Followers

Sunday, November 15, 2015

Rafizi sekali lagi cabar Arul Kanda berdebat isu 1MDB Adam Abu Bakar


rafizi-ramli_tony-pua_arul-kanda_600

Rafizi menganggap Arul Kanda tidak profesional dan menyarankannya sertai UMNO jika sekali lagi menolak cabaran debat itu.

KUALA LUMPUR: Rafizi Ramli menyahut cabaran Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda untuk berdebat mengenai syarikat milik kerajaan yang dilanda pelbagai kontroversi itu.

Rafizi dalam satu kenyataan berkata, dia akan menulis surat secara rasmi kepada Arul Kanda untuk bersama-sama dalam satu perdebatan mengenai 1MDB.

“Oleh kerana Arul Kanda telah menyatakan secara terbuka kesediaan untuk berdepan dengan saya, maka saya akan menyahut kesediaan itu,” katanya.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, pihaknya akan menulis surat secara rasmi kepada akhbar Sinar Harian untuk menjadi penganjur debat 1MDB itu.

Katanya, akhbar itu telah beberapa kali mengadakan forum atau perdebatan yang menemukan pimpinan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

“Format dan segala peraturan perdebatan adalah terpulang kepada Sinar Harian dan tarikh serta masa juga akan ditetapkan oleh penganjur kelak,” katanya.

Rafizi menyatakan, dia terkejut dengan kenyataan yang dibuat Arul Kanda memandangkan Presiden 1MDB sebelum ini menikus dan lari berselindung di belakang pimpinan UMNO dan kerajaan.

“Arul tahu bahawa Tony Pua terikat dengan ketetapan Parlimen berikutan keputusan bersama bahawa tanggungjawab Tony Pua di dalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) lebih penting daripada bersemuka dengannya.

“Maka sebarang perdebatan atau forum terbuka hanya akan melibatkan saya dan Arul,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, Setiausaha Agung PKR itu berharap agar Arul Kanda menyahut cabarannya untuk debat itu.

“Saya berharap kesediaan saya melayan kembali ego Arul Kanda tanpa syarat ini akan disambut oleh beliau.

“Jika beliau berdalih sekali lagi dan memberi pelbagai alasan, saya beranggapan beliau pun tidak berbeza dengan ahli-ahli politik UMNO yang hanya berani mendabik dada di gelanggang sendiri di depan penyokong sendiri,” tegasnya.

Rafizi berkata, Arul bukan professional dan sepatutnya menyertai UMNO jika beliau sekali lagi menolak cabaran debat itu.

“Saya akan menunggu maklum balas beliau,” katanya.

Arul Kanda dalam satu majlis anjuran Biro Penerangan UMNO pada pagi Sabtu menyatakan kesediaannya untuk bertemu Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dan Rafizi Ramli.

Katanya, kesediaan itu bagi menjelaskan situasi sebenar, masalah-masalah yang berlaku dalam 1MDB, dan langkah-langkah rasionalisasi yang dilakukan syarikat berkenaan sekaligus menafikan fitnah yang dibuat oleh pembangkang.


FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.