Followers

Thursday, August 6, 2015

'Malaikat’ dari langit mana derma RM2.6 bilion?




BERITA yang disampaikan stesen televisyen mulai malam tadi hingga pagi ini menyebutkan bahawa SPRM mengesahkan akaun berjumlah RM2.6 bilion milik Najib Tun Abdul Razak bukan dari 1MDB tapi dari penderma. 

Mmmmm… ‘malaikat’ (penderma) dari langit mana ye yang begitu sangat murah hati menderma sampai RM2.6 bilion.

Sehingga bila agaknya rakyat Malaysia akan disogokkan dengan kenyataan-kenyataan yang sangat meragukan dan tak masuk akal?

Bingai dan dungu sangatkah semua rakyat Malaysia nih sehingga tidak mampu membaca apa yang tersirat di sebalik wayang yang sedang dimainkan ketika ini?

SPRM sudah diterajui oleh orang baru yang baru dilantik oleh Perdana Menteri Datuk Sri Najib Razak.

Seluruh Kabinet baru yang dilantik oleh sang Perdana Menteri ketika ini adalah mekanisme atau jentera perang (konspirasi) mempertahankan Najib dari sebarang kaitan yang boleh membawa imej negatif khususnya mengenai sekandal 1MDB. 

Pelaksanaan undang-undang, Rukun Negara seolah-olah sudah tidak berfungsi bahkan seperti tidak wujud lagi.

Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang, Kesopanan dan Kesusilaan, semuanya sudah dinjak-injak di bawah telapak kaki mereka yang merasa sangat berkuasa dan berkedudukan.

Bahkan Majlis Tertinggi dan seluruh anggota parti yang menjadi sandaran hampir seluruh bangsa Melayu di Negara ini seolah-olah sudah menukar kulit untuk menjadi zombie yang tidak mampu mengeluarkan apa-apa pandangan selain mendengar dan menerima arahan dari kuasa tertinggi parti yang juga sebagai Perdana Menteri.

MasyaALLAH, malapetaka apa sebenarnya yang sedang menimpa negaraku yang tercinta ini?

Apa yang disebut oleh suatu pihak bahawa kononnya ada konspirasi menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat sebenarnya tidak pernah wujud.

Skandal 1MDB yang dikaitkan dengan Perdana Menteri Datuk Sri Najib itulah yang wujud sebenarnya.

Benar atau tidak, maka pasukan penyiasat dari badan-badan yang diamanahkan dan dipertanggungjawabkan sebagai mewakili suara rakyat seluruhnya mulai menjalankan siasatannya.

Isunya adalah Najib sang Perdana Menteri yang diamanahkan dan dipertanggungjawabkan sebagai peneraju kepimpinan untuk mengangkat martabat bangsa agama dan negara.

Apabila si peneraju mulai terpalit dengan berbagai isu yang meragukan dan merosakkan kepercayaan rakyat, adalah menjadi tanggungjawab sesiapa sahaja khususnya mereka yang terdekat sama ada Majlis Tertinggi atau badan penasihat mempersoalkan dan memperincikan hal yang berlaku sebenarnya. 

Menyedari kedudukannya sebagai Perdana Menteri akan tergugat, Najib terlebih dahulu melakukan tindakan drastik dengan mengugurkan Tan Sri Muhyiddin Yasin dari jawatan TPM, kerana Muhyiddinlah yang memohon penjelasan dari Najib tentang isu 1MDB.

Pada waktu yang sama Ketua Pasukan Khas yang menyiasat skandal 1MDB Abdul Gani Patail secara tiba-tiba juga dilucutkan dari jawatan Peguam Negara. Nasib yang sama menimpa kepada beberapa pegawai tinggi SPRM.

Gara-gara tindakan Najib itu semuanya menjadi bisu. Majlis Tertinggi bisu, Bahagian-Bahagian apatah lagi Cawangan lagi bisu. 

Kalau ada pun suara dari Johor sebagaimana yang disuarakan oleh Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Sinar Harian Rabu 5 Ogos 2015) halaman 2).

Barangkali kerana semangat perjuangan Umno yang asal masih hidup di Istana Johor (tempat bermula dan lahirnya Umno - 11 Mei 1946). Selain itu semuanya menjaga ‘periuk nasi’ masing-masing.

Bahkan para cendekiawan, agamawan (ulamak ?), budayawan dan entah apa-apa awan lagi semuanya turut sama menjadi bisu, tidak upaya untuk menyuarakan kebenaran dan kejujurannya masing-masing terhadap isu yang sedang mencalar bangsa dan Negara ini.

Lebih menghairankan tokoh-tokoh agama termasuklah mufti atau bekas-bekas mufti yang biasanya dan dahulunya begitu ‘bersemangat’ memperkatakan tentang amal maaruf nahi mungkar juga ikut sama ‘menikus’, seolah-olah apa yang sedang berlaku ketika ini tidak ada kaitan dengan kemungkaran, bahkan lebih dari itu boleh menukar akidah manusia dari mentaati (takut/zuhud) kepada ALLAH dan Rasul menjadi takut kepada seseorang yang menyebabkan nanti akan kehilangan kedudukan, pangkat dan gaji (upah).

Demikianlah apabila agama (Tuhan), undang-undang, kesopanan dan kesusilaan bahkan raja dan negara pun sudah dikesampingkan. Sedemikian itu apakah nilai manusianya yang setiap waktu kononnya menyembah dan mengakui kebesaran serta kekuasaan ALLAH Yang Maha Berkuasa atas segala-galanya? 

Ringgit, pangkat kedudukan ternyata lebih diimankan, bahkan menjadi kiblat atau hala tuju sembahan (berhala). Demikianlah senarionya, seolah-olah Tuhan sudah mati di hati mereka. Walhal ALLAH sentiasa memberi rezeki dari sumber yang manusia sendiri tidak mengetahuinya.

Pepatah Melayu lama menyebutkan “Bangkai gajah tak boleh ditutup dengan nyiru..”. Siapakah gajah, siapakah bangkai, siapakah nyiru. Dan bau bangkai itu sedang membuak serta menyebar ke setiap lubang hidung mereka yang masih sihat dan berakal serta mengenal erti kebenaran dan kebohongan yang melingkari kehidupannya.

Saatnya akan sampai apabila malaikat mulai mencabut ubun-ubunnya dan ketika itu hanya mata yang terbelalak kerana malaikat Zabaniah sudah menanti untuk membayar segala ‘kebaikan’ yang pernah dilakukan selama hayatnya yang diamanahkan untuk menegakkan kebenaran dan menentang kemungkaran. Subhanallah...Allahu Akbar…


Khalid Salleh
Pelakon Terbaik Asia Pasifik 1998


- sinarharian

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.