Followers

Friday, November 13, 2015

Ada rasuah sembunyi-sembunyi, ada yang terbuka

Abdul MalikIshak Bin Madihi's photo. Bekas Perdana Menteri,Tun Dr Mahathir Mohamed berucap pada "2nd Annual Malaysia's War on Corruption Symposium 2015" bertempat di Pullman Bangsar,Kuala Lumpur. - Foto Sinar Harian oleh AFIQ RAZALI

KUALA LUMPUR - Rasuah secara sembunyi-sembunyi harus dikesan dan dihalang daripada menjadi rasuah yang diberi secara terang-terangan, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, sebagai insan yang telah memimpin negara ini selama bertahun-tahun lamanya, analisisnya sendiri mendapati terdapat dua peringkat rasuah di negara ini.

"Ada rasuah secara sembunyi-sembunyi dan ada rasuah diberi secara terang-terangan," kata Dr Mahathir pada Simposium Memerangi Rasuah Malaysia 2015 di sini, hari ini.

Beliau berkata, rasuah secara sembunyi berlaku apabila seorang pegawai yang korup tahu bahawa perbuatan itu salah dan ia merupakan satu kesalahan untuk melakukan perbuatan itu, lalu melakukannya secara sembunyi-sembunyi tanpa orang lain mengetahuinya

"Jika ini tidak ditangani, rasuah secara terang-terangan akan berlaku di mana ia kelak menjadi hakikat kehidupan, sesuatu yang berlaku dan anda menerimanya.

"Anda tidak perlu menentangnya kerana semua orang memberi dan semua orang menerima dan ada juga kadar khas... bagi kerja ini, anda memberi sebanyak ini dan untuk kerja itu, anda memberi sebanyak itu.

"Apabila keadaan ini berlaku, (amalan) rasuah menjadi lebih besar kerana semua orang yang terjebak dalam kegiatan ini akan mendapat habuannya daripada rasuah.

"Pada peringkat ini, ia menjadi sukar (untuk dibendung) terutamanya jika orang di peringkat paling tinggi juga menerimanya... baik presiden, perdana menteri ataupun menteri.

" Semua orang menerima rasuah dan tidak ada orang yang memberitahu bahawa anda melakukan sesuatu yang salah atau menyalahi undang-undang," kata beliau.

Dr Mahathir berkata satu cara yang mungkin boleh digunakan bagi mengesan rasuah di peringkat tertinggi ialah dengan melihat gaya hidup mewah seseorang.

"Gaya hidup mewah, seperti memiliki banyak kereta mewah...seseorang yang korup tidak akan mampu mengawal dirinya daripada membelanjakan wang rasuah dan ia bersifat fizikal serta boleh dilihat," kata beliau.

Bagaimanapun, katanya, gaya hidup mewah tidak cukup untuk menjadi bukti di mahkamah.

"Mahkamah mahu melihat orang tampil ke hadapan dan memberitahu 'dia menerima wang daripada saya'," kata Dr Mahathir. - Bernama.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.