Followers

Sunday, September 6, 2015

'Mengapa Najib masih membisu isu dana RM2.6b?'


 




Mengapa Najib masih membisu pasal dana RM2.6 bilion?

Meskipun Malaysia dan beliau sendiri dimalukan di Persidangan Antarabangsa Anti Rasuah (IACC) ke-16 2015, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih enggan tampil menjelaskan misteri-misteri di sebalik derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaunnya.

Ini menimbulkan lebih banyak persoalan dan spekulasi mengapa Najib memilih untuk membisu daripada menjawab soalan mengenai RM2.6 bilion. Berikut ialah lima teori yang paling hangat diperkatakan.

Teori 1: Apakah sebenarnya duit itu tidak digunakan untuk Umno?

Persoalan ini timbul kerana Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin pun tidak tahu berapa baki yang ada di akaun tersebut ketika ia ditutup. Jika benar duit itu telah digunakan untuk Umno dan pilihan raya, sudah tentu Najib akan berani menjawab Muhyiddin, dan Muhyiddin tidak akan berani bertanya begitu.

Teori 2: Apakah duit itu sebenarnya bukan derma?

Persoalan ini timbul kerana sehingga hari ini penderma yang berbesar hati ini masih misteri kepada rakyat Malaysia. Spekulasi ini lebih hangat apabila Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak berani menjawab cabaran Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mendedahkan nama penderma tersebut setelah Zahid mengaku telah berjumpa dengan wakil keluarga dari asia barat yang mendermakan RM2.6 bilion kepada Najib.

Jika penderma itu sanggup menderma RM2.6 bilion kepada Najib, mengapa beliau tidak sanggup tampil membersihkan nama Najib? Tidakkah penderma itu takut duit derma itu akan dibazirkan jika Najib jatuh nanti sedangkan derma itu untuk Umno bukan untuk Najib? Apakah betul dakwaan Tun Mahathir bahawa duit itu sebenarnya duit 1MDB?

Teori 3: Apakah ia satu kesilapan taktikal untuk mengelarkan RM2.6 bilion itu sebagai derma?

Dana RM2.6 bilion di akaun Najib didedahkan oleh WSJ (Wall Street Journal) pada 3 Julai 2015 yang disyaki duit 1MDB. Sebulan kemudian, barulah SPRM berkata duit itu ialah duit derma.

Sehingga kini, tidak kedengaran Najib menyaman WSJ meskipun derma cerita RM2.6 bilion ini sudah menjadi perbualan dan lawak antarabangsa.

Apakah ini satu kesilapan taktikal yang teruk? Oleh kerana itu, sehingga Najib tidak berani menjawab isu RM2.6 bilion ini secara berdepan meskipun menerima kritikan hebat di IACC di negara sendiri.

Teori 4: Apakah memang ada bukti salahlaku yang dijumpai mengenai RM2.6 bilion?

Spekulasi ini juga antara terhangat diperkatakan ekoran terbubarnya pasukan siasatan khas isu 1MDB, pemecatan Muhyiddin dan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail secara mengejut, terbantutnya persidangan PAC, pemindahan pegawai Peguam Negara dan SPRM yang dilakukan secara mendadak, penahanan pegawai SPRM seperti penjenayah untuk disoalsiasat dan kebisuan Bank Negara dalam isu dana RM2.6 bilion.

Jika derma itu bersih dari segi tatatertib kewangan, mengapa Najib tidak menggalakkan siasatan diteruskan?

Malah, menurut Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan, Najib belum menjelaskan kepada pemimpin Umno mengenai wang RM42 juta yang dimasukkan ke akaun persendiriannya oleh anak syarikat SRC International.

Teori 5: Apakah antara orang yang dapat menikmati dana RM2.6 bilion itu ialah pemilik akaun atau warisnya?

Persoalan ini juga hangat diperkatakan berdasarkan gaya hidup pasangan ini, yang digelar mewah oleh Tun Dr Mahathir. Apakah disebabkan ini, Najib memilih untuk membisu kerana beliau tahu rakyat dan Umno akan lebih marah?

Tanpa jawapan yang memuaskan, lebih banyak spekulasi mengenai RM2.6 bilion di akaun Najib akan timbul dan hangat diperkatakan.

Bukan sahaja Najib yang kena pukul, Malaysia dan nilai ringgit turut dilanyak bersama kerana hilangnya integriti daripada pemimpin tertinggi dan kabinetnya.

Jika nilai ringgit terus turun, rakyat perlu bersedia untuk menghadapi kemelesetan ekonomi dan peningkatan inflasi secara mendadak di suku ke keempat 2015 kerana semua barangan import telah menjadi mahal.

Situasi dijangka akan diburukkan melalui risiko yang perlu diambil untuk mengekalkan kadar faedah semalaman (OPR) untuk tidak membebankan rakyat Malaysia yang mempunyai hutang isi rumah yang tinggi (melebihi 80% daripada KDNK) dan tekanan daripada GST apabila barang-barangan yang dikecualikan turut dikenakan GST bermula 2016.

DATUK TUAN IBRAHIM TUAN MAN timbalan presiden PAS.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.