Followers

Monday, October 26, 2015

Berita Amat Memalukan Umat Melayu.. Saksikanlah


Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) sedia untuk berperang, jika perlu, bagi mempertahankan maruah orang Melayu dan pemimpinnya, kata Presidennya Tan Sri Ali Rustam hari ini.

Bercakap pada perasmian Wisma Silat Gayong di Kuala Lumpur hari ini, Ali mengingatkan orang Melayu, mereka mesti hidup dengan "bermaruah".

Pesaka merupakan satu daripada peserta utama Himpunan Rakyat Bersatu pada 16 September, juga dikenali sebagai perhimpunan baju merah, yang dianjurkan sebagai bertindak balas kepada perhimpunan Bersih 4 pada 29 dan 30 Ogos, yang menurut mereka menghina integriti bangsa Melayu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada asalnya dijadualkan merasmikan bangunan Silat Gayong baru itu, tetapi beliau tidak dapat hadir dan diwakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

"Kami hendak memberikan satu pernyataan orang Melayu yang mempunyai seni silat masih berada di Kuala Lumpur ini," kata bekas ketua menteri Melaka itu.

"Kami bukan hendak berperang, tetapi jika mereka hendak berperang, kami akan pergi berperang," katanya.

Ali berkata, orang Melayu "dihina" 4 kali di Kuala Lumpur, merujuk kepada empat perhimpunan Bersih sejak 2007, yang semua menggesa supaya reformasi pilihan raya dilakukan.

Katanya, kejadian ketika Bersih 4 di mana beberapa peserta memijak gambar Najib adalah satu contoh bagaimana pihak-pihak tertentu menghina Melayu, pemimpin, perlembagaan dan Raja-raja Melayu.

"Tidak ada gunanya kita ada duit jika kita tidak mempunyai nilai diri," katanya.

Beliau berkata, Pesaka bukan bertujuan mencari masalah, tetapi sekadar menuntut supaya Melayu tidak dihina.

Beliau juga menyifatkan perhimpunan 16 September lalu sebagai berjalan dengan aman.

"Sebab itu kita adakah satu perhimpunan aman untuk menunjukkan penyokong silat masih berada di Kuala Lumpur; untuk menunjukkan orang Melayu masih berada di Kuala Lumpur," katanya.

Perhimpunan 16 September itu dicemari dengan kain rentang dan sepanduk yang mengandungi kata-kata berapi dan berbaur perkauman serta melihat detik-detik tegang apabila peserta naik marah dengan soalan yang dikemukakan beberapa wartawan.

Polis rusuhan juga menyembur air mengandungi bahan kimia ke atas sekumpulan peserta perhimpunan yang cuba mencetuskan pergaduhan dengan melanggar sekatan polis untuk masuk ke Jalan Petaling, kawasan yang didominasi peniaga Cina, yang tidak dibenarkan. 


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.