Followers

Tuesday, October 4, 2011

Di Bawah Pentadbiran Najib, Hutang Negara Cecah RM437 Billion - Posted by Addin

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan hutang negara kini mencecah RM437 bilion berdasarkan Laporan Bank Negara yang dikeluarkan baru-baru ini. 
 
“Laporan Bank Negara Malaysia bertarikh 30 september 2011 menyatakan angka hutang negara setakat suku ke 2 tahun ini menunjukkan hutang negara mencecah RM437 bilion,” kata Anwar pada pembentangan belanjawan Pakatan Rakyat 2012 di parlimen hari ini. 
 
Menurutnya, jika unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2011 dibuat berdasarkan pertumbuhan 5 peratus, maka kadar keberhutangan negara kini mencecah 53 peratus dari KDNK negara.

Kadar itu, katanya, jauh lebih tinggi berbanding pada 2007 iaitu sebanyak 42 peratus dari KDNK negara. “Kadar hutang isi rumah pula mencecah RM577 bilion iaitu 77 peratus dari KDNK berbanding pada 1997 hanya 33 peratus dari KDNK. "Maknanya di bawah menteri kewangan yang secara kebetulan semuanya perdana menteri sebelum 1998, rakyat Malaysia terpaksa berhutang lebih hingga kadar keberhutangan meningkat sekali ganda dalam masa 13 tahun,’ katanya.

Keadaan itu, kata Anwar, diburukkan lagi dengan kadar defisit yang berpanjangan sejak mantan-mantan Perdana Menteri dan Perdana Menteri sekarang memegang tampuk perbendaharaan negara. “Defisit negara diunjurkan mencecah 6 peratus bagi tahun 2011, jauh tersimpang dari janji Perdana Menteri untuk mengurangkan defisit ke kadar 5.2 peratus seperti yang dibentangkan di dalam belanjawan dan Rancangan Malaysia Kesepuluh,” kata Anwar.

Ketika membentangkan belanjawan alternatif Pakatan Rakyat di parlimen hari ini, Anwar berkata ia bertujuan untuk membantu rakyat mengharungi hidup yang semakin terhimpit. Pakatan memperuntukkan RM220 bilion dalam belanjawan berkenaan melibatkan penjimatan sebanyak RM4 bilion dari perbelanjaan kerajaan BN. Ia menumpukan usaha mengurangkan defisit kepada 4.4 peratus berbanding kadar 6 peratus daripada KDNK tahun ini./kd
 
Addin

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.