Followers

Friday, October 15, 2010

Mustafa Cadang Calon Guna Sistem Dakwat Jari Dan Isytihar Harta !!

PETALING JAYA OKT : Naib Presiden PKR, Mustafa Kamil Ayub mencadangkan satu pembaharuan institusi dilakukan pada pemilihan peringkat pusat parti itu menggunakan sistem dakwat atau cat jari dan pengisytiharan harta, bagi membuktikan parti itu komited dalam memerangi rasuah.

Selama ini katanya, Pakatan Rakyat secara konsisten mengajak Umno-BN yang sinonim dengan rasuah supaya bersikap telus dalam mana-mana pilihan raya bahawa idea itu relevan dan realisitik untuk dilaksanakan.

"Kita bukan sahaja mencabar mereka yang terbabit mendedahkan akaun masing-masing dan belanjawan pilihan raya masing-masing sempena pilihan raya. Malah kita juga mendesak pihak berwajib seperti SPR dan SPRM supaya menyiasat beberapa pemimpin UMNO/BN yang kita anggap tiada integriti", kata Mustafa pada sidang media di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat, di sini, hari ini.

Menurut Mustafa,idea pendedahan akaun dan cat atau dakwat jari ini penting dalam memastikan proses pemilihan mahupun pilihan raya berjalan dengan bersih, bebas dan adil.

Melalui proses ini, lebih mudah untuk rakyat melakukan penyulingan pemimpin yang terlibat dengan amalan rasuah.

"Penentangan ini sentiasa tidak menyebelahi rakyat untuk mengangkat seorang yang adil, bersih dan demokratik selagi kita tidak membawa satu pembaharuan institusi dalam sistem pilihan raya negara.

Sebelum ini katanya, pengalaman menentang korupsi di zaman mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad misalnya tidak pernah berhasil apabila pemerintahan terus jatuh ke tangan pemerintah yang korup.

"Biar dunia melihat bahawa semua cadangan pembaharuan institusi ini relevan dan realistik untuk dilaksanakan dalam Malaysia dengan Parti Keadilan Rakyat sebagai pelantar ujian", katanya lagi.

Mustafa juga yakin dengan terlaksananya pembaharuan institusi ini,rakyat dapat melihat dengan lebih dekat komitmen pemimpin mereka.

"Saya kira teman-teman yang bertanding di tahap timbalan, naib presiden dan lain-lain jawatan, saya yakin mereka juga punya komitmen untuk meletakkan keadilan kepada parti yang benar-benar bersih, bukan sahaja bersih tapi mampu mengetengahkan agenda dalam soal pemilihan kepimpinan".

Selain itu, beliau juga turut mencadangkan supaya pemilihan pusat yang berlangsung bermula 29 Oktober hingga 21 November turut mengambilkira nombor siri pada kertas undian, mewujudkan borang 14, penjumlahan undi dilakukan dengan tepat dan ditandatangani wakil utama yang bertanding, meminta supaya pemantau bebas dibenarkan untuk membuat pemantauan semasa proses pemilihan berlangsung dan beberapa lagi cadangan lain.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.