Followers

Wednesday, September 21, 2011

Mantan PM Sokong Lynas Dan Dakwa Protes Yang Telah Di Buat Hanyalah Untuk Tumbangkan BN

KUALA LUMPUR, 21 Sept - Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (foto) berkata protes yang dilancarkan ke atas usaha membuka kilang memproses nadir bumi di Kuantan merupakan satu tindakan politik untuk menewaskan BN dalam pilihan raya umum akan datang. Kenyataannya di Malaysiakini dipetik, beliau tiada apa-apa halangan ke atas projek yang diusahakan Lynas Corp Ltd itu dan "kerajaan tidak sepatutnya takut untuk meneruskan projek tersebut."

Mahathir memberi alasan, kilang yang dicadangkan untuk dibina di Kuantan itu telahpun diperiksa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa tetapi agensi berkenaan tidak melaporkan bahawa is merupakan projek berbahaya.

"Namun protes masih berjalan. Satu-satunya kesimpulan yang boleh dibuat, protes ini (bertujuan) politik. "Kita perlu berhati-hati dengan bahan radioaktif. Tetapi kita tidak boleh membiarkan aktivis politik dan pencinta alam sekitar yang palsu menghalang kita daripada keuntungan ekonomi yang ditawarkan nadir bumi," katanya.





 Beliau mendakwa, pihak berkenaan telah menimbulkan cerita yang tidak berasas untuk menakut-nakutkan orang ramai. "Tidak kiralah sebanyak mana penyiasatan dan kajian dibuat, protes ini akan berterusan. (Protes) ini bukan berkenaan bahaya kepada kesihatan. Ia adalah berkenaan (usaha) menewaskan kerajaan dalam pilihan raya akan datang," katanya di blog chedet.cc hari ini.

Tambahnya, terdapat banyak kilang yang memproses nadir bumi di banyak negara tetapi tiada laporan berhubung ancaman radiasi ke atas pekerja atau penduduk di sekitar kilang tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut memberi contoh daripada bencana radioaktif yang berlaku sebelum ini seperti kebocoran reaktor Chernobyl di Ukraine dan juga Fukushima di Jepun. "Walaupun loji nuklear Chernobyl masih berbahaya, Kiev (ibu kota Ukraine) masih selamat daripada radiasi," katanya yang menyifatkan kadar radiasi tersebut "sangat rendah."

"Ada juga kebimbangan bahawa Tokyo terjejas dengan insiden loji nuklear tenaga Fukushima. Tetapi kadar radiasi di Tokyo dilaporkan agak kecil. Tokyo selamat," katanya lagi. Mahathir bagaimanapun berkata beliau tidak bersetuju dengan pembinaan loji tenaga nuklear kerana bahan berkenaan akan terus mengeluarkan sinar berbahaya dan tiada cara yang selamat untuk melupuskannya.

Pahang Daily Online

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.