Angkatan Muda KEADILAN Malaysia (AMK) menolak sebarang bentuk justifikasi yang diberikan oleh Kerajaan Pusat berhubung dengan ‘pakej’ kenaikan harga barangan berkuatkuasa hari ini.
Kenaikan harga petrol dan diesel sebanyak 5 sen seliter; kenaikan harga gas LPG sebanyak 5sen sekilogram dan kenaikan harga gula sebanyak 20sen sekilogram jelas sekali membebankan rakyat dalam apa jua keadaan sekalipun.
Menurut Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin Kenaikan ini, meskipun telah dijangka selepas kenaikan harga petrol RON97 sebanyak dua kali pada November dan beberapa hari lepas, adalah sesuatu yang mengejutkan kerana melibatkan empat barangan utama yang digunakan secara konsisten oleh rakyat dalam kehidupan seharian.
"Gunakanlah apa jua frasa, samada pengurangan subsidi, penstrukturan semula subsidi ataupun rasionalisasi subsidi, realitinya ia membawa satu konotasi sahaja: kenaikan harga barang secara domino.
"Pakej kenaikan harga ini pastinya mengesani harga-harga barangan mentah dan makanan lainnya. Kos sara hidup rakyat akan terus meninggi yang yang tertindas kekal rakyat golongan pertengahan dan bawahan.
Adalah sangat mengecewakan apabila Kerajaan Pusat masih lagi ‘menari’ dengan hujah yang sama saban waktu: harga barangan di Malaysia masihterendah di kalangan negara-negara pengeluar. Ini hujah dangkal yang sewajarnya tidak boleh dikeluarkan oleh mana-mana pimpinan kerajaan sekalipun," tegas Shamsul dalam satu kenyataannya hari ini.
AMK berpendapat di sebalik pelbagai program awangan Perdana Menteri seperti GTP, ETP, MBE dan pelbagai lagi akronim-akronim ciptaan Pemandu, sehingga hari ini tidak ada satu pun impak nyata dan positif yang boleh dirasai oleh majoriti rakyat.
Malah kata Shamsul, kenaikan harga barang pula yang dihadiahkan kepada rakyat atas nama ‘penstrukturan semula subsidi’.
"Lebih mengecewakan, media arus perdana juga dilihat cuba menjadikan kenaikan harga ini sebagai satu isu kecil yang tidak membebankan rakyat sekelumitpun.
"Sudah ada sungutan rakyat bahawa kenaikan mendadak empat keperluanutama rakyat itu, sudah dimanipulasi sebaiknya oleh peniaga-peniaga di pasar-pasar seluruh negara.
"Ternyata ‘ugutan’ kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kepada peniaga-peniaga agar tidak menaikkan harga langsung tidak memberikan kesan," ujar beliau lagi.
AMK mendesak kerajaan khususnya Perdana Menteri memberikan justifikasi jelas dan bertindak untuk mengawal kenaikan harga barangan ini pada kadar segera.
AMK juga tidak menolak sebarang kemungkinan untuk kembali menghidupkan Gerakan Rakyat Anti Manipulasi Minyak (GERAMM) dalam gelombang yang lebih besar demi menunjukkan perit jerih rakyat di sebalik kenaikan harga ini.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.