Followers

Saturday, December 11, 2010

PKR pimpin budaya politik baru ?

Nik NazmiPETALING JAYA: PKR merupakan parti yang memimpin budaya politik baru di Malaysia, menurut soalselidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya.

Mengumumkan perkara ini, Pengarah Komunikasi parti, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, hasil soalselidik oleh Pusat itu yang dijalankan menjelang pemilihan parti telah dibentangkan kepada pimpinan PKR beberapa minggu sebelum disampaikan kepada media.


Beliau berkata, sejak awal lagi, parti menyedari risiko yang dihadapi, sekiranya sistem satu anggota satu undi menyebabkan persaingan yang berpanjangan.

"Namun walaupun proses pemilihan mencabar, proses tersebut juga perlu bagi memastikan kualiti kepimpinan dan mengurangkan risiko politik wang," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, parti mengambil risiko ini sekarang meskipun wujud kemungkinan persepsi negatif pengundi selepas kempen serangan
UMNO-Barisan Nasional untuk memanipulasi pemilihan.


Nazmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia berkata, sebelum ini , PKR telah membuat satu lagi keputusan berani.


"Pada tahun 1999, konsep parti pelbagai kaum yang benar-benar mewakili semua rakyat Malaysia dilihat berisiko, namun PKR tetap istiqamah dan pendekatan ini menyumbang kepada kejayaan pada Pilihan Raya Umum ke-12 dan pembentukan Pakatan Rakyat," katanya.


Keputusan yang baik


Beliau berkata, keputusan melalui proses pemilihan langsung telah terbukti keputusan yang baik apabila lebih ramai pimpinan wanita dan muda mendapat tempat di peringkat nasional dan cabang seluruh negara.


"Kami yakin dengan kematangan rakyat dan PKR mempunyai kebolehan untuk bertindak berdasarkan kematangan ini," tambahnya.

Ujar beliau, "kekuatan PKR datangnya daripada rakyat dan kami akan terus berusaha untuk terus memantapkan PKR agar rakyat Malaysia mendapat parti politik yang terbaik.

"Justeru kami mengalu-alukan sebarang kritikan membina dan pandangan dengan hati yang terbuka.


"PKR akan memulakan siri kempen di peringkat nasional untuk kembali menengahkan keadilan sosial dan permasalahan rakyat dalam wacana politik Malaysia," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.