Presiden
Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mencabar bekas Naib Presiden parti
itu, Datuk Husam Musa untuk mengangkat sumpah talak isteri. - Foto
TRP/Syahirah Roslan
SHAH ALAM, 15 November: Presiden
Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mencabar bekas Naib Presiden parti
itu, Datuk Husam Musa untuk mengangkat sumpah talak isteri.
Beliau berkata demikian
ketika mengulas kesediaan Husam untuk meneruskan niat mengangkat sumpah
talak bagi membuktikan dakwaannya berasas.
“Dia tiada (dalam
mesyuarat), dia di Kelantan, dia tak tahu apa-apa,” katanya di dalam
sidang media di program ‘Jelas bersama Presiden’ anjuran Muslimat Pas di
Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), hari ini.
Jelas Hadi lagi, dakwaan
yang dikeluarkan Husam adalah tidak berasas memandangkan pihak Pas
tidak pernah membincangkan untuk membentuk kerajaan perpaduan di
Selangor bersama Barisan Nasional (BN).
Namun, perkara berkenaan
pernah berbangkit pada era 70-an lalu yang mana ianya melibatkan
gabungan semua parti yang ada di Malaysia sambil menjelaskan berkenaan
rundingan yang pernah berlangsung pada 2008 lalu.
“Dakwaan Husam itu ketinggalan zaman, itu krisis pada tahun 70-an dulu.
“Kalau pada tahun 2008,
yang mana ianya gabungan melibatkan semua parti, bukan BN sahaja… Tapi
tak jadi sebab ada parti yang tidak setuju.
“Hal ini sudah diputar belit,” jelas Hadi.
Sebelum ini, di dalam
sesi dialog program tersebut, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang
menjelaskan siasatan ke atas Husam adalah berkuatkuasa kepada
Jawatankuasa Displin parti.
Menurutnya, pihak Pas
Pusat hanya akan menunggu laporan penuh dari Pas negeri berkenaan
sebelum memutuskan tindakan yang wajar untuk dikenakan kepada ADUN Salor
itu.
“Tunggu laporan Pas
Kelantan dan satu tindakan akan diambil, sama ada pecat, gantung lucut
tugas, (Pas akan) beri nasihat kalau tidak ikut, itu terpulang.
“Kita ada Jawatankuasa
Displin, terpulang kepada Pas Kelantan. Sebarang tindakan mestilah ada
kepada laporan Pas Pusat,” katanya lagi.
Semalam, Husam
menegaskan beliau sanggup bersumpah talak isteri bagi membuktikan
dakwaan terdapat usaha untuk menyatukan Pas dengan Umno adalah benar.
Menurut Husam, usaha itu
bermula selepas Pilihan Raya Umum ke 12 pada 2008 apabila Hadi dan
bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi mengadakan pertemuan di
sebuah hotel di Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.