Orang Melayu bukan bangsat tanpa UMNO tetapi UMNO
yang bangsat kerana mengkhianati orang Melayu dan negara Malaysia sejak
sekian lama ini.
Saya merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gerik di Dewan Serbaguna Gerik pada 16 Ogos 2016, sebagaimana dilaporkan oleh Malaysiakini:
“Tiada Umno berkuasa terbangsatlah bangsa Melayu di bumi ini. Saya sebagai presiden akan lakukan supaya Umno dan Barisan Nasional terus berkuasa di bumi bertuah ini.”
Sebelum membuat kenyataan yang begitu bebal, Najib seharusnya cermin diri dahulu. Apakah bukan Najib sendiri yang memalukan bangsa dan negara dengan menjadikan Malaysia sebagai bahan jenaka antarabangsa gara-gara skandal 1MDB dan sumbangan “derma” RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya sendiri?
Najib menghina sejarah ketamadunan Melayu
Pun begitu, kenyataan Najib juga sekaligus menidakkan kemuliaan bangsa Melayu Nusantara yang sudah lama bertamadun. Tidakkah beliau sedar bahawa UMNO yang lahir pada tahun 1946 hanya berusia kurang daripada 70 tahun, sedangkan tamadun Melayu di rantau ini telah wujud sejak ratusan, kalaupun bukan ribuan tahun? Apakah selama-lama ini Melayu menjadi bangsa bangsat kerana tidak ada UMNO?
Apakah segala ketamadunan termasuk seni bina bangunan, teknologi pelayaran, kesusasteraan, kebudayaan dan sebagainya yang dibina berkurun lama sebelum lahirnya UMNO ini dilakukan oleh satu bangsa yang bangsat?
Bagaimana pula dengan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dan rakyat Melayu di Sarawak, apabila mereka lantang menolak kehadiran UMNO di negeri itu? Adakah mereka juga Melayu bangsat?
Umno yang sebenarnya merugikan Melayu
Walaupun banyak mana sumbangan dan jasa UMNO pada suatu ketika dahulu, ia tidak dapat dibandingkan dengan kerosakan yang mereka telah timpakan kepada orang Melayu, khususnya sejak dua, tiga dekad yang lalu.
UMNO yang ditubuhkan sebagai gerakan massa yang berjuang untuk kemerdekaan kini sudah menjadi parti yang sinonim dengan rasuah dan kronisme.
Sudah pasti, rakyat Malaysia tidak akan melupakan bagaimana UMNO, atas nama kepentingan Melayu, telah menyebabkan kerugian berpuluh bilion ringgit melalui penyelewengan dan pengkhianatan seperti yang berlaku dalam skandal Bank Bumiputera pada awal tahun 1980an, skandal Forex Bank Negara pada awal tahun 1990an, sehingga ke skandal terbesar dalam sejarah Malaysia, iaitu syarikat 1MDB yang sudah melenyapkan puluhan bilion ringgit.
Malah, apa-apa jasa UMNO yang tinggal jugalah yang kini sedang dimusnahkan oleh kepimpinan Najib.
Misalnya, Felda yang digerakkan oleh ayahandanya sendiri, Tun Abdul Razak, sebagai insiatif reformasi tanah yang berjaya menempatkan semula ratusan ribu orang Melayu luar bandar akhirnya kini goyah apabila harga saham Felda Global Ventures yang digembar-gemburkan sebagai penyenaraian kedua terbesar dunia selepas Facebook sudah merudum ke tahap RM1.52 berbanding harga penyenaraiannya, iaitu RM4.55. Ini bersamaan dengan kemerosotan sebanyak 67 peratus.
Demikian juga dengan Lembaga Tabung Haji yang ditubuhkan untuk memudahcarakan pengurusan ibadah Haji orang Islam di negara ini. Kini, dana pelaburan pak cik dan opah kita untuk naik haji pun tidak selamat di tangan Najib apabila secara senyap-senyap digunakan untuk membantu menyelamatkan 1MDB.
Begitu juga dengan dakwaan media antarabangsa baru-baru ini terhadap penyelewengan dalam pembelian aset oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) di luar negara. Siapakah lagi yang bertanggungjawab, jika bukan UMNO yang secara langsung mengawal pengurusan tertinggi MARA dengan enam daripada 11 orang Ahli Majlis MARA?
Jelas, retorik UMNO untuk membela orang Melayu hanya omong-omong kosong, apabila merekalah sebenarnya yang merugikan bangsa dan negara.
Siapakah sebenarnya yang bangsat?
Najib seharusnya berdepan dengan hakikat bahawa kerajaan beliau telah gagal dalam tadbir urus negara kita, dengan nilai matawang ringgi yang kian menjunam dan krisis politik yang sedang melanda UMNO ekoran pemecatan beberapa orang menteri kanan termasuk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga merupakan Timbalan Presiden UMNO.
Pada masa sama, birokrat Melayu yang selama ini terhormat dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab mereka juga kini menjadi mangsa kuasa kuku besi Eksekutif, apabila pegawai-pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diugut dan digertak melalui siasatan dan pemindahan hanya kerana mereka menyiasat dan membongkarkan penyelewengan 1MDB dan “pendermaan” luar biasa sebanyak RM2.6 billion ke dalam akaun peribadi Najib.
Justeru, saya amat pasti orang Melayu bukan bangsat tanpa UMNO, tetapi sebenarnya UMNO yang bangsat kerana mengkhianati orang Melayu dan negara Malaysia sejak sekian lama ini.
Zairil Khir Johari adalah Ahli Parlimen Bukit Bendera dan Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP.
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT
cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga.
Artikel yang
disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai
kaitan dengan FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.