Followers

Friday, December 4, 2015

Kos Sara Hidup !!

Encik Politik Encik Polotik's photo.Ayuhai orang kampung, kepadamu kami merayu
Ke hadapan warga desa yang jauh di mata. 


Apa khabar kalian di sana? Semoga sihat sejahtera dan bahagia di samping keluarga, anak cucu, dan ayam itik masing-masing hendaknya. 

Kami di bandar ini baik-baik saja. Masih teguh menghadapi hari-hari muka.

Arakian maka baru saja tiba ke perkhabaran kami akan kisah kenaikan harga tol dan tambang pengangkutan awam. Ini bakal berlaku sedikit masa saja lagi, bahkan ada yang sudah pun berlaku. 


Kenaikannya pula bukan sedikit, malah ada yang mencecah dua tiga kali ganda.

Tambang kami berulang alik pergi kerja semakin mahal. Tak kiralah naik kenderaan apa pun, duit tetap kena keluar untuk bergerak dari rumah ke tempat kerja. Minyak harganya tidak menentu, tambang bas dan kereta api mahal mengejut. Lebuh raya yang sepatutnya menjimatkan masa menjadi penjara berjam-jam lamanya. Harga tolnya pula semakin meninggi.


Ini menyesakkan rongga dada kerana meski kos sara diri semuanya naik belaka, gaji kami sama sahaja. Gaji menteri dan orang politik boleh pula naik menggila. Kami tak hairan kerana mereka sendiri yang luluskan kenaikan gaji mereka. Ada waktunya kami tidak makan tengah hari. Kalau makan pun sedikit sekali. Ya lah, antara makan dan pengangkutan ke tempat kerja, mestilah kos ke tempat kerja diutamakan. Bak kata orang Jawa, ‘ora cucul, ora ngebul’. Tak kerja, tak makan. Ironinya begitu tebal sekali.

Harga barang di bandar juga mahal-mahal belaka. Itu belum dikira soal kain baju dan belanja keluarga. Cuba kalau ada anak 3. Seorang ke sekolah menengah, lain belanjanya. Yang tengah di sekolah rendah, juga lain belanjanya. Anak yang kecil perlu dibayar pengasuhnya, duit juga. Belum dicampur serakah si isteri mahu borong tudung Fareeda.


Belum dikira kalau yang menjadi ketua keluarga itu, ibu tunggal pula.


Kerajaan tidak peduli kami


Rintihan kami ini kerajaan tidak peduli. Mudahnya kerana kami ini warga minoriti. Nilai undi kami di sini, bagai sebutir pasir di kaki para menteri.


Kalau naik harga barang, tol, air dan api dan kami melalak sampai pagi, hampir pasti suara kami langsung tidak didengari. Kerajaannya naik takhta dan kekal merajalela bukan kerana undi kami di ibu kota. Bahkan sebenarnya yang menentukan mereka berkuasa ialah undi kalian di kampung dan desa.


Justeru kami di bandar ingin merayu bantuan kalian. Kami kian terdesak dan tiada tempat lagi untuk kami mengadu nasib. Tiada lagi rasa segan dan malu. Ayuhai orang kampung, kepadamu kami mengadu.


Tolonglah jangan disokong kerajaan ini lagi.


Kalian di kampung amatlah beruntung. Sekali sekala mereka datang sampai ke muka pintu, siap dengan susu, beras, gula dan tepung. Mujur tak diangkut dengan sirih junjung. Kalian sambut dengan air, pisang goreng dan biskut sedulang. ‘Hooray! Hooray! YB datang!’

Selang 4 tahun sekali mereka datang bertandang. Bertanya khabar, dah makan belum, anak dah berapa orang? Sebelum pulang diajaknya bergambar sekali, bersama hamper barangan dapur dan sampul penuh berisi.


Orang kampung dipayung dan didodoinya hari-hari. Ditipunya dengan akhbar dan berita di TV. Dan apabila pilihan raya tiba, kalian bersorak menyokong mereka. Sampaikan anak sekolah rendah pun disuruh berarak angkat bendera. ‘Oh takpa, ini semua kempen 1Malaysia’.


Menteri menang di kawasan luar bandar. Kawasan selamat yang sukar dicabar. Dengan hanya bermodalkan air liur, bercerita tentang keterancaman agama, bangsa dan tanah air. ‘Jangan cabar kesabaran Melayu,’ katanya. ‘


Mereka sedang menikmati hasil kekayaan negara, anak bangsa merempat’, tambahnya pula.
Sedangkan yang sedang kaya dan membulat sihat, adalah dia dan sanak kerabat. Manakala kami di bandar menanggung akibat. Jujur, kami sudah penat. Sejak 2008 lagi kami sudah tak larat.


Ayuhai orang kampung, bantulah kami. Bala ini sudah tidak tertanggung lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.