Followers

Sunday, September 6, 2015

Baiah taklik talak 3 amalan sudah ditolakf Oleh Siti Mariah Mahmud


Baiah taklik talak 3 amalan sudah ditolakfAngkatan Wanita Amanah Negara (Awan) sangat memandang serius terhadap isu dan amalan baiah taklik talak 3 yang kini semakin menjadi polemik serta bualan di kalangan rakyat tanpa mengira batasan umur, kaum, agama, latar belakang pendidikan dan sosial.

Ia sama seperti polemik sodomi suatu ketika dahulu, yang akhirnya membawa kesan yang tidak manis kepada sosial rakyat apatah lagi cakap-cakap berkaitan liwat menjadi mainan malah senda gurauan termasuklah di kalangan anak-anak muda di peringkat sekolah rendah dan juga menengah.

Awan mengingatkan kepada semua pihak khususnya pemimpin politik agar melihat impak berlapis dan impak berganda yang akan berlaku akibat daripada tindak tanduk masing-masing. Sangat mudah isu yang berlegar di kalangan partisan politik untuk lekat menguasai bi'ah (persekitaran) kehidupan rakyat apatah lagi bila pihak media turut memainkan peranan aktif dalam merancakkan perbualan mengenainya tanpa had, penuh prejudis dan lebih malang tanpa disiplin ilmu yang benar.

Taklik talak bukanlah satu tajuk daripada premis ilmu yang santai, tetapi penuh disiplin yang perlu diguna pakai.

Ia bukan satu kebanggaan sama ada oleh pihak yang mengadakannya ataupun pihak yang dikenakan. 

Apatah lagi jika isu ini mengheret umum kepada perdebatan tanpa adab, penuh dendam dan bermudah-mudah. Ia sangat mengecewakan. Bahkan langsung tidak bantu menzahirkan keindahan serta kehebatan ilmu dan praktis Islam.

Awan menegaskan isu ini yang sebenarnya meletus pada 2009 ditolak amalannya ramai pihak termasuklah allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz sendiri. Malahan dinafikan Majlis Syura Ulama (MSU) PAS dan dibincangkan secara serius di dalam Jawatankuasa PAS Pusat yang turut mendengar pandangan dan sikap daripada wakil sayap Muslimatnya pada waktu itu.

Jelas amalan ini ditolak dan diminta untuk dihentikan atas hujah ketidakwajaran mengheret institusi perkahwinan ke dalam percaturan politik parti dan kesetiaan seorang suami kepada perjuangannya. Jelas juga akan pendirian wanita yakni seorang isteri tidak sewajarnya menjadi mangsa taruhan dan terdedah kepada apa jua bentuk penganiayaan atas apa jua alasan serta perhitungan politik mana-mana pihak.

Kesannya jelas, semua negeri tidak lagi meneruskan amalan taklik talak itu kecuali Kelantan. Lantas persoalannya, adakah Kelantan tidak prihatin akan hal ini dan kepimpinannya mengambil mudah akan sikap dan pendirian yang dizahirkan MSU PAS, PAS Pusat bahkan allahyarham Nik Aziz sendiri? Sewajarnya itu disiasat. Bahkan banyak lagi persoalan dari situ yang boleh kita majukan, tetapi cukuplah sekadar itu buat masa ini.

Awan juga ingin menasihati pihak yang kelihatannya sangat ghairah dalam mengesahkan runtuhnya sebuah baitul muslim dengan jatuhnya talak melalui taklik talak itu dengan mengingatkan semua berdasarkan Enakmen Keluarga Islam yang terpakai Mahkamah Syariah di seluruh negara, termasuk darihal mentalakkan isteri dengan 3 talak sekali gus, hukumnya hanya jatuh 1 talak saja. Ia juga adalah selari dengan satu hadis Nabi Muhammad yang diriwayatkan Ibnu Abbas, mafhumnya: "Talak tiga sekali gus adalah berlaku satu talak".

Sehubungan itu, nasihat kami tanganilah isu ini dengan hikmah dan fathonah sesuai dengan fitrah agama ini yang senantiasa menunjukkan jalan keluar kepada setiap masalah rumit yang ada. Sekali gus untuk ini, Awan ingin menegur ketua hakim Mahkamah Syariah Kelantan yang membuat "pre judgement" terhadap isu ini sebelum kes terbabit dirujuk ke hadapannya. Ia adalah suatu yang amat malang, apatah lagi pada ketika kerajaan Kelantan sendiri sedang usaha mempromosikan pelaksanaan hudud dan seterusnya keadilan undang-undang Islam.

Di satu sudut, Awan turut memandang isu ini juga sebagai rahmat daripada Allah buat umat dan khususnya kepada para penggerak amanah negara. Ini justeru kerana ia secara tidak langsung membantu kami menjelaskan akan kewajaran mewujudkan wadah baru politik Islam yang lebih telus, komited dan konsisten untuk menzahirkan Islam itu agama yang membawa rahmat dan sebaliknya bukannya agama yang memberi mudarat kepada setiap entiti yang membentuk kekuatannya.

Awan mendesak Majlis Fatwa negara ini segera bersidang dan memberikan penegasan terhadap hal yang berkaitan hukum hakam Islam agar henti dipolemikkan. Islam sewajarnya dilihat upaya menyelesaikan masalah ummah bukannya menjadi pencetus masalah di kalangan umat.-TMI

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.