2003, saya
berusaha untuk tidak melepaskan peluang hadir ke mahkamah mendengar
perbicaraan ini. Saya telah melihat bagaimana keluarga mereka menderita
setelah dipisahkan secara zalim bila polis dan SB secara kejam dan
kasar menahan mereka di rumah atau di pejabat. Bukan seorang dua polis
yang hadir, bukan sebuah atau dua buah kenderaan polis yang datang
mengepung tetapi di dalam jumlah yang banyak dan ramai dengan niat tidak
lain untuk menimbulkan rasa takut di kalangan tetangga dan ahli
keluarga. Seolah mereka penjenayah besar!
Selama dua bulan di
tahanan reman polis mereka tidak dibenarkan langsung bertemu peguam
pilihan mereka. Pertemuan keluarga juga sukar, mereka hanya dapat
berjumpa sekali atau dua kali sahaja sepanjang penahanan. Itupun di
bawah kawalan polis dan polis cawangan khas. Mereka tidak bebas, mereka
tidak bebas bersuara dan menceritakan apa yang mereka lalui. Mereka di
arah berlakon agar menunjukkan mereka "OK" di dalam tahanan polis dan
keluarga tidak perlu risau dan keluarga tidak perlu berkempen kerana
hanya akan membuatkan mereka ditahan dengan lebih lama lagi.
Apabila
berada di dalam kamar Mahkamah Tinggi Sivil 5, Mahkamah Jalan Duta di
hadapan Hakim Lau Bee Lan yang mendengar kes tersebut, saya merasa puas
apabila setiap perlakuan zalim dan tidak berperikemanusiaan pihak polis
dan Cawangan Khas khususnya didedahkan di dalam Mahkamah di hadapan
Hakim.
"Diletakkan
di dalam sel yang sempit, tiada ruang udara, tiada lubang cahaya, tiada
tempat membuang air, hanya diberikan botol untuk membuang air, tidak
tahu masa, tidak tahu siang dan malam." Ini antara kisah mereka.
Disoal
siasat berjam-jam setiap hari bukannya dengan tujuan mencari bukti
terhadap pertuduhan ke atas mereka sebaliknya ianya menjadi ruang untuk
menaburkan fitnah kotor ke atas pimpinan pembangkang, khususnya Anwar
Ibrahim, malah ke atas isterinya Wan Azizah dan puteri mereka Nurul
Izzah.
"SB suka membebel-bebel, berulang-ulang, paling sakit hati
ialah SB mengatakan Anwar Ibrahim memiliki lebih dari 30 orang
wanita." Sebahagian dari pendedahan oleh Saari Sungib (gambar kiri)
tentang soal siasat SB.
Sebenarnya sebagai seorang manusia saya
tidak sanggup mencatatkan di sini soalan-soalan yang didakwa sebagai
soal siasat ke atas tahanan ISA yang terbabit. Ianya sungguh tidak
bertamaddun dan zalim. Tuduhan ke atas mereka ialah memiliki bom dan
mahu menggulingkan kerajaan tetapi soalan yang dihamburkan ke atas
mereka ialah tentang seks, fitnah seks ke atas Anwar Ibrahim khususnya
tentang kebodohan pimpinan pembangkang contohnya "Syed Hussin Ali adalah
seorang yang bodoh dan akan kekal bodoh."
Saya kira antara yang
paling teruk dihina ialah Hishamuddin Rais apabila beliau dituduh
sebagai seorang yang suka makan ular dan babi dan banyak lagi yang tidak
mungkin sanggup saya menulisnya. Kita tunggu kelahiran bukunya jika
ada.
Hati saya sakit bilamana pihak Pendakwaraya cuba mengatakan
bahawa sebenarnya tahanan ISA ini tidak trauma dan disakiti sedangkan
mereka terus menerus mengalami mimpi-mimpi ngeri hingga kini apabila
mengingati kembali peristiwa tangkapan ISA. Ini diceritakan sendiri
oleh isteri Saari Sungib, Puan Aliza Jaffar.
Malahan masakan Hishamuddin Rais (gambar kiri) yang terkenal dengan "Stand-up Comedy"
tidak dapat menahan perasaan dan menangis sebak apabila dipinta oleh
peguambela menceritakan perasaannya tentang penahanan yang tidak sah
itu. Beliau mengambil masa yang lama untuk berkata dan Puan Hakim
sendiri menghulurkan sekotak tisu untuk diserahkan kepada beliau. Ini
adalah situasi yang amat memilukan. Bukan mereka pinta layanan istimewa
tetapi mereka bukan banduan dan tidak pernah dibuktikan kesalahan
mereka.
Dari keterangan saksi-saksi polis cawangan Khas yang
terlibat menangkap, mereka mengaku tidak menjumpai apa-apa bukti tentang
bom atau senjata malah surat-menyurat yang mengaitkan dengan
pertuduhan. Namun polis-polis cawangan Khas ini jugalah yang
menandatangani persetujuan agar mereka terus ditahan setelah tamat
tempoh 48 jam yang didakwa terlalu singkat untuk mengumpulkan bukti.
Padahal hingga kini tiada bukti yang pernah dijumpai.
Mereka
terpaksa merengkuk dan dizalimi selama 60 hari oleh pihak Polis Di Raja
Malaysia dan disambung lagi dipisahkan dari ahli keluarga selama dua
tahun setelah kononnya Menteri Dalam Negeri ketika itu berpuashati
dengan soal-siasat polis. Ini berlaku hanya kerana mereka berani
melawan United Malays National Organisation - UMNO dan bukan kerana mereka mengancam keselamatan negara.
Maka betullah ungkapan dari lirik lagu rakyat: "Rakyat Berani perompak akan lari... Rakyat sekolah tidak akan dikalah...rakyat bersatu tidak akan ditipu".
Kita
mesti harus berani melawan. Berani mendedahkan kezaliman sebagaimana
beraninya lima orang bekas tahanan ISA ini mendedahkan kezaliman
pemimpin dan kejahatan mereka yang bertanggungjawab menjaga keselamatan
rakyat dan negara.
Salut untuk semua pejuang yang berani!
*Nashita
Md Noor ialah ibu kepada empat orang anak, suri rumah, aktivis
masyarakat, tiga kali ditangkap dan dua kali merengkuk dalam
penjara. Kini dibicarakan untuk dua kes perhimpunan aman, PROTES
kenaikan harga barangan dan himpunan Mansuh ISA.
untok membebaskan diri dan seluruh rakyat dari penguasa yg zalim bukanlah satu kerja yg mudah ianya memerlukan banyak pengorbanan harta dan jiwa.
ReplyDelete