Followers

Monday, October 26, 2015

Wakil rakyat malu terima BR1M, minta naikkan pencen




Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) meminta kerajaan agar menaikkan elaun pencen bekas wakil rakyat dinaikkan kepada RM5,500 sebulan atau setengah daripada gaji yang diterima sebelum ini.

Ia kerana rata-rata daripada mereka hanya menerima pencen sekitar RM1,000 sehingga layak mendaftar untuk menerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M).

Perkara ini diusulkan oleh Mubarak Negeri Melaka Datuk Sahar Arpan dan dipersetujui sebulat suara oleh semua perwakilan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Mubarak ke-12 di Hotel Seri Pasifik hari ini.

“Ada yang dapat RM1,060. Ada yang dapat RM1,009. Ada yang lihat selekeh (bekas wakil rakyat)… sehingga layak untuk dapat BR1M. Kita nak daftar BR1M pun malu.

“Orang tanya kerja apa, jadi wakil rakyat, malu je dekat orang BR1M,” katanya.

Sahar berkata,sebelum ini perkhidmatan menjadi wakil rakyat adalah tugas yang tidak mengira waktu, tempat bagi memenuhi tanggungjawab kepada rakyat.

Menurutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu meneliti masalah mereka kerana kumpulan itu sebelum ini berkhidmat kepada negara bagi menerangkan kepada orang-orang luar bandar mengenai kepimpinan negara.

Parlimen tak lagi berkecuali

Sementara itu dalam ucapan penggulungan, Presiden Mubarak Tan Sri Abdul Aziz Rahman mendakwa ada pihak yang menyerahkan parlimen kepada kerajaan untuk diuruskan sehingga badan itu kini dilihat tidak lagi berkecuali.

Katanya, sebelum ini parlimen mempunyai sistem dalam urusan tadbir tersendiri dalam menentukan pentadbiran mereka, namun kini tidak lagi.

“Parlimen mesti berkecuali. Ada orang yang menyerahkan parlimen balik kepada jabatan kerajaan untuk menguruskan parlimen, ia menunjukkan parlimen itu tidak bebas.

“Dulu berkecuali, boleh buat perkara kamu sendiri, sistem sendiri dari segi kerja.

“Entah macamana speaker serahkan kepada kerajaan jadi jabatan pula. Ini tidak pernah terjadi... Tiada sesiapa di parlimen yang menimbilkan perkara ini.

“Saya minta ia disampaikan kepada sahabat-sahabat kita di parlimen. Kita minta rombak semula parlimen jadi institusi yang bebas daripada kongkongan kakitangan kerajaan, tapi speker tu menguruskan bajet itu sendiri dan sebagainya,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.