Bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik akan berbincang dengan peguamnya mengenai notis tuntutan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Isteri Ling, Erna Ling yang mengesahkan perkara itu, berkata suaminya akan berbincang dengan peguamnya untuk menentukan langkah beliau seterusnya.
Erna berkata bekas menteri pengangkutan itu menerima notis tersebut petang semalam, lapor Sin Chew Daily.
Sementara itu, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata memandangkan perdana menteri mengeluarkan notis tuntutan kepada Ling, maka ia menjadi persoalan undang-undang yang perlu ditentukan oleh hakim.
"Setiausaha agung MCA Ong Ka Chuan telah menyatakan pendangannya mengenai kenyataan Ling, yang mana kenyataan Ling itu tidak mewakili pandangan MCA," kata Liow.
Ditanya mengapa bekas perdana menteri Tun Dr Mahahtir Mohamad, yang mengkritik Najib, tidak menerima sebarang tindakan tetapi Ling pula menerima notis guaman itu, Liow berkata MCA akan memantau perkembangan isu tersebut dan memberi pandangan mengenainya berdasarkan undang-undang.
Najib juga menuntut bahawa Ling memohon maaf dan menarik balik dakwaan kenyataan fitnah terhadap beliau atau berdepan tindakan undang-undang. [Baca berita asal]
Sementara itu, Bernama melaporkan dalam surat tuntutannya, firma guaman Messrs Hafarizam Wan & Aisha Mubarak berkata firma itu telah diarahkan supaya mengambil tindakan dan menuntut penarikan balik, permohonan maaf yang jelas dan ganti rugi munasabah berhubung kenyataan yang diterbitkan menerusi artikel bertajuk 'MCA's Liong Sik Joins Call For Najib's Ouster For allegedly Putting People's Money in His Own Pocket'.
Surat itu menyebut bahawa makna yang jelas menerusi perkataan yang terkandung dalam artikel itu membawa maksud bahawa, antara lain, Najib telah menyalahgunakan wang milik dana pelaburan kerajaan ke dalam akaun peribadi beliau; bahawa beliau menyalahgunakan dana itu bagi kepentingan peribadi beliau, bahawa beliau menyalahgunakan kuasanya sebagai ketua parti politik dan pemimpin negara, dan bahawa beliau tidak layak untuk menjadi ketua kerajaan Malaysia.
Artikel itu disiarkan Malay Mail Online pada 3 Okt lepas dan masih boleh dilayari masyarakat umum menerusi jaringan sejagat, menurut surat bertarikh 5 Okt 2015, dan ditandatangani peguam Najib, Datuk Mohd Hafarizam Harun.
Firma itu, yang bertindak bagi Najib atas sifat peribadi beliau, berkata surat itu diserahkan di rumah Ling di Bukit Damansara di ibu negara semalam, dan diterima isteri Ling pada 4 petang.
Surat itu menuntut supaya Ling melakukan perkara berikut dalam masa tujuh hari:
- BERHENTI daripada terus mengeluarkan sebarang kenyataan fitnah atau apa-apa kenyataan seumpamanya yang merujuk kepada anak guam kami,
- MENGELUARKAN permohonan maaf yang jelas dan penuh secara bertulis serta menarik balik kenyataan fitnah, berdasarkan terma yang dipersetujui oleh kami, bagi pihak anak guam kami,
- MENERBITKAN penarikan balik kenyataan dan permohonan maaf itu dalam muka surat dan saiz yang dipersetujui anak guam kami dalam dua akhbar nasional yang dipilih anak guam kami,
- MEMBERI anak guam kami janji bertulis bahawa anda akan mengelak daripada mengeluarkan/menerbitkan kenyataan fitnah atau apa-apa kenyataan seumpamanya, dan
- MEMBAYAR GANTI RUGI kepada anak guam kami berkaitan semua kos dan perbelanjaan yang berbangkit daripada perkara ini.
"Dalam perkara ini, kami menerima arahan yang tegas daripada anak guam kami untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap anda dan/atau ejen yang berkaitan dengan anda tanpa apa-apa rujukan selanjutnya kepada anda, termasuk memohon injunksi untuk menghalang sebarang penerbitan seperti itu lagi," menurut surat itu.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.