Followers

Sunday, September 6, 2015

Dr Mahathir dan 2 jalan selamatkan Umno


Dr Mahathir dan 2 jalan selamatkan UmnoMana pilihan yang lebih realistik untuk Umno dan penyokongnya – Umno yang akan menerajui pemerintah sampai hari kiamat, ataupun Umno yang boleh kembali untuk menang semula selepas kalah?

Minggu lepas, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad “melawati” perhimpunan Bersih 4 sebanyak 2 kali.

Ini cukup menarik kerana beliau mengecam sekuat-kuatnya perhimpunan aman sebagai cara rakyat menyatakan ketidakpuasan hati.

Apa yang menarik lagi, beliau menegaskan yang dirinya tidak menyokong Bersih.

Apakah perbezaan antara tuntutan Bersih dan tuntutan Dr Mahathir?

Bersih inginkan pengunduran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, reformasi institusi tetapi terbuka pada soalan mana parti yang memerintah.

Dr Mahathir inginkan pengunduran Najib supaya Umno boleh terus memerintah. Ini bermaksud apa yang Dr Mahathir tidak sokong ialah reformasi institusi, sejumlah 10 item dalam agenda Bersih.

Dr Mahathir tidak sokong reformasi pilihan raya, reformasi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pemisahan perdana menteri dan menteri kewangan, reformasi Parlimen, reformasi Jabatan Peguam Negara, reformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), penggubalan undang-undang Kebebasan Maklumat (FOI) yang memudahkan rakyat memantau pentadbiran dan kewangan pemerintah, pengisytiharan aset oleh menteri dan pegawai kanan awam, pemansuhan atau pindaan kepada undang-undang zalim yang menekan hak membantah, dan akhirnya, penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC).

Ini sebenarnya tidak menghairankan kerana hampir semua masalah yang ingin ditangani dengan reformasi institusi ini muncul dalam era zaman Dr Mahathir, malah salah satunya – praktis perdana menteri merangkap menteri kewangan – itu bermula dengan beliau pada 1998.


Apakah implikasinya apabila Dr Mahathir inginkan Umno dan BN terus berkuasa tanpa semua reformasi institusi ini? Mahathir mengecam Najib kerana beliau terlibat dengan rasuah?

Tetapi bagaimana pengganti Najib – bukan sahaja jika dari Umno, tetapi jika dari luar Umno sekalipun – tidak akan terlibat dengan rasuah?

Apabila pilihanraya boleh dimanipulasi untuk melindungi pemerintah daripada kemarahan rakyat, apabila kuasa eksekutif tidak dapat disemak dan diimbang oleh Parlimen dan agensi lain, apabila hak rakyat membantah ditekan dengan undang-undang zalim dan keganasan polis, mengapa perdana menteri dan menteri tidak harus tunduk kepada kerakusan dan nafsunya?

Jangan kita lupa Najib bukan perdana menteri yang terlibat dengan skandal wang.

Kerugian yang negara tanggung kerana segala skandal di bawah pemerintahan Dr Mahathir 22 tahun itu dianggar mencecah RM100 bilion.

Kerugian skandal terakhir yang melibatkan beliau, Port Klang Free Zone (PKFZ), mencapai RM12 bilion.

Dari sini, terdapat 2 jalan yang cukup lain dan berlawanan jika Umno ingin diselamatkan. Menarik sekali, satu jalan ini dipelopori secara langsung oleh Dr Mahathir manakala jalan yang lain itu ditawarkan secara tidak langsung oleh Bersih.

Jalan Pertama: Penangguhan kekalahan Umno

Dr Mahathir ingin selamatkan pemerintahan Umno tetapi tanpa reformasi institusi.

Akan tetapi tanpa reformasi institusi, perdana menteri baharu bukan saja tidak perlu takut kepada kemarahan rakyat dan oleh itu jauhkan diri daripada rasuah.

Apakah pendekatan yang paling mungkin akan pengganti Najib daripada Umno ambil untuk mengekalkan kuasanya apabila sendirinya terlibat dengan skandal wang yang baharu?

Pendekatan pertama, beliau terpaksa memancing undi, dengan pemberian wang daripada Perbendaharaan Malaysia ala BR1M dan juga dengan imbuhan kepada individu atau kumpulan terpilih daripada akaun sendiri atau akaun sendiri.

Kedua-dua ini akan membawa parah kepada pemerintah. Kaedah pertama akan menaikkan defisit fiskal pemerintah dan seterusnya keperluan untuk menaikkan cukai seperti GST.

Kaedah kedua pula akan mendorong perdana menteri untuk mencari lebih rasuah atau berhutang budi kepada para “penderma” besar yang budinya kemungkinan besar perlu dibayar dengan keputusan kerajaan yang menguntungkan mereka.

Pendekatan kedua, beliau akan mengukuhkan sokongannya dengan mempermainkan sentimen etnik agama seperti mengapi-apikan ketakutan tidak berasas yang orang Melayu dan Islam akan dipinggirkan.

Perhitungannya mudah, kalau orang Melayu percaya diri mereka akan jadi bangsat jika Umno kalah, maka segala kerakusan, kezaliman dan kemungkaran pemimpin Umno boleh dilupakan malah dimaafkan.

Pendekatan ke-3, beliau akan mengubah sempadan dan kalau boleh bilangan kawasan pilihanraya supaya Umno boleh bertanding dan menang majoriti mudah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) secara tersendiri.

Maka, dalam PRU14, Umno-BN mungkin menang lagi tetapi undi majoriti mungkin turun daripada 47% kepada, katakanlah 43% manakala undi Umno-BN akan menjadi semakin tinggi peratusannya daripada satu kaum, iaitu orang Melayu.

Ini akan menyebabkan pemerintah Umno-BN semakin mudah terugut oleh puak pelampau.

Dalam sahutan beliau supaya Umno diselamatkan dengan menukar Najib, Dr Mahathir sememangnya tidak menjelaskan pendekatan-pendekatan Umno di bawah pimpinan baharu akan ambil untuk selamatkan dirinya.

Beliau memberikan gambaran seolah-olah Najib adalah satu-satu masalah Umno dan jika Najib undur, segala yang salah akan diperbetulkan oleh sistem politik itu sendiri.

Akan tetapi, jika kita meneliti realiti politik, maka unjuran di atas bahawa Umno-BN akan semakin ketagih dengan pembelian undi, politik kaum dan agama serta penipuan pilihanraya itu agak munasabah.

Secara “idealistik”nya, jalan ini bercita-cita untuk memastikan Umno tidak akan kalah sampai hari kiamat.

Secara realistiknya, jalan ini cuma boleh menangguhkan kekalahan Umno. Sekalipun jika ia berjaya, asas sokongan Umno-BN menjadi semakin tipis dan sempit setiap kali kekalahannya ditangguhkan. Pemerintahan Umno-BN turut menjadi toksik kepada negara dan rakyat.

Apa jadi apabila kekalahan Umno-BN itu tidak dapat ditangguhkan lagi? Umno-BN mungkin akan kalah begitu teruk sampai terus terhanyut dan terkubur selama-lamanya.

Jalan ke-2:  Kelestarian Umno


Jalan ke-2 ialah untuk Umno-BN melaksanakan reformasi-reformasi institusi di atas yang disarankan oleh Bersih.

Ini akan melemahkan Umno dalam masa jangka pendek dan mungkin mempercepatkan kekalahannya.

Apabila Umno-BN tidak membeli undi, tidak mempermainkan sentimen etnik kaum dan tidak memanipulasikan pilihanraya, mungkinkah ia menang dalam PRU14?

Rakyat mungkin menghayati keinsafannya tetapi keinsafan ini kemungkinan besar tidak akan diterjemahkan sebagai undi sokongan dalam masa yang singkat untuk Umno-BN memenangi PRU14.

Kalau begitu, mengapa Umno harus mengambil risiko tinggi untuk mempercepatkan kekalahannya? Bukan ini kerja membunuh diri?

Jawapannya mudah.

Pertama, tanpa pembelian undi, tanpa politik pelampau, tanpa manipulasi pilihanraya, calon-calon dan jentera Umno-BN terpaksa mempertingkatkan daya saing mereka.

Sekalipun mereka kalah, mereka sudah meletakkan asas untuk pertumbuhan pada esok harinya. Juga, kerana keinsafan mereka akan menawan hati sebahagian pengundi, kekuatan tsunami menjadi lebih kecil dan Umno-BN tidak akan mati kelemasan sungguhpun kalah.

Kedua, apabila sistem politik sudah diubah, maka Umno-BN akan mempunyai peluang yang lebih baik untuk terus hidup sebagai parti pembangkang dan kembali untuk memenangi kuasa selepas kekalahan.

Inilah yang berlaku kepada Kuomintang (KMT) dan Parti Revolusi Institusi (PRI), parti-parti yang memerintah Taiwan dan Mexico masing-masing untuk 55 tahun dan 71 tahun, sebelum kedua-duanya kecundang dalam pilihanraya presiden pada 2000.

KMT memenangi pilihanraya presiden pada 2008 manakala PRI mencapai kemenangan yang sama pada 2012.

Kerana kedua-dua parti ini sudahpun memulakan pendemokrasian sebelum kalah untuk kali pertama, KMT dan PRI tidak hilang keabsahannya dan apabila parti pemerintah baharu menghampakan rakyat, maka pengundi memberi peluang lagi kepada KMT dan PRI.

Golongan Karya (Golkar) pemerintah Oder Baru di Indonesia juga berjaya mereka semula (reinvent) dirinya selepas kejatuhan Presiden Suhato.

Antara lain, kejayaan Golkar itu sebahagiannya berhutang budi kepada konteks dan institusi politik Indonesia pasca 1998 yang kurang memusat dan kurang bersifat “pemenang-ambil-segalanya” (winner-takes-all).

Sistem politik di Malaysia cukup bersifat “pemenang-ambil-segalanya” sekali. Kalau Umno tidak mengubah sistem ini yang hari ini menekan pembangkang hari ini, ia akan sengsara esok sebagai pembangkang dan mungkin tidak berpeluang kembali menerajui pemerintahan.

Bolehkah kekalahan Umno dielakkan?

Perbezaan antara dua jalan di atas itu sebenarnya berpusatkan pada satu soalan: “Mungkinkah kekalahan Umno itu dielakkan?”

Ataupun diungkapkan dengan lebih positif, mungkinkah Umno terus menang pilihanraya demi pilihanraya sampai hari kiamat?

Ini bagaikan tanya: “Mungkinkah manusia berusia panjang untuk hidup sampai hari kiamat?”

Kalau tidak, maka perlulah kita buat persediaan. Lain daripada manusia yang tidak boleh hidup selepas kematian, parti politik boleh menang lagi selepas kalah.

Dalam menolak perjuangan Bersih dan cuma mahukan pengunduran Najib, Dr Mahathir seolah-olah meletakkan pertaruhannya kekalahan Umno itu boleh ditangguhkan untuk selama-lamanya.

Bagi ramai orang, tiada apa yang Dr Mahathir takuti di dunia ini.  Akan tetapi, beranikah beliau menghadapi realiti dengan jujurnya? – TMI

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.