Followers

Thursday, October 22, 2015

Perang Antara Ali Tinju - Jamal Semakin Panas



PETALING JAYA: Datuk Jamal Yunos dan Mohamad Ali Baharom atau Ali Tinju terus melancarkan ‘perang’ dengan masing-masing membuat tuduhan antara satu sama lain.

Jamal, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar mengingatkan Ali Tinju supaya tidak sewenang-wenangnya mengajar atau mengganggu polis menjalankan tugas.

Ingatan itu dibuat selepas Ali Tinju mendesak polis mengambil tindakan tegas terhadap Jamal yang dilihat kebal walaupun telah melanggar arahan polis.

“Tidak perlu nak mengajar agensi-agensi kerajaan ini terutamanya pihak polis kerana mereka tahu untuk menjalankan tugas tanpa arahan daripada sesiapa,” katanya kepada FMT.

Jamal berkata, semua orang berhak bersuara dan mengkritik tetapi ada juga orang yang hanya tahu bercakap namun tidak membuat apa-apa kebaikan untuk masyarakat.

“Jangan kita pandai bercakap tapi tidak buat apa-apa.

“Ali Tinju sahabat saya dan kami tidak mempunyai masalah. Mungkin dia berbeza pandangan, tetapi saya percaya matlamat kami sama iaitu memperjuangkan hak rakyat Selangor,” katanya.

Jamal berkata, beliau sedikitpun tidak berkecil hati dengan ‘serangan’ Ali Tinju itu kerana menganggap mereka berdua masih berkawan baik.

“Negara ini mengamalkan demokrasi. Saya tidak terasa hati dan saya mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk mengkritik saya,” jelasnya.

Mengulas perhimpunan Ahad lalu, Jamal menyalahkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) kerana tidak memberi kebenaran kepada penganjur menggunakan tapak untuk perhimpunan.

Katanya, kerajaan Selangor sepatutnya berterima kasih kepada mereka kerana membangkitkan masalah yang dihadapi oleh rakyat.

“Kita buat perhimpunan bukan untuk buat kecoh tetapi hendak membuka mata kerajaan negeri supaya memberi maklum balas kepada permasalahan yang dihadapi rakyat. Sepatutnya mereka berterima kasih kepada saya,” katanya.

- freemalaysiatoday

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.