Followers

Wednesday, August 5, 2015

Surat bual dengan Dr Mahathir Mohamad


SURAT TERBUKA

Ybhg Tun Dr Mahathir Mohamad,
Yayasan Perdana,
Putrajaya, Sepang
Wilayah Persekutuan.

Assalamualaikum wbh wbt.


Saya tidak tahu persis ketika ini apa yang sedang Tun lakukan. Apakah sedang melakukan senaman ringan atau pun mengambil sarapan pagi, sedang itu cuba mengarapkan idea untuk sebuah tulisan dalam blog daripada nota-nota yang dicatat hujung lewat malam tadi.

Yang pastinya Tun tetap kekal dan cekal dengan kerja rutin harian. Kecergasan Tun dapat dilihat daripada butir cakap, penulisan dan kenyataan-kenyataan akhabar Tun yang penuh sinikal. Kalau Tun uzur dan kurang sihat badan, tertanda apabila blog Tun tidak dikemaskinikan dan tidak ada kenyataan akhbar dan majlis-majlis sosial dan politik yang hadiri.


Tun surat yang saya namakan "Berbual Dengan Tun Mahathir" ini, tidak membawa maksud besar dan gah daripada apa yang tersarang diminda Tun mengenai masa depan negara. Sebagai seorang negarawan Tun terus berfikir dan memerahkan otak macam mana untuk memajukan negara, bangsa dan agama. Semua kita terikat dengan tanggungjawab itu yang teramanah ke atas batu jelama kita semua. Nampaknya Tun rajin dan istiqamah dalam berusaha membangunkan negara meskipun sudah tidak mempunyai kuasa eksekutif siasah, hampir 20 tahun lampau.

Istilah pensiun langsung tidak ada dalam kamus Tun demi bangsa dan negara. Saya percaya komitmen Tun kepada nasib bangsa dan negara jauh lebih tinggi dan besar daripada orang lain. Tun akan berhenti bercakap soal negara bangsa apabila paku terakhir terpacak di keranda Tun. Maaf.

Inilah watak dan saksiah seorang yang "budiman" wajar dipuji dan dibanggakan. Tun bekerja untuk negara bangsa tanpa pamrih tetapi ada kalanya kerja-kerja Tun songsang kalak juga. Itu perkara biasa, bak kata orang 'gading mana tidak retak, bumi mana tidak ditimpa hujan'. Tun adalah mahhluk baharu yang tidak terelak dari melakukan kesilapan.

Saya memahami juga dengan kritikan bertubi-tubi Tun kepada YAB Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, ianya dibuat adalah demi negara. Kerana Tun melihat apa dilakukan Datuk Seri Najib boleh merosakkan negara dan menjejaskan imej dan maruah negara serta mencarikkan legasi yang dibina oleh Tun. Tun telah menjatuhkan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang Tun sendiri lantik kerana Tun Abdullah dilihat gagal dan tidak mampu meneruskan kesenimbungan Tun membena negara. Tun seakan tidak mempercayai kepada kemampuan dan kehambaan Tun Abdullah dalam membangun negara dan bangsa.

Walaupun ada perkara lain yang agak personal kenapa Tun marahkan Tun Abdullah, tetapi itulah yang dijaja dan dijual kepada umum, kenapa Tun tidak senang dengan Tun Abdullah. Persepsi awam meletakkan cemuhan Tun kepada Tun Abdullah kerana kelemahan Tun Abdullah tanpa sedikit pun orang menyalahkan kepada sikap ego Tun yang berasa cerdik sepanjang masa.

Jadi tiada pilihan lain, Tun berkerja siang malam dan seolah-olah melupai yang Tun Abdullah naik kerana jaminan dan restu Tun juga. Dalam proses Tun hendak menjatuhkan Tun Abdullah saya melihat satu tindakan yang bertentangan dengan sikap dan fiil Tun sebenarnya. Tun bukan sahaja melakukan tindakan secara fizikal, mengkritik dan tidak memberi sokongan tetapi menekan jiwa Tun Abdullah dengan bertindak keluar dari UMNO bersama Toh Siti Hasmah sekali. Tindakan ini adalah paling parah.

Tindakan Tun itu semata-mata kerana tidak senang Tun kepada Tun Abdullah. Kerana selepas itu apabila Datuk Seri Najib mengambil alih kepimpinan Tun dengan senang hati dan "bergumbira" pula Tun telah kembali semula ke dalam UMNO. Demikian sekali sinisnya Tun kepada Tun Abdullah.

Orang melihat musim panas Tun dengan pentadbiran Datuk Seri Najib akan sampai ke petang membawa ke malam. Tetapi rupa-rupanya tidak, berlaku hujan ribut di tengah hari. Tun melalui hubungan putih hitam, kelat masam dengan Datuk Seri Najib. Hanya beberapa waktu sahaja Tun dapat bersenang, berbulan madu dengan Datuk Seri Najib. Penyakit yang menimpa Tun semasa Tun Abdullah jadi PM, turut menimpa ke atas Datuk Seri Najib. Tun mula mengkritik Datuk Seri Najib dan turut memberi tekanan jiwa ke atasnya pertama kali apabila Tun menarik sokongan kepada Datuk Seri Najib.

Ada alasan besar dan konkrit kenapa Tun mengkritik Datuk Seri Najib. Ia berpunca daripada kesalahan dan salah lakukan Datuk Seri Najib dalam mengurus negara. Penyalahgunaan kuasa sebagai perdana menteri dilakukan oleh Datuk Seri Najib adalah faktor besar kenapa Tun tidak senang dengan Datuk Seri Najib. Ini termasuklah isu kerugian (hilang) wang 1MDB serta isu-isu lain termasuknya juga ulah dan sikap isteri Datuk Seri Najib yang menjolok mata Tun serta pembunuhan Altantuya.

Tun mungkin mengira kritikan dan serangan terhadap Datuk Seri Najib akan mencapai kemenangan seperti mana Tun lakukan kepada Tun Abdullah. Saya ada terdengar Tun memberi kata dua kepada Datuk Seri Najib, tetapi Datuk Seri Najib tidak mempedulikannya. Pendeknya telah habis usaha Tun untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib kunonya demi negara dan bangsa, tetapi hampa.

Datuk Seri Najib tidak sedia berundur dan melepaskan jawatan kepada Tan Sri Muhyiddin seperti mana Tun sarankan. Istidraj sebaliknya berlaku bila mana Tan Sri Muhyiddin terpaksa meninggalkan panggung di Putrajaya dan hidup tanpa jawatan apabila Datuk Seri Najib menyingikirnya sebagai timbalan perdana menteri 28 Julai lalu. Ia barangkali mengejutkan Tun dan pemecatan Tan Sri Muhyiddin itu adalah suatu tragedi yang tidak terbaca oleh Tun. Tun di checkmate oleh Datuk Seri Najib.

Tun kena bertanggungjawab atas nasib malang yang menimpa Tan Sri Muhyiddin. Saya percaya kalau bukan kerana nasihat dan formula berstrategi yang dibentang oleh Tun, Tan Sri Muhyiddin tidak akan memberanikan diri menyerang Datuk Seri Najib secara terbuka. Sokongan Tun di belakanglah menyebabkan Tan Sri Muhyiddin berani.

Hari ini, atau tepat pada Selasa lalu riwayat Tan Sri Muhyddin di Putrajaya sudah berakhir. Penyingkiran Tan Sri Muhyiddin oleh Datuk Seri Najib lebih drastik daripada apa yang Tun lakukan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim 17 tahun lalu. Apakah Tun pernah terfikir yang Datuk Seri Najib akan menciplat strategi Tun?

Kalau iya, ternyata Datuk Seri Najib lebih berani dan kemah tindakannya bagi menjamin keadaan huruhara yang pernah dihadapi Tun pada tahun 1998 hingga 2006 itu tidak berlaku. Di sini tampaknya Datuk Seri Najib yang dilihat manja tidak mempunyai "nekad politik" lebih berjaya daripada Tun. Siapa menyangka, cempedak dah jadi nangka.

Kenapa saya berkata Datuk Seri Najib lebih berjaya, kerana tindakan diambil memecat timbalan presiden itu tidak mewujudkan suasana sepertimana dialami Tun sebelum ini. Tan Sri Muhyiddin tampaknya tidak mahu berbuat apa-apa dan reda dengan apa yang berlaku. Di samping itu juga beliau memberi jaminan akan tetap setia bersama parti. Bagi Tan Sri Muhyiddin beliau mengambil tindakan itu kerana faham dengan kapasiti yang ada kepadanya.

Beliau tidak mempunyai pengaruh yang besar dan meluas dalam Umno untuk bangkit menentang Datuk Seri Najib seperti mana Datuk Seri Anwar bangkit menerusi reformasi menentang dan mengasak Tun. Kelemahan itu menjadikan Tan Sri Muhyiddin mengambil sikap tawaqus dengan keadaan dan tidak melakukan sesuatu. Bagi saya nasib Tan Sri Muhyddin, walaupun beliau menunjukkan kesetiaan kepada parti tetapi dia sudah finish.

Peluangnya untuk menduduki kembali jawatan itu sudah tidak ada harapan lagi. Datuk Seri Najib sudah mengepong Tan Sri Muhyiddin dengan seluruh panglima perangnya. Tertakdir beliau dapat mempertahankan kedudukannya dalam pemilihan UMNO tahun 2018 atau 2019, (yang pasti akan diadakan selepas pilihan raya umum, dan Datuk Seri Najib masih menjadi PM), apakah Datuk Seri Najib akan melantik Tan Sri Muhyiddin sebagai timbalannya? Ke mana Datuk Seri Najib hendak tohok Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi? Datuk Dr Ahmad Zahid adalah seorang kawan yang setiakawan, begitulah kata Datuk Seri Najib.

Dari congakan politik saya kerjaya politik Tan Sri Muhyiddin secara tertib dalam UMNO sudah pun habis.

Mengira itu, apakah Tun tidak akan berbuat sesuatu untuk Tan Sri Muhyiddin dan juga sebagai mencapai cita-cita Tun yang dianggap sebagai perjuangan belum berakhir, sebelum tutup mata. Apakah Tun akan mengangkat bendera putih kepada Datuk Seri Najib Razak? Saya tidak fikir begitu apabila mengenali dan membaca sejarah perjuangan Dr Mahathir Mohamad.

Saya ada cadangan untuk tidak menjadikan Tun "mati kutu" dengan apa yang berlaku ini. Cadangan ini mungkin tidak munasabah dan amat mustahil untuk dilakukan. Tetapi dengan mengambil kira filsafah dalam politik itu tidak ada sesuatu yang mustahil Tun boleh melakukannya. Lagi pun "keagahan" Datuk Seri Najib yang bermaharajalela dalam negara ini perlu dibendung. Amukan negara yang menggunakan kuasanya dengan rakus harus dihentikan. Laksana Sultan Melaka yang berdepan dengan amukan Jebat, maka Tuah yang disembunyikan harus dibawa ke muka.

Bagi kejayaan ini saya cadangkan Tun berkolobrasi dengan Datuk Seri Anwar untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib. Saya lihat kekuatan yang ada kepada Tun menerusi UMNO tidak cukup untuk menyingkirkan Datuk Seri Najib. Saya setuju dalam hal ini dengan pandangan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, bahawa Tun tidak mempunyai kekuatan (power) untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib. Sebelum ini Tun merancang dan mencadangkan agar Datuk Seri Najib dijatuhkan menerusi komplot undi tidak percaya kepada Datuk Seri Najib di parlimen.

Saya yakin hasrat dan cita-cita Tun untuk selamatkan Malaysia daripada terus diganyang dan digasak oleh Datuk Seri Najib dengan pelbagai salah laku penyelewengan dan perbuatan rendah moral, tidak akan berjaya kalau Tun tidak berkolobrasi dengan Datuk Seri Anwar. Tun perlu melihat kembali kepada kejayaan dan pencapaian Tun selama ini bukankah kerana berkerjasama atau Datuk Seri Anwar yang menjadi timbalan Tun?

UMNO berada dipuncak semasa Tun menjadi Presiden yang berkolobrasi dengan Datuk Seri Anwar menjadi timbalan presiden. Ketika itu UMNO dan BN benar-benar menjadi sebuah kerajaan yang hebat dan dapat menyumbangkan kemakmuran kepada negara. Tidak mungkin kalau Tun tidak berkolorbrasi dengan Datuk Seri Anwar Tun mencapai kedudukan itu dan UMNO sendiri berada dalam keadaan mantap dan dihormati.

Pengaruh Datuk Seri Anwar masih ada. Walaupun beliau ketika ini dikurung tetapi semangat juangnya, masih dihayati oleh para penyokongnya. Penyokongnya bukan sedikit. Kelebihan yang ada kepada Datuk Seri Anwar ini dapat dihidu oleh Datuk Seri Najib Razak sebab itulah Datuk Seri Najib sedia melantik Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalannya. Perlantikan itu adalah penumpangan pengaruh Datuk Seri Ahmad Zahid oleh Datuk Seri Najib bukan kerana Datuk Seri Zahid memiliki keistimewaan dan kehandalan sebagai seorang pemimpin.

Percayalah Tun, Datuk Seri Najib tidak dapat dijatuhkan dari dalam UMNO. Dia akan berjaya dijatuhkan dari luar UMNO. Mekanisme tindakan dari luar UMNO ialah Tun perlu berkolobrasi dengan pembangkang dan menggunakan tunggul-tunggul pengaruh dan kekuatan yang dimilik Datuk Seri Anwar Ibrhaim. Disaat Jebat mengamuk, bawalah pulang Tuah ke dalam gelanggang, nescaya negeri ini kembali aman.

Hanya dengan cara itu sahaja Tun akan dapat memberesi kerja-kerja Tun sekiranya di dalam hati Tun kini keadaan Datuk Seri Najib sudah amat teruk dan tidak berfaedah lagi.

Sekian wasalam.
Salam hormat
MOHD SAYUTI OMAR.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.