Followers

Thursday, October 29, 2015

Khalid sokong Azmin, keputusan MB tak perlu maklum PKR


Bekas menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim menyokong tindakan Mohamed Azmin Ali yang didakwa meluluskan pembinaan tiga lebuh raya di negeri itu tanpa memaklumkan kepada partinya.

Beliau berkata proses kelulusan selalunya dibuat melalui mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan hanya sekiranya perlu, anggota MMKN akan memaklumkan kepada parti masing-masing.

"Saya tidak tahu tentang perkara tersebut (pembinaan tiga lebuh raya). Sebenarnya perkara mengenai kelulusan biasanya diluluskan melalui mesyuarat exco (MMKN)," kata Khalid kepada The Malaysian Insider di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata, Azmin selaku menteri besar Selangor boleh memberi penjelasan berhubung perkara itu dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Kalau ada dalam mesyuarat exco, maknanya ada rekod mengenai perkara ini.

"Perkara ini boleh dijelaskan dalam perjumpaan di DUN yang akan mula berlangsung minggu depan," katanya.

"Exco mesti meluluskan dahulu. Kemudian kalau perlu, ahli exco yang dalam parti politik tertentu boleh membawa ke pengetahuan parti masing-masing," kata ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu.

Khalid sebelum ini digugurkan daripada jawatannya sebagai menteri besar Selangor kerana antara lain, melaksanakan program penstrukturan air di negeri itu tanpa memaklumkan kepada partinya.

Selain kehilangan kedudukan itu, beliau turut dilucutkan keahlian PKR.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli sebelum ini dilaporkan berkata, Azmin diminta memberikan penjelasan berhubung dakwaan yang tiga lebuh raya di negeri itu sudah diberikan kelulusan tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada kepimpinan tertinggi PKR.

Rafizi dipetik akhbar Sinar Harian menegaskan, pihaknya masih belum mendapat sebarang pengesahan berhubung khabar angin tersebut dan beliau akan membawa isu itu ke dalam mesyuarat dalaman parti dalam masa terdekat.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail terdahulu hari ini berkata, beliau akan mendapatkan penjelasan daripada Azmin berhubung perkara itu pada sesi pembentangan Belanjawan Selangor Jumaat ini.

Kerajaan negeri Selangor didakwa meluluskan pembinaan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) sejauh 32 kilometer untuk menjadi laluan alternatif kepada Lebuhraya Jaringan Tengah II (MRR2) dari Sri Petaling ke Ulu Klang, melalui Sungai Besi, Cheras, Kajang dan Taman Putra Ampang.

Konsesi 60 tahun dianugerahkan kerajaan persekutuan kepada syarikat Projek Lintasan Kota Holdings (Prolintas) dan ia dijangka dapat membantu menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas kritikal di beberapa lebuh raya utama di sekitar Lembah Klang.

Pembinaan lebuh raya itu sekali gus menjadi laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) khususnya di kawasan Ulu Klang, Ampang dan Pandan Indah.

Sementara itu, ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Noh Omar yang juga ketua perhubungan Umno negeri Selangor berkata, PKR perlu jelas dalam pelaksanaan keputusan mereka.

Beliau turut membangkitkan persoalan sama ada Azmin, yang juga timbalan presiden PKR, bakal berdepan tindakan sama oleh parti seperti Khalid sebelum ini.

"Kita hendak tengok, PKR kena tegas. Kalau keputusan menteri besar, kena rujuk parti, Khalid dipecat, Azmin bagaimana?

"PKR kena ambil tindakan jelas," kata Noh yang juga ahli Parlimen Tanjung Karang. - TMI

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.