Followers

Wednesday, August 5, 2015

Serbuan polis boleh jejaskan integriti SPRM ??





SHAH ALAM - Yayasan Anti Rasuah Malaysia hari ini melahirkan kebimbangan terhadap tindakan pihak berkuasa yang menyerbu Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Presiden yayasan itu, Dr Ahmad Satar Ali Merican ketika diminta mengulas mengenai serbuan tersebut berkata, tindakan pihak berkuasa boleh menjejaskan integriti pegawai siasatan SPRM.

“Kita tidak mahu pegawai-pegawai (SPRM) kejadian ini menjejaskan siasatan. Kita tidak mahu pegawai-pegawai ini risau untuk melakukan siasatan secara telus,” katanya kepada dihubungi Sinar Online, hari ini.

Pejabat Timbalan Pendakwa Raya SPRM dilaporkan diserbu sepasukan polis pada Sabtu lalu.

Pegawai berkenaan dipinjamkan kepada SPRM daripada Jabatan Peguam Negara diambil keterangan semalam‎ berhubung kes ‎berkait 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Menurut sumber, serbuan tersebut dilakukan bertujuan untuk mengambil dokumen berkaitan siasatan 1MDB.

Memetik sebuah laporan portal tempatan, pihak berkuasa menghabiskan masa selama 2 jam melakukan serbuan ke pejabat pegawai berkenaan.

Mengulas lanjut, kata Ahmad Satar, tidak ada keperluan bagi pihak berkuasa untuk membuat serbuan ke atas pegawai tersebut.

“Dia kakitangan kerajaan yang dilantik untuk menduduki posisi tersebut. Dia bukan mahu lari ke mana-mana sebab dia kakitangan kerajaan.

“Kalau pegawai didapati tidak jujur laksanakan tugas-tugas mereka, mereka perlu disiasat, tetapi dengan cara berhemah, tidak perlu buat serbuan,” katanya lagi.

Mengulas mengenai siasatan 1MDB pula, pada pendapatnya, siasatan terhadap badan pelaburan tersebut boleh diselesaikan dengan cepat dan kemas sekiranya pihak yang terlibat tampil memberikan kerjasama baik.

“Jika orang-orang yang diberi amanah tampil ke hadapan beri keterangan, maka isu ini akan cepat diselesaikan.

“Semakin lama ia dibiarkan, semakin banyak spekulasi dan fitnah timbul. Jika beri kerjasama, ia dapat mengelakkan fitnah dan menjimatkan masa siasatan,” jelasnya lagi.

- sharian

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.