Followers

Saturday, October 10, 2015

Rahsia Menteri Ini Terbongkar



Sesiapa  pun yang membaca kenyataan Majlis Raja-Raja berhubung 1MDB sebenarnya tidaklah sukar memahami maksud sebenar mengapa ia dikeluarkan.

Ia secara jelas bermaksud bahawa Raja-Raja kecewa dengan siasatan berkaitan 1MDB dan hilang kepercayaan dengan apa yang berlaku dalam rentetan penyiasatan sebelum ini, lalu membuat gesaan agar ia dapat diselesaikan dengan segera demi kepentingan rakyat dan negara.

Sudah tentu kenyataan Majlis Raja-Raja ini antara lain ada hubungkaitnya dengan pemecatan Peguam Negara, gangguan terhadap SPRM, pertukaran beberapa pegawai ke Jabatan Perdana Menteri dan perlantikan menganggotai pentadbiran kerajaan kepada anggota Jawatankuasa Kira-Kira Awam Negara, di tengah-tengah mereka sedang menjalankan siasatan mengenai 1MDB.

Sebab itu, isi kenyataan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu bagi pihak Majlis Raja-Raja antara lain berbunyi:-

- selesaikan secepat mungkin siasatan 1MDB dan ambil tindakan sewajarnya kepada pihak yang terlibat.

- semua pihak harus beri kerjasama sebenar dengan jujur.

- penemuan siasatan hendaklah dilaporkan secara lengkap dan telus.

- kegagalan memberi penjelasan yang meyakinkan dikhuatiri akan mengakibatkan krisis keyakinan di kalangan rakyat.

- rakyat yang percaya, sama ada dengan realiti atau persepsi berkaitan 1MDB akan mempengaruhi kejatuhan nilai ringgit secara mendadak.

- badan-badan penguatkuasa dan institusi kawal selia hendaklah menyempurnakan amanah Tuhan dan kepercayaan rakyat secara telus.

- mengingatkan bahawa kepentingan rakyat dan negara hendaklah mengatasi kepentingan peribadi.

Sukarkah memahami maksudnya? Walaupun tidak disebut perkataan hilang kepercayaan terhadap tindak-tanduk Najib Razak berhubung siasatan 1MDB dalam kenyataan itu, hakikatnya memang itulah maksud sebenarnya.

Sebab itu apabila membaca reaksi sepupu Najib, Hishamuddin Hussein yang mengatakan kenyataan itu tidak bermaksud Majlis Raja-Raja hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri berhubung siasatan 1MDB, ianya seratus-peratus tidak benar.

Kata Menteri Pertahanan itu lagi, jika Raja-Raja bermaksud demikian, mereka akan cakap bulat-bulat.

Bagaimanakah Hishammuddin yang beristerikan kerabat Diraja Pahang, tidak memahami maksud sebenar kenyataan Raja-Raja itu?

Bukankah kenyataan dalam bahasa yang mudah itu seharusnya lebih difahami oleh sesiapa saja, lebih-lebih lagi oleh anggota kabinet kerajaan yang sepatutnya lebih cerdik  memahami yang tersurat dan tersirat.

Kalau ditanya murid-murid sekolah yang akan mengambil peperiksaan SPM pun, barangkali mereka tidak mengambil masa lebih daripada dua hari untuk menjawab bahawa kenyataan Majlis Raja-Raja itu memang bermaksud institusi payung negara itu sudah hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri berhubung siasatan 1MDB.

Namun, jika dilihat dengan anggota kabinet kerajaan sekarang, mereka mengambil masa dua hari untuk memberi reaksi terhadap kenyataan Majlis Raja-Raja itu dengan setakat ini hanya Hishammuddin, Zahid Hamidi dan Abdul Rahman Dahlan saja yang bersuara mengenainya.

Tidakkah Hishammuddin sedar bahawa Raja- Raja, golongan Istana dan kerabatnya adalah kelompok yang sangat berbudi bahasa dengan sering menggunakan bahasa berkias dan sopan dalam perbualan.

Mereka bukanlah golongan yang mudah mengungkapkan perkataan seperti haramjadah, bangang, bangsat atau seekor-seekor yang ditujukan kepada manusia yang lain, walau dalam keadaan marah dan tertekan sekali pun.

Kalau pun Hishammuddin terlalu ingin mempertahankan sepupunya, beliau tidak seharusnya menolak realiti. Terimalah realiti yang terbentang di depan mata dan jangan sesekali cuba menutupnya sehingga memalukan dirinya sendiri sedangkan dengan beristerikan kerabat Diraja, beliaulah yang sepatutnya lebih memahami maksud sebenar kenyataan Majlis Raja-Raja itu.
ADDIN

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.