Followers

Monday, November 16, 2015

SPR belanja RM180 juta pilihan raya Sarawak ke-11


Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata perbelanjaan untuk pilihan raya negeri Sarawak ke-11 akan memerlukan penyewaan helikopter untuk kawasan-kawasan tertentu.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata perbelanjaan untuk pilihan raya negeri Sarawak ke-11 akan memerlukan penyewaan helikopter untuk kawasan-kawasan tertentu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan membelanjakan kira-kira RM180 juta pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak ke-11, kata Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Katanya, peruntukan itu turut melibatkan perbelanjaan logistik, seperti penyewaan helikopter, dan perbincangan untuk menyewa helikopter sudah pun bermula.

"Di Sarawak ini memang banyak helikopter diperlukan kerana ada kawasan-kawasan tertentu kita tiada pilihan. Kami perlu menggunakan helikopter dan di sesetengah tempat, helikopter itu kena keluar dari kawasan tersebut sebelum masa tertentu," katanya.

Sejumlah 15,000 kakitangan terlibat dan mereka akan ditempatkan di seluruh negeri semasa PRN kelak, katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan pada Taklimat Pegawai Pengurus, Penolong Pegawai Pengurus dan Ketua Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah, Ahli-ahli Suruhanjaya SPR, Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh dan Pengarah SPR Sarawak Datuk Takun Sunggah.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata setakat suku kedua tahun ini, pengundi berdaftar di Sarawak berjumlah 1.1 juta orang namun beliau menyifatkan jumlah tersebut masih kecil dengan jumlah pengundi baharu hanya kira-kira 10%.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata SPR menjangkakan laporan akhir persempadanan semula bahagian PRN Sarawak akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 2 Disember ini.

Beliau berkata tarikh tersebut adalah hari kedua terakhir Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Sidang Parlimen Ke-13 yang berlangsung selama 25 hari mulai 19 Oktober sehingga 3 Disember.

Katanya, pembentangan laporan itu bagi membolehkan cadangan mewujudkan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang baharu mendapat kelulusan Parlimen dan diwartakan.

"Laporan sudah pun diserahkan kepada pihak Parlimen dan mengikut apa yang saya dimaklumkan, laporan terakhir berkenaan persempadanan semula DUN Sarawak itu akan dibentangkan serta dibahaskan di Dewan Rakyat pada 2 Dis," katanya.

Dalam pelaksanaan persempadanan semula untuk Sarawak, SPR mewujudkan 11 kawasan baharu pilihan raya negeri, pertambahan daripada 71 kepada 82 kerusi DUN. – Bernama, 16 November, 2015.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.