Followers

Friday, December 25, 2015

Masyarakat bukan Islam Sibu teruja sertai sambutan Maulidur Rasul


Ia pertama kali mereka menyertai majlis tersebut dan mendapati ia merupakan pengalaman amat menarik yang sukar dilupakan.


SIBU: Masyarakat bukan Islam di bandar ini merasa teruja kerana dapat turut menyertai majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Dataran Bandar Sibu hari ini.

Presiden Federation of Seven Clans Association (FSCA), Chung Bui Kuek berkata ia pertama kali mereka menyertai majlis tersebut dan mendapati ia merupakan pengalaman amat menarik yang sukar dilupakan.

“Ahli-ahli kontingen kami merasa gembira dan teruja kerana berpeluang menyertai sambutan perayaan masyarakat Islam sepert ini. Ia adalah pengalaman baru bagi kami.

“Malah ada di kalangan ahli-ahli kontingen Islam terkejut melihat kontingen kami dari kalangan bukan Islam turut serta, tetapi mereka menerima kami dengan baik. Ini menyebabkan kami merasa begitu senang sekali,” katanya kepada Bernama.

Persekutuan itu terdri daripada gabungan tujuh persatuan Cina dari etnik Foochow, Kwong wai siew, Hainan, Hakka, Chiang chuan, Heng hua dan Teochew.

Chung berkata pada sambutan kali ini, ia disertai 120 ahli mereka.

Ditanya sebab mereka menyertai sambutan Maulidur Rasul, beliau berkata ia dibuat atas pelawaan Residen Bahagian Sibu, Hii Chang Kee.

Sementara itu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) turut menyertainya.

Pengerusi SUPP Sibu, Datuk Robert Lau Hui Yew berkata kontingen parti itu disertai 50 orang anggota daripada etnik Cina dan Iban.

“Kami gembira dapat turut serta dan penyertaan ini adalah baik untuk perpaduan kaum dan memberi peluang kepada masyarakat pelbagai kaum memahami agama serta budaya berbeza untuk saling memahami antara satu sama lain,” katanya.


– BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.