Mesej terbaru Mahathir itu dilihat sebagai ditujukan khusus kepada Presiden MCA Chua Soi Lek yang mahukan Umno berhenti menggunakan ungkapan Ketuanan Melayu dan tidak membuat keputusan-keputusan penting kerajaan pada mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu.
"Saya tak payah sebut parti apa yang saya maksudkan, anda lebih mengetahui daripada saya," kata Mahathir. Awal minggu ini beliau berkata teguran Soi Lek itu yang dibuat pada konvensyen BN yang lalu adalah tidak berasas dan tidak lojik.
Mahathir adalah penaung Perkasa yang mendokong konsep ketuanan Melayu.
Pakatan Rakyat menuduh pemimpin Umno menggunakan slogan itu untuk membakar sentimen orang Melayu dan pada masa sama mengaut kemewahan negara untuk diri dan kroni atas nama membela kaum itu.
Mahathir berkata tindakan segelintir pemimpin BN untuk mengungkit isu-isu perkauman hanya akan merugikan gagasan itu pada pilihanraya.
"Masalah dengan parti komponen tertentu adalah mereka membangkitkan isu perkauman dalam keghairahan untuk mencari populariti. Ini tindakan negatif sebab anda hanya menaikkan imej kaum anda sahaja dan pihak lain tentu tidak senang hati. Mereka tidak akan menyokong anda," kata Mahathir.
Chua dibidas oleh Timbalan Menteri Pelajaran Fuad Zarkasyi kerana dilihat mengikut telunjuk Pakatan Rakyat bersabit isu itu.
Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein berkata tindakan Chua itu menimbulkan rasa tidak puas hati yang meluas.
Setakat ini Chua belum membalas jawab kritikan itu namun pengamal politik meramalkan hubungan Umno-MCA akan bertambah renggang kerana perjuangan berlandaskan kepentingan kaum masing-masing yang dibawa oleh dua parti itu.
Chua dilihat sebagai pemimpin yang lebih berani bersuara berbanding kepimpinan MIC atau Gerakan tetapi komen-komen bekas Menteri Kesihatan itu jarang digunapakai oleh Umno.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.