Followers

Tuesday, January 4, 2011

Pro-M Digelar Penceroboh Di Kolej Kediaman Ke-3

Jan 3, Universiti Malaya : Sebentar tadi (pukul 9 malam), hampir 100 ahli termasuk beberapa duta Pro-Mahasiswa UM telah mengadakan ‘Ziarah Mesra Pro-M di Kolej Kediaman’ di Kolej Kediaman Ke-3 dan Ke-9.

Namun, menurut sumber, perjalanan program yang dianjurkan itu sedikit terganggu dengan beberapa cubaan ingin menghalang kemaraan Pro-M UM bergerak lebih aktif di kolej-kolej tersebut.

Sebelum ini, Kolej Kediaman Ke-3 dan Kolej Kediaman Ke-9 memang diakui telah ‘dikuasai’ oleh Penggerak Mahasiswa (GERAK).
Namun pihak Pro-M tetap ‘berdegil’ dan berhajat ingin menawan kolej-kolej tersebut atas alasan kepentingan dasar kebajikan mahasiswa yang dilihat tidak diurus dengan baik oleh pihak terbabit.
Di Kolej Kediaman Ke-9, pada mulanya perjalanan ziarah mesra Pro-M berjalan lancar dengan kerjasama yang baik diberikan oleh pengawal keselamatan kolej tersebut.

Namun, selang beberapa minit, beberapa siswa telah cuba menghalang kemaraan ahli-ahli Pro-M yang dikhabarkan akan berziarah di semua bilik kediaman kolej terbabit.

“Saya nak prosedur (ziarah mesra) ini dibuat dengan pentadbiran kolej, kalau tiada pengesahan di pihak kolej, saya mintak semua yang datang keluar segera dan hentikan semua ini.”, demikian menurut seorang yang tidak dikenali.

Setelah itu, jurucakap Pro-M, Izzuddin Hilmi dan Muhammad Safwan Anang terus meminta semua ahli Pro-M keluar segera dari kolej tersebut dan menurut perintah yang dikeluarkan individu tidak dikenali terbabit.

“Saya juga mintak kamu membantah dengan ‘berprosedur’ seperti yang kamu minta kami buat prosedur.. Ini tidak adil jika kami sahaja yang buat prosedur, pengawal dah benarkan tapi hairan kamu pula yang bertindak sembarangan tanpa prosedur.”, jelas seorang lagi wakil Pro-M yang turut berada di situ.

Sementara itu, situasi lebih panas telah berlaku di Kolej Kediaman Ke-3 apabila terdapat pihak telah membuat satu ‘announcment’ yang menyatakan semua penghuni kolej diminta mengunci semua pintu bilik akibat terdapat pencerobohan.
“Perhatian kepada semua penghuni Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah (KK3), satu pencerobohan telah berlaku, diminta semua berhati-hati dan segera mengunci pintu bilik masing-masing.”, demikian pengumuman yang telah dibuat kira-kira 15 minit setelah ahli-ahli Pro-M melakukan ziarah mesra di kolej terbabit.

Duta Pro-Mahasiswa UM, Hawari Zakaria yang terkejut dengan keadaan itu menegaskan bahawa pengumuman itu satu tindakan yang salah dan tidak sepatutnya berlaku.

“Saya kecewa dengan tuduhan yang dilemparkan (penceroboh) terhadap kami.. Kami juga warga kampus UM dan layak untuk berziarah sebagai tanda solidariti kami sebagai mahasiswa UM.”
 
“Kami hanya ingin berziarah dan bermesra dengan seluruh warga kampun namun kecewa dengan layanan yang diberikan walaupun penghuni-penghuni kolej dapat menerima kehadiran kami di sini. Malah, ada beberapa penghuni terkejut dengan pengumuman yang dibuat dan mereka menyatakan itu tidak sepatutnya dilakukan selaku mahasiswa.”, tambahnya.

Wakil Pro-M UM bagaimanapun tetap menyatakan bahawa misi ‘Ziarah Mesra Pro-M’ pada malam ini berjaya dan mencapai matlamat ingin memperkenalkan Pro-M UM kepada seluruh warga kampus.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua warga kolej yang memberikan kerjasam kepada kami dan tidak lupa juga kepada pengawal keselamatan yang membenarkan kami masuk.”

“Dan keadaan ‘panas’ yang cuba ditimbulkan oleh sesetengah pihak memang sudah kami jangkakan dan kami tidak akan berputus asa untuk terus menjaga kebajikan mahasiswa UM. “, jelas seorang wakil Pro-M UM, Nasrul A’lam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.