Followers

Friday, August 14, 2015

PM umum pelan selia dana politik demi integriti

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak hari ini mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP).

Menurutnya, jawatankuasa itu akan merangka satu pelan pembiayaan politik berintegriti yang komprehensif dan inklusif, khususnya untuk menentukan proses konsultatif di semua peringkat dan mengambil kira pandangan semua pihak.

"Pelan ini yang akan menangani isu pembiayaan politik adalah penting memandangkan walaupun perkara ini pernah dibangkitkan oleh saya sendiri dengan beberapa pihak lain sejak 2009 lalu, namun ia tidak mendapat sambutan.

"Selain daripada itu, pada masa ini tidak terdapat peraturan mengenai pembiayaan politik yang boleh menentukan sesuatu itu adalah salah atau tidak, walaupun terdapat beberapa peraturan mengenai perbelanjaan pilihanraya," kata Najib dalam satu sidang akhbar hari ini.

Perdana menteri berkata, JKNMPP akan menghasilkan pelan tindakan pembiayaan politik berintegriti melalui pembaharuan dan penambahbaikan undang-undang yang diperlukan untuk disediakan dalam tempoh setahun, seterusnya dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

"Pelan ini diharapkan akan meningkatkan keyakinan bukan sahaja kepada ahli parti-parti politik, malahan rakyat dan generasi yang akan datang," tambahnya.

Najib berkata, terdapat keperluan mendesak untuk mengawal selia pembiayaan politik bagi memastikan kebertanggungjawaban dan ketelusan demi mewujudkan amalan politik yang sihat.

JKNMPP akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Paul Low manakala seorang lagi menteri di JPM Datuk Seri Idris Jala sebagai timbalannya.

Institut Integriti Malaysia (IIM) akan bertindak sebagai Pusat Rujukan dan Rundingcara JKNMPP dengan bantuan sekretariat, dan peruntukan disediakan oleh Bahagian Integriti dan Tadbir Urus (BITU) JPM.

JKNMPP ini akan dianggotai oleh wakil parti politik, tokoh masyarakat, ahli akademik, pemikir, wakil agensi-agensi kerajaan yang berkaitan, wakil sektor swasta, wakil pertubuhan masyarakat sivil dan pihak-pihak berkepentingan, termasuk generasi muda.

"JKNMPP akan menimbang semua aspek peraturan pembiayaan politik termasuk perubahan institusi, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan baru," tambahnya.

Menurut Najib lagi, JKNMPP akan menjadi penasihat kepada kerajaan dalam hal pembiayaan politik berintegriti.

"Jawatankuasa ini juga akan menyediakan forum untuk ahli-ahlinya mengemukakan buah fikiran bagi menentukan mekanisme dan model pembiayaan politik yang berintegriti.

"Jawatankuasa ini juga akan menyelia usaha dialog konsultatif dengan segenap lapisan masyarakat di seluruh negara.

"Proses konsultatif akan berdasarkan amalan terbaik serantau dan sedunia," tambahnya.




Malaysiakini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.