Followers

Wednesday, August 5, 2015

SKMM cari pemilik akaun FB Sharifah Sofia


CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meminta seorang pemilik akaun Facebook bernama Sharifah Sofia Syed Rashid untuk hadir ke SKMM bagi membantu proses siasatan berhubung penyebaran maklumat-maklumat yang belum ditentukan kesahihannya dalam akaun Facebooknya.

Ketua Bahagian Pemantauan dan Penguatkuasaan SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin, berkata hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati wujud akaun ‎Facebook menggunakan profil Sharifah Sofia Syed Rashid yang digunakan untuk penyebaran maklumat-maklumat yang belum ditentukan kesahihannya.

Katanya, analisis yang dijalankan turut mendapati, pemilik berkenaan juga disyaki menggunakan pelbagai profil seperti Sharifah dan Kapten Sharifah untuk tujuan yang sama.

Menurutnya, maklumat-maklumat yang disebarkan dalam akaun FB itu bukan sahaja palsu bahkan berupaya menjejaskan ketenteraman awam.

"Justeru, MCMC meminta mana-mana pengguna media sosial yang mempunyai maklumat mengenai pemilik akaun FB itu untuk tampil membantu siasatan.

"Mana-mana pihak yang cuba menyebarkan maklumat-maklumat palsu di media sosial boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 211 atau 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," tegasnya.

Pengguna media sosial yang mendapati akaun mereka disalahgunakan untuk membuka akaun palsu adalah dinasihatkan untuk melaporkan perkara itu kepada pihak FB agar akaun palsu mereka itu boleh ditutup.

Mereka juga boleh melaporkan perkara itu kepada MCMC di e-mel aduanskmm@cmc.gov.my


Posted by Jeebond BLM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.