Followers

Tuesday, August 25, 2015

Pas Selangor Cabar GHB Kosong Kerusi



PAS Selangor tidak akan berkompromi dengan anggota Gerakan Harapan Baru (GHB) jika mereka mahu turut bertanding di kawasan yang ditandingi calon PAS dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Kalau mereka anggap PAS akan beri laluan dalam pilihan raya umum akan datang, PAS tidak akan beri laluan sebab itu kerusi kita," kata Setiausaha PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman, lapor Bernama.

Katanya jika anggota GHB bercadang untuk bertanding dalam pilihan raya, adalah lebih baik mereka bertanding di kerusi yang tidak ditandingi calon PAS.

"30 tahun akan datang sejarah akan mengingati GHB sebagai parti yang memenangkan BN dalam PRU akan datang dan inilah faktor kekalahan kalau berlaku pertandingan tiga penjuru," kata Mohd Khairuddin dalam sidang media semalam.

Ditanya mengapa PAS tidak memecat serta-merta anggota yang meletak jawatan dan menyertai GHB, Mohd Khairuddin berkata Perlembagaan PAS menyebut bahawa keanggotaan akan terlucut dengan sendirinya apabila mana-mana anggota menyertai parti lain.

"Jika gentleman kosongkan kerusi (bagi ADUN dan anggota Parlimen yang berhasrat sertai GHB), ...biar rakyat tentukan," katanya sambil mendakwa anggota GHB seolah-olah bertindak seperti jurucakap kepada DAP yang menentang hasrat PAS untuk melaksanakan hukum Hudud di Kelantan.

Kelmarin, sebanyak 18 AJK PAS kawasan Kelana Jaya yang dipimpin Yang Dipertuanya Izham Hashim meletak jawatan bagi menyertai GHB. Sebelum ini beberapa pemimpin PAS kawasan Shah Alam, Kota Raja, Klang dan Kapar juga telah meletak jawatan.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.