Gagal
membuktikan kata-katanya untuk mendedahkan siapakah pemimpin UMNO yang
dimaksudkannya sedang berusaha menggulingkan kerajaan melalui undi tidak
percaya di Parlimen, Zahid Hamidi akhirnya berdalih dengan mengatakan
telah menyerahkan segala maklumat berkaitan kepada pihak polis.
Kenapa serah kepada polis? Apakah mengusulkan undi tak percaya di Parlimen suatu jenayah?
Apa yang polis boleh lakukan sedangkan ia adalah urusan Ahli-Ahli Parlimen yang dibenarkan oleh perlembagaan?
Kalau jenayah, adakah menjatuhkan kerajaan Perak pada 2009 dahulu yang diketuai Najib Razak juga merupakan jenayah?
Begitu
juga di Sabah sebelum ini di mana beberapa kali pertukaran kerajaan
berlaku melalui aksi lompat-melompat wakil rakyatnya, adalah ia turut
merupakan jenayah sama?
Pada
mulanya memang ramai yang bangga apabila Zahid dilantik sebagai
Timbalan Perdana Menteri. Beliau adalah pemimpin Perak pertama dilantik
ke jawatan itu. Ditambah dengan kedudukan Najib yang semakin lemah dan
banyak masalah, ada yang mula berangan dan berdoa agar Zahid juga
berjaya menduduki kerusi Perdana Menteri akhirnya.
Tetapi
belum pun sampai sebulan, sudah ada yang malu mengaku berasal dari
Perak. Tindakan Zahid yang gagal meletakkan dirinya sebagai Timbalan
Perdana Menteri dan seolah-olah masih merasakan dirinya Ketua Pemuda
UMNO atau Setiausaha Politik kepada Najib, membuatkan ramai yang kecewa
dengan penampilannya.
Caranya
menangani isu undi tak percaya yang dikaitkan dengan usaha
menggulingkan kerajaan yang didedahkannya sendiri, menjadikan wataknya
menjadi perbualan di mana-mana.
Sudahlah
gagal mendedahkan siapa pemimpin yang dimaksudkannya itu, beliau juga
dilihat "propa" apabila kata-katanya bahawa pemimpin tersebut akan
berjumpa Perdana Menteri pada jam 6 petang Ahad lalu, turut tidak menjadi kenyataan.
Dengan
selamba Zahid kemudiannya berkata, pemimpin terbabit membatalkan
pertemuannya dengan Najib kerana "ramai wartawan menunggu di pintu masuk
Seri Perdana."
Akhirnya
wartawan pun turut diletakkan beban kesalahan atas kegagalan
membuktikan kebenaran dakwaannya itu. Bukankah beliau sendiri yang
mengatakan pertemuan itu akan diadakan pada hari Ahad jam 6 petang?
Adakah
Zahid sebenarnya mengharapkan wartawan akan pergi bercuti atau
bersiar-siar di KLCC apabila beliau mendedahkan mengenai pertemuan itu?
Bukankah kerja wartawan mengejar berita?
Setelah
gagal mendedahkan siapakah pemimpin tersebut dan pertemuan dengan Najib
itu pula tidak menjadi kenyataan, Zahid kemudian berkata, segala info
mengenai perkara itu sudah diserahkan kepada pihak polis dan Peguam
Negara untuk tindakan seterusnya?
Kenapa
berselindung di sebalik polis dan Peguam Negara? Bukankah ketika
mendedahkannya pada Sabtu lalu, Zahid berkata, sebagai Timbalan Perdana
Menteri, beliau akan berusaha menghalang undi tidak percaya itu daripada
menjadi kenyataan?
Ini
adalah isu politik dan ia seharusnya dihadapi secara politik. Alih-alih
serah pada polis akhirnya. Sedarkah Zahid bahawa undi tidak percaya
sama ada di Parlimen atau pun dengan membuktikan adanya majoriti lalu
mengadap Agong, adalah dibenarkan dalam perlembagaan dan ia bukanlah
plot dalam bentuk kekerasan atau angkat senjata.
Ahli
Parlimen diberikan imuniiti untuk menukar kerajaan melalui kelebihan
jumlah kerusi yang dimiliki berdasarkan politik itu sendiri adalah "game
of numbers".
Ada PhD takkan tak faham mengenainya?
Anwar Ibrahim sendiri pernah berusaha melakukannya sebelum ini melalui "Projek 16 September" sehingga Ahli-Ahli Parlimen BN dilarikan ke Taiwan untuk mengelakannya daripada menjadi kenyataan.
Kenapa
ketika itu Zahid tidak bersuara atau mahu membuat laporan polis? Adakah
sebab Anwar, bekas "bosnya" yang melakukannya, maka ia tidak pula
dianggap salah?
Ketua
Polis Negara, Khalid Abu Bakar sendiri sebelum ini ada berkata,
pihaknya tidak mencampuri urusan berkaitan parti, sebaliknya hanya
melihat jika usaha itu bertentangan dengan perlembagaan saja.
Habis, buat apa Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri mahu membebankan polis lagi?
Soalnya,
di mana letaknya mengumpul "nombor" di kalangan Ahli-Ahli Parlimen ini
suatu kesalahan? Selain PKR dan DAP sudah sedia menyatakan sokongan,
terbaru ini Pas juga sudah mulai senada. Barangkali ia mungkin
disebabkan Pas turut tertipu dengan isu derma RM2,600 juta sebelum ini
sehingga Haji Hadi Awang dan Dr Haron Din pada mulanya tidak percaya
Najib sanggup menerima wang sebesar itu ke dalam akaun peribadinya.
Belum
sampai sebulan menduduki kerusi Timbalan Perdana Menteri dan hanya
melalui isu undi tak percaya yang secara jelas menampakkan
kedangkalannya, sudah ramai yang menganggap penampilan Zahid sekarang
ini hanyalah ibarat "penglipur lara" dalam kerajaan yang tempat itu
sebelum ini dimonopoli oleh Hasan Malek yang sudah tiada dalam kabinet
dan Ahmad Maslan sudah kurang merapunya sejak dipindahkan ke kementerian
lain.
Apa lagi hiburan daripada Zahid selepas ini agaknya? (SH 19/08/2015)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.